Sunday 14 May 2017

Bila kita mati, bagaimana facebook kita?




 Hari ini saya skrol fb lagi. Mencari artikel atau perkongsian menarik. Kemudian, saya terlihat post yang dikirim oleh seorang sahabat. Beliau mengucapkan takziah pada sahabatnya yang meninggal dunia. Nama si mati itu ditagged. Saya pun membuka pautan itu.

Bebola mata saya melihat setiap post si mati itu. Di dalam hati ini pelbagai soalan datang menerpa. Beginikah jika saya mati. Orang lain pula yang akan melihat fb saya, orang lain pula yang akan melihat setiap post pada blog saya. 

Sungguh, menziarahi facebook insan –insan yang telah meninggal dunia ini boleh mengundang perasaan insaf. Bayangkan segala keindahan yang dipaparkan di dinding facebook itu akan luput begitu sahaja.  Semuanya hanya menjadi kenangan. Benarlah kalam Allah, keindahan hidup di dunia ini akhirnya akan lenyap.

Dan kehidupan dunia tidak lain, hanyalah kesenangan yang palsu [Al-Hadid, 57:20]

Apabila mati kelak, facebook-lah yang menjadi aplikasi yang paling ideal menceritakan kisah kehidupan kita. Baikkah kita, burukkah kita, semua perkara akan dinilai oleh si pelawat profil. Ibarat hari pengadilan, seakan-akan bayangan bagaimana kisah kehidupan kita dibentangkan kepada semua orang di padang mashyar. 

Barangkali, di media sosial, kita boleh lagi memilih-milih kiriman yang baik untuk ditunjukkan kepada netizen. Tetapi di padang mahsyar kelak, segala baik-buruk akan ditunjukkan dan dipertanggungjawabkan. Justeru berfikirlah. Fikirlah setiap apa yang ingin kita kongsikan. Jangan main hentam keromo sahaja. 

Jika ingin meletakkan gambar, tiliklah dulu sebelum dimuat naik. Adakah sempurna auratnya, adakah ia boleh mengundang fitnah atau adakah ia satu keperluan. Fikirlah sedalam-dalamnya. Jangan remehkan hal ini. Sejak kebelakangan ini saya menemui dua profil lelaki muda yang meninggal dunia. Apa yang saya lihat, kaum lelaki terlalu meremehkan soal aurat meskipun auratnya  mudah dijaga. Iaitu, antara pusat hingga lutut.

Bayangkan jika kita memuatnaik gambar seperti itu dan tidak lama kemudian kita mati. Orang yang melawat profil kita akan melihatnya. Bukankah kita sudah  memanjangkan dosa kita. Jangan diharap sanak saudara akan menutup akaun kita. Meskipun Mark Zuckerberg telah memberi panduan menutup akaun fb orang yang sudah mati, siapakah yang cakna tentangnya. Betapa ramai facebook orang yang telah mati masih boleh dilawati hingga ke hari ini.

Ya Allah, besarnya fitnah kehidupan di zaman ini. Fitnah alam maya. Berbuat baik dan jahat hanya dengan satu klik sahaja. Mari kita berishtigfar sejenak atas dosa yang kita lakukan. Lazimilah menziarahi facebook si mati. Agar kita sentiasa beringat. Kata nabi, ingat mati itu boleh menghilangkan kelazatan dunia. Maka jika terjentik rasa cemburu kita melihat keindahan hidup rakan di facebook, carilah fb orang yang telah mati. Pasti perasaan kita akan terubat.

Ingat mati akan melembutkan hati , menghilangkan keghairahan pada duniawi, mencetuskan rasa bersedia untuk pergi, menjadi momentum untuk terus berbakti, bagi menggapai redha Illahi.


No comments:

Post a Comment