Saturday 5 August 2017

Isu anak luar nikah di'bin'kan kepada bapa biologi



Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah meneliti pelbagai dalil dan pendapat samada yang membolehkannya atau sebaliknya, kami dapati isu ini merupakan persoalan ijtihadiyyah yang mana setiap pihak memiliki hujah dan kekuatan dalil masing-masing. Kami berpendapat bahawa hujah yang melarang dibinkan atau dibintikan anak tak sah taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Qur’an, hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha.  

Nasab anak kepada ibunya tetap sabit pada semua keadaan kelahiran samada secara syarie atau tidak. Adapun nasab anak kepada bapanya, ia tidak sabit kecuali melalui pernikahan yang sahih atau fasid (seperti yang telah kami kemukakan syaratnya) atau wat’i syubhah atau ikrar dengan nasab. Islam telah membatalkan apa yang diamalkan di zaman Jahiliyyah dengan menghubungkan anak-anak hasil daripada zina kepada nasab penzina. Fahaman yang sebenar berkenaan dengan sabda Rasulullah SAW (الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ) adalah dengan makna bahawa anak dinasabkan kepada bapa yang berada dalam perkahwinan yang sahih. Sedia maklum bahawa al-firash dengan maksud perempuan mengikut kebanyakan ulama’ dan dita’birkan dengan maksud dalam keadaan iftirasy. Adapun zina maka tidak harus menjadi penyebab untuk mensabitkan nasab. Sebaliknya, yang berhak kepada yang berzina adalah direjam dengan batu.

Begitu juga zahir hadith menunjukkan anak dihubungkan dengan bapa atau dibinkannya selepas sabit bersamanya bapa dan ibunya iaitu tidak sabit kecuali selepas berlakunya persetubuhan dalam perkahwinan yang sahih atau fasid. Inilah pendapat jumhur.  Sedangkan riwayat Abu Hanifah bahawa sabit semata-mata dengan akad ini kerana semata-mata zhan sudah memadai. Pendapat ini ditolak kerana tertegah hasilnya dengan sebab akad berdasarkan zahir hadis. Bahkan mesti adanya imkan al-wat’i atau kelebihan bersetubuh.

Pendapat jumhur juga menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi. Fatwa al-Lajnah al-Da’imah Kerajaan Arab Saudi dalam fatwa bernombor 3408 dan 3056 menyebut bahawa yang sahih daripada pendapat ulama bahawa tidak boleh disabitkan nasabnya kepada yang menyetubuhi ibunya kecuali nikah yang sah atau fasid, nikah syubhah, perhambaan atau syubhah perhambaan.

Isu menutup malu dan aib bukanlah alasan yang kuat kerana syariat Islam jelas menunjukkan larangan membinkan atau membintikan kepada selain bapanya yang sah melalui perkahwinan. Ini kerana, banyak hukuman dalam Islam diperintahkan supaya dilaksanakan secara terbuka, termasuk dalam kes sebatan zina.[18]

Jika yang dimaksudkan mendapat malu itu adalah si anak, maka mudarat menyembunyikan itu lebih besar. Ini kerana ia berkaitan dengan soal pembahagian faraid dan wali nikah bagi wanita. Sebenarnya, punca utama masalah ini adalah tersebarnya budaya zina yang tidak terkawal. Isu penamaan anak ini hanyalah simptom bagi masalah zina yang mengakar sebagai punca dalam masyarakat. Betapa lemahnya pendidikan seks yang berasaskan Islam dan betapa mudahnya akses kepada bahan-bahan lucah dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi. Jika kita mengambil langkah jangka pendek seperti ini, ianya seperti mengambus masalah yang sebenar ke bawah tikar yang akhirnya akan terluah juga.

