Thursday 4 May 2017

Apabila kematian bertandang




Kematian…saban hari kita mendengar tentangnya. Di dada-dada akhbar, pelbagai jenis kematian yang kita baca. Mati kemalangan, mati sakit jantung, mati dibunuh dan sebagainya.
Kadang-kadang bila kita dengar berita orang mati, kita akan rasa terkejut.

“Eh, tak sangka dah mati, semalam jumpa kat kedai ,elok je”

kalau kita pun terkejut dengan kematian itu, bayangkan betapa terkejutnya si mati itu untuk menghadapi kematiannya …Allahuakbar

Terkejut apabila nyawa ditarik, terkejut dengan kehidupan selepas mati dan bermacam-macam perasaan yang sukar untuk digambarkan. Kejutan maut akan menjadi surprise (istimewa) buat orang yang bersedia dan akan menjadi disaster (bala) bagi yang belum bersedia.

Pernah tak kita terfikir bila pula giliran kita akan tiba? Adakah nyawa kita juga akan ditarik tiba-tiba.  Bagaimana persiapan kita selepas itu? Ingatlah,usia yang muda mahupun kesihatan yang baik bukan jaminan bahawa umur kita masih panjang. 

Oleh itu saya nak kongsikan beberapa tip agar kita sentiasa bersedia apabila ajal kita dijemput. 

#1-Redha
“Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah pada tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya [Al-Fajr:27-28]

Redhalah pada Allah dengan kehidupan, nescaya lebih mudah untuk kita redha dengan kematian kita.

Redhalah dengan apa yang ditentukan kepada kita samada perkara baik atau perkara buruk. Terimalah seadanya setiap ketentuan yang Allah taqdirkan untuk kita. Memang ia sangat sukar, tapi itulah jalan ke syurga. 

Barangsiapa yang redha dengan ketentuan Allah, maka Allah akan redha kepadaNya [Hadis riwayat Tarmizi]




#2-Sangka baik pada Allah

Kejutan maut akan menjadi lebih dahsyat jika kita tidak bersangka baik dengan Allah dengan kematian diri kita. Bersangka baik pada Allah bukanlah perkara yang mudah terutamanya apabila kehidupan kita dibadai tribulasi yang sangat dahsyat. Kita akan mula berfikir bukan-bukan. 

Kita akan merasakan bahawa Allah tidak menyayangi kita. Padahal Allah lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk kita. Sangka baiklah pada Allah, sungguh Allah berserta sangkaan hambanya.

Sangka baiklah pada Allah jika maut menjemput kita tiba-tiba. Pasti Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui “[Al-Baqarah:216].






#3- Tanam kerinduan bertemu Allah

Sedar atau tidak, perkara ini tidak pernah pun terselit dalam agenda harian kita. Setiap hari manusia lebih sibuk membina kerjaya dan rumahtangga berbanding merancang pertemuan dengan Pencipta.

Rindu pada tuhan tidak akan hadir jika tiada rasa cinta. Ini kerana hanya orang bercinta sahaja yang memahami erti rindu. Justeru, untuk menyulam rasa cinta dengan Sang Khalik, banyakkan beramal. Gandakan qiamullail, Lazimi istighfar dan tingkatkan sedeqah.

Orang yang bercinta pasti saling ingin bertemu. Begitu juga selayaknya hubungan hamba dengan Sang Pencipta. Berdoalah pada Allah agar hati kita dicampakkan rasa rindu untuk bertemu denganNya. Pertemuan dengan Allah pasti menjadi nikmat yang sangat hebat jika kita merinduiNya. Akhir kata, semoga kematian kita menjadi momen terindah dalam hidup kita.

.

No comments:

Post a Comment