31 Ogos 2016
bakal disambut tidak lama lagi. Tarikh keramat itu menandakan kemerdekaan
negara kita sudah hampir mencecah 59 tahun. Nilai kemerdekaan suatu masa dahulu
adalah lambang kepuasan dan kejayaan nenek moyang kita membebaskan negara
daripada belenggu penjajah. Setiap darah dan keringat yang mengalir, setiap nyawa
yang direntap dari jasad, setiap raungan dan tangisan air mata adalah bukti
kecintaan mereka kepada tanah air tercinta. Itulah nilai patriotisme yang
sebenar. Sangat tinggi nilai estetikanya hingga tidak mampu dibayar dengan
kenikmatan yang kita kecapi hari ini.
Namun itu cerita
dulu-dulu. Zaman demi zaman berlalu hinggalah kita lahir di bumi Malaysia ini.
Hadirnya kita di sini diiringi dengan nikmat keamanan, kebahagiaan dan kebebasan.
Bebas dari penjajah, Malah, bebas melakukan apa sahaja. Hingga kita sendiri
hanyut dalam kebebasan ini. Tidak tahu
arah mana yang akan dituju. Itulah generasi kita hari ini, pewaris kemerdekaan
yang ke-59, hidup dengan roh yang ketandusan nilai patriotik. Atau kata lain patriotisme
tanpa roh.
Patriotisme hari
ini hanyalah sekadar mengibarkan jalur gemilang yang koyak di dataran merdeka.
Itupun setelah datang ke sana untuk menangkap pokemon. Nilai patriotisme kita
sangat jauh dengan semangat cintakan negara. Yang ada hanyalah patriot palsu
yang penuh retorik memperjuangkan nasib bangsa tetapi hakikatnya hanya ingin
memenuhi keperluan nafsu dan perut mereka. Ironinya, itulah perjuangan mereka.
Kata bijak pandai “Siapa yang berjuang untuk memenuhi perut mereka (nafsu),
maka nilai perjuangannya adalah sama dengan apa yang keluar dari perut mereka”.
Perjuangan palsu
oleh patriot palsu yang tergagap-gagap menyebarkan maklumat palsu dan mengharapkan
rakyat marhaen menerima kepalsuan itu ibarat bayi yang menyusu dari ibunya. Aah..Semuanya
serba kepura-puraan, penuh pendustaan dalam lautan keraguan. Inilah dunia akhir
zaman, penuh dengan fitnah dan ujian yang sukar dibayangkan. Malangnya itulah
legasi pewaris hari ini. Jika pemimpin menjadi patriot palsu, rakyat marhaen
pula ibarat bayi yang menyusu. Masih merengek-rengek, manja, lemah, tidak mampu
menguruskan diri sendiri dan diselubungi seribu satu kelemahan.
Buktinya, bila Pokemon
Go diharamkan, terus ulama menjadi bahan makian dan cacian. Bangsa lain
sibuk mengejar ilmu, bangsa kita tak
habis-habis mengejar Pokemon. Sudah tahu main Pokemon Go boleh ancam
keselamatan negara, tapi tetap muat turun aplikasi Pokemon Go. Akibatnya musuh
mendapat maklumat tepat tentang selok-belok negara kita. Rentetan itu, mudahlah
mereka menyerang negara kita. Tetapi, bila musuh mengugut ingin menyerang, kita naik berang, walhal kitalah
yang mendorong mereka memusnahkan negara kita. Tanpa kita sedar, kita sudah
menjadi musuh negara kita sendiri.. Siapa kita? Pewaris kemerdekaan yang ke-59.
Lihatlah betapa
biadapnya kita. Nenek moyang kita berjuang mempertaruhkan nyawa menangkap
penjajah semata-mata ingin selamatkan negara, tetapi generasi kita masih tegar
membazir masa menangkap pokemon. Itupun bukan nak menyelamatkan negara, nak
musnahkan negara adalah. Ya, itulah sikap kita, sikap legasi pemusnah.Jika sikap kita
masih begini, jangan terkejut jika suatu hari nanti cucu-cicit kita menyalahkan
kita sekiranya bumi Malaysia ini hancur lebur dimamah kolonialisme. Soalnya,
sanggupkah kita dipersalahkan oleh keturunan kita? Sanggupkah kita melihat
Malaysia diratah-ratah oleh musuh Islam sebagaimana yang terjadi kepada negara
umat Islam yang lain?
Oleh itu,
sempena bulan kemerdekaan ini, ayuh kita tunjukkan rasa patriotisme kita
terhadap Malaysia dengan memadamkan aplikasi Pokemon Go dalam gajet kita. Ayuh
kita cantaskan budaya hiburan yang melalaikan dengan menyuburkan budaya ilmu
dalam masyarakat demi pembinaan negara bangsa yang penuh dengan ketamadunan
yang agung. Cintailah negara kita kerana ianya adalah sebahagian dari Iman.
Akhir kalam, Selamat menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan yang ke 59 buat semua
rakyat Malaysia. Semoga negara kita menjadi baldatun tayyibun wa rabbun ghafur
(Negara yang aman dan diampuni Allah)