Saturday 13 May 2017

Fitnah alam maya






Hari ini saya membaca buku berjudul dakwah era siber di Malaysia. Satu karya ilmiah yang sangat akademik hasil tulisan Zulkiple Abd Ghani. Beliau berjaya menulis kupasan yang sangat baik menggabungkan antara bagaimana fungsi internet dan pengaruhnya terhadap dakwah Islam khususnya di Nusantara.

Karya ini sebenarnya menjadi  kebanggaan buat saya kerana ia menyedarkan saya betapa  hebatnya permikiran ilmuan Melayu yang sangat futuristik dalam lontaran idea yang diluahkan. Lebih-lebih lagi idea mengenai sindrom teknosis yang benar-benar wujud dalam netizen hari ini. 

Contoh petikan yang telah ditumpu cahayakan:

Kuasa berhubung melalui internet mengingatkan kepada perkataan magik (silap mata), iaitu seolah-olah ada kuasa yang tidak kelihatan sedang menguasai dan melakukan sesuatu yang begitu mengasyikkan penonton.

Para penonton terpukau dengan keupayaan ‘players’ mengatur program demi program sehingga masa pertunjukan tamat. Gaya perhubungan menerusi ICT belum menampakkan masa tamatnya. Virtualisasi berlaku secara intensif iaitu ramai yang berimaginasi untuk berada di alam maya berbanding alam realiti.

Mereka dikuasai oleh ‘teknosis’, iaitu ‘keadaan yang tidak normal yang bercirikan kegilaan teknologi, kebebalan dalam memahami hakikat teknologi, kebodohan membezakan antara wahana dan matlamat, ketagihan teknologi dan kecenderungan mendewakan teknologi sebagai punca keselamatan dan penyelesaian segala masalah manusia”

(Hairuddin Harun, 1999)

Ledakan penggunaan internet bukan sahaja mewujudkan sindrom teknosis dalam masyarakat tetapi juga memberi impak yang buruk terhadap kredibeliti para ulama. 

Menurut Ziauddin Sardar (1993), seorang penulis dan pengkritik budaya menukilkan bahawa penggunaan teknologi yang meluas akan menjana satu perubahan besar dalam peranan ulama.

Dalam kata lain , fungsi ulama sebagai orang yang dianggap menguasai ilmu dan menjadi panduan kepada pembangunan masyarakat Islam akan berkurangan sedikit demi sedikit seperti tegas beliau: “The role of the ulama as human memory banks and the power they command by virtue of that role is about to end” (Sardar, 1993:57).

Subhanallah. Kajian yang dibuat oleh ilmuaan islam IT dahulu sangatlah tepat. Hari ini semua orang berlagak untuk menjadi keyboard warrior. Sibuk menuding jari kepada pelbagai pihak atas setiap kesilapan yang berlaku. Tidak kurang juga netizen yang bertindak seolah-olah dialah ulama. Kononnya mengeluarkan fatwa, padahal memecahbelahkan agamawan yang lain.

Sindrom teknosis juga tidak kurang bahayanya. Lihatlah bagaimana media sosial hari ini berjaya mengucar-ngacirkan keharmonian hidup kita pada hari ini. Teknologi internet adalah segala-galanya. Masyarakat hari ini seolah-olah tidak mampu hidup tanpa wifi, rasa bagai nak gila bila tak boleh scroll media sosial.

Padahal kehidupan di media sosial adalah kehidupan yang menipu, yang telah disunting sempurna oleh pemilik profil. Ya, kita hidup dalam penipuan, penuh dengan kepura-puraan. Sangat menyedihkan. Tapi inilah realiti yang harus ditelan. 

Sungguh, kehidupan hari  ini penuh dengan pelbagai fitnah. Berhati-hatilah sahabatku. Terutamanya perkara yang melibatkan alam maya. Moga Allah melindungi kita.





No comments:

Post a Comment