Wednesday 21 September 2016

Inilah laluan cinta




Assalam. Untuk entri kali ini, aku nak berkongsi sikit tentang pesanan seorang ibu buat anaknya yang telah berkahwin. Wasiat indah ini telah diterbitkan dalam majalah Ayu (1996). Best pulak baca, rasa rugi kalau tak kongsi dengan kawan-kawan.

Inilah laluan cinta

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh

Kembali menemui anak ibu yang diingati. Doa dan harapan ibu, semoga Ina berada dalam rahmat dan pimpinan Allah sentiasa. Buat ibu dan ayah di sisni, Alhamdulillah. Warkah Ina telah ibu terima beberapa hari yang lalu. Tapi, baru hari ini ibu berpeluang untuk membalasnya.

Anakku,

Memang indah menjadi isteri yang dicintai suami. Inilah menjadi impian para isteri. Tetapi indah bukan janji tenang, bahagia apatah lagi keselamatan yang kekal anakku. Kerana itulah ibu berani berkata bahawa jika cinta suami gagal kau perolehi, bukan bermakna tertutupnya pintu bahagia di dunia ini. Apatah lagi kebahagiaan yang kita buru adalah kebahagiaan yang kekal di Akhirat nanti. Memanglah hebat, jika suami isteri saling cinta mencintai. Tetapi  apabila berlaku tidak seperti apa yang kita mahu, pastilah ada sesuatu yang ingin diberikan oleh tuhan kepadamu.

Anakku,

Bila engkau memandang segalanya dari tuhan; yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sebab sakitnya hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusah-nyusahkan hidupmu…. Pasti akan damailah hatimu. Kerana, masakan Allah mentaqdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu betapa deritanya hidupmu, pecahnya hatimu..tapi mungkin itulah yang dia mahu. Kerana dia tahu, hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk mudah dan akrab dengan-Nya.

Anakku,

Memang benar, perkahwinan ini memang bukan atas pilihanmu sendiri, tapi bila ia telah berlaku, hakikatnya itulah pilihan yang Allah mahu untukmu. Ibu ayah mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia. Tapi terlalu banyak berlaku di luar jangkaan kita sendiri… Cuma yang mahu ibu ingatkan anakku, perkahwinan atau suami bukanlah matlamat akhir hidup kita. Ia hanyalah alat untuk kita merebut ampunan dan redha Illahi

Anakku,

Sesuatu yang kita tidak mahu cintai kadang-kadang begitu dicintai oleh hati. Sebaliknya kadang-kadang kita terlalu ingin dan cintakan sesuatu, tapi hati menolak. Hal ini adalah taqdir yang kita sendiripun tidak boleh mengawal dan menentukannya, walau siapapun kita. Begitu juga dengan dia. Tapi itu bukan perkara yang perlu kau kesalkan anakku, sedangkan sikap kita kita yang tidak mencintai Allah pun sering kita diberikan maaf, mengapa pula sikap suami begitu payah untuk kita terima? Inilah kita anakku. Terlalu mudah sakit bila hak kita terabai, sedang bila hak Allah terabai, hati tidak tersentuh apa-apa.

Anakku,

Allah sayang padamu. Dia mahu engkau juga sayang dan cinta padaNya. Kerana itulah diberinya kesusahan pada perasaanmu. Dia mahu engkau berpaling dari cinta sementara yang amat engkau buru itu….kepada cinta yang Maha Agung lagi indah. Tidakkah engkau rasa hatimu sekarang lebih lunak untuk mengingati Allah, jika dibandingkan dulu? Bukankah ini satu nikmat anakku? Maka janganlah disia-siakan peluang ini dengan sungutan dan rasa tidak redha-Mu

Anakku, 

Jika dalam pada engkau tahu suamimu tidak mencintaimu tetapi engkau masih memberikan nikmat terbaik kepadanya , mendoakannya, maka itulah bukti bahawa engkau memang bersungguh-sungguh memburu cinta Illahi. Jika tidak, deritamu itu hanyalah derita yang lahir daripada nafsu yang tercabar. Ia tidak ada erti apa-apa anakku, dan tidak layak untuk mendapat simpati…

Anakku,

Suamimu itu walau dipegang sekuat-kuatnya atau dipeluk serat-eratnya, namun dia tidak kekal, hidupnya ada batas, dan akhirnya dia akan pergi daripadamu. Suatu masa nanti engkau akan tetap kehilangannya. Kerana itu, selagi terbuka peluang untuk angkau merebut pahala sabar, redha dan syukur ini, rebutlah anakku. Dan jika sakitnya terlalu menusuk, datanglah pada Allah untuk mengadu dan merayu. Katakan bukan engkau tidak redha, tapi engkau adalah hambanya yang terlalu lemah. Mohonlah pimpinan dan kekuatan daripadanya. Jika belum Dia mahu mengangkat derita itu , maka mintalah derita itu menjadi sebab untuk engkau terus berada dalam perhatian dan kasih sayangnya.