Justeru, sebagai sikap bertanggungjawab, hendaklah pasangan yang terjebak dengan zina bernikah secepat yang mungkin apabila sudah berlaku zina kali pertama sebagai bentuk pemulihan diri dan taubat kepada Allah dan berhenti daripada melakukan dosa kepada hubungan yang halal. Bahkan seperti mana yang telah disebutkan di atas, ulama yang membenarkan nisbah anak zina sendiri mensyaratkan bahawa hendaklah ibu bapa yang berzina itu dihukum dengan hukuman syariat yakni dirotan 100 kali sebelum dia boleh menasabkan anak tersebut kepada dirinya. Ini kerana zina itu seperti mana yang ditekan dalam al-Quran adalah fahisyah, benda yang tersangat keji dan merosakkan masyarakat. Maka, masyarakat perlu disedarkan dengan melihat hukuman rotan itu sendiri sebagai pengajaran daripada Allah atas kerosakan yang berlaku dan menghindari keluarga dan kerabat mereka daripada berbuat zina. Dengan itu, zina yang menjadi punca kepada masalah ini dapat dihilangkan, atau diminimumkan, seterusnya menghilangkan masalah anak zina, dan isu malu yang disebut-sebut.

Ingatlah kita perlu menjadi manusia yang bertanggungjawab atas setiap yang kita lakukan kerana itulah tugas sebagai khalifah di atas muka bumi ini, bukan hanya sekadar escapism untuk melarikan diri daripada masalah yang berakar umbi. Sikap melarikan diri dan menyembunyikan status hanya akan menambah masalah kemudian hari dan memakan integriti masyarakat Islam itu sendiri.

Kami juga menasihati para pasangan supaya mengambil berat isu persetubuhan sebelum berkahwin agar tidak timbul isu nasab anak sehingga mendatangkan aib kepada diri sendiri da naib kepada anak serta mengganggu emosi dan perasaan tidak selepas kepada ramai pihak. Sentiasalah bertaqwa kepada Allah, menginsafi diri sendiri atas keterlanjuran, dan wajib mentaati-Nya. Semoga kita menjadikan golongan yang mendapat mardhatillah dalam melayari kehidupan ini.

Syor dan Cadangan

Kami cadangkan di sini beberapa cadangan:                                                  
  • Anak yang tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu seperti “bin Abdul Ghani” “bin Abdul Rahman” “bin Abdul Latif”
  • Nasab anak sabit kepada ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam, Muhammad bin bintu Syafie[19].
  • Nasab anak dinisbahkan kepada ayahnya seperti “Ziyad bin Abihi”[20]
Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita. Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat ke lima yang bermaksud: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.” Ertinya, jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam. 

Pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyyah, maka anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam. 
Semoga Bayan Linnas pada kali ini menghilangkan kekusutan kepada kita semua untuk melihat isu ini dengan lebih matang dan tepat. Pendapat jumhur ulama’ sewajarnya diambil kira dalam keadaan biasa dan suasana masyarakat Malaysia yang menjadikan mazhab Syafie sebagai mazhab utama dan rasmi.

Akhukum fillah,
Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan,
1 Ogos 2017M bersamaan 8 Zulkaedah 1438H

Rencana Allah jauh lebih baik




 Julai 2017

Dua kejutan besar aku terima dalam hidupku..

 Alhamdulillah

Hidupku kini semakin tenang

Mungkin roda semakin bergerak ke atas

Itulah kehidupan, sekejap di atas- sekejap di bawah

Aku tidak pernah menyangka aku akan menjadi guru tetap

Mengajar sains pulak tu...

Betul-betul mengikut jejak ummiku, Cikgu Norhayati Mohd

Aku benar2 bahagia. Beroleh sekolah berdekatan dengan sekolah adikku memberiku peluang untuk memberikan yang terbaik kepadanya. Memenuhi keperluannya. Moga Allah membantuku.

Selepas berbulan-bulan aku berusaha memohon kerja, Akhirnya Allah memberi jawapan kepada usahaku..

Itu kejutan pertama....

Surprise yang kedua... biarlah rahsia

Just go with the flow.. Only He knows what will happen in the end...

May Allah bless my journey of life in dunya and hereafter