Ingatlah juga anakku, bahawa mungkin ini juga satu hukuman untukmu. Hukuman pada dosa-dosa yang tidak besungguh-sungguh kita memohon ampunan daripadaNya. Dengan datangnya ujian ini, moga kita akan sedar dan insaf sendiri. Sedar yang kita hanyalah hamba yang layak dihukum apa sahaja olehNya. Supaya kita datang kepadanya, merayu-rayu meminta ampun pada kesalahan kita selama ini dan meminta ketenangan abadi yang hanya Allah sahaja boleh memberikannya.

Doakanlah untuk suamimu, Dan doakan juga untuk dirimu sendiri anakku. Engkau sedang melintasi satu jambatan yang pendek tapi sulit untuk pergi ke satu mahligai yang kekal abadi dan bahagia yang hakiki. Berbaktilah sesungguh hati padanya, yang telah Allah tentukan sebagai suamimu. Dan hasilnya jangan kau tuntut darinya anakku, tapi nantilah ia di akhirat yang kekal abadi.Sekian dulu. Doa dan ingatan ibu ayah, sentiasa untukmu. Wassalam.

Ikhlas dari,
 ibumu..

Sunday 11 September 2016

World Quran Hour




World Quran Hour. Satu kempen yang kukira sangat memberansangkan untuk mengajak kita berfikir sejauh mana kita meletakkan al-quran sebagai prioriti dalam kehidupan kita. Sesungguhnya tempat yang paling layak untuk menyimpan al-quran ialah hati kita. Bukan di atas mushaf dan bukan jua pada aplikasi telefon. Jika al-quran yang menjadi makanan hati , sudah pasti keseluruhan hidup kita akan lebih tenang, tiada keserabutan kerana cahaya al-quran itu akan menjadi petunjuk yang memandu kehidupan kita.

Sempena tulisanku yang kucoretkan ketika World Quran Hour ni, aku juga sangat teruja untuk berkongsi antara ayat al-quran yang benar-benar tertusuk dalam hatiku. Antaranya ialah:

Patuhilah seruan tuhanmu sebelum datang suatu hari yang tidak dapat ditolak seruannya. Pada hari itu, kamu tidak memperolehi tempat berlindung dan tidak tidak pula dapat mengingkari dosa-dosamu [Asy-Syura].

Ayat ini antara ayat yang paling menarik bagiku setelah diteliti dan difahami maknanya. Ia telah menjadi motivasi terkuat untuk diriku beramal setelah melalui fasa futur atau kemalasan untuk beribadah. Secara peribadi ayat ini meransang aku untuk terus berbuat baik walaupun dalam keadaan yang terpaksa. Sebab dengan memahami ayat ini, aku sering katakan pada diriku, “ Kalau tak nak patuh pada Allah sekalipun, last-last sekali kena patuh jugak, jadi, baik patuh sekarang. Lagipun, mungkin dengan kepatuhanku ini, Allah akan melindungiku dan menerima amal baikku. Keadaan ini sudah tentu jauh lebih baik daripada aku terkontang-kanting di hari Qiamat tanpa pertolongan dan tidak dapat menafikan dosa-dosaku.

Tapi, sekiranya kita ingin menikmati impak maksima dari ayat ini. Kita mestilah menghafaz dan memahami maknanya. Jika tidak, “kadar penyerapannya” tidak sempurna. Ayat quran yang dihafaz adalah ibarat kayu yang dipasakkan di dalam tanah. Ia akan berada dalam keadaan yang kukuh dan tidak goyah sekalipun datan taufan yang membadai. Itulah yang dinamakan prinsip. Prinsip yang hebat dan tepat hanya akan datang dari sumber yang benar iaitu Quran dan Sunnah. Jika kita berpegang kepada kedua-duanya, nescaya kita tidak akan sesat selama-lamanya.Itulah jaminan Rasulullah.

Dan sebenarnya, beramal dengan ayat al-quran ini, ianya sangat ajaib. Sebab kekuatannya dan motivasinya adalah dari Allah. Hakikatnya, Allah tidak akan pernah mengecewakan kita. Manusia mungkin akan memuji kita tetapi manusia yang sama itulah yang akan mencerca dan menghina kita suatu hari nanti. Allah sangat berbeza, Dia inginkan yang terbaik untuk hambanya. Justeru adalah satu kerugian yang besar seandainya kita meminggirkan kalamullah dalam hidup kita.

Khulasahnya, World Quran Hour bukanlah bermakna hanya pada waktu itu sahaja kita membaca Quran. Tetapi jadikanlah saat itu sebagai perintis semangat untuk kita terus suburkan jiwa cintakan Quran dalam diri kita. Tak salah untuk kita menjadikan motivasi dari Allah sebagai momentum perjuangan dalam hidup kita. Akhir kalam, pasakkanlah quran di hatimu.