Pokemon Go
Ia adalah permainan menangkap
Pokemon. Uniknya aplikasi ini, ia menghubungkan dunia fantasi dan realiti.
Pendek kata, kita melihat Pokemon di alam fantasi tetapi kita menangkapnya di
alam realiti. Ini sememangnya mengundang sense
of crazy dalam diri kita lebih-lebih lagi jika kita membiarkan permainan
fantasi itu mengawal kehidupan realiti kita.
Dalam satu laporan yang
dikeluarkan oleh Wall Street Jurnal, pemain Pokemon Go berhadapan dengan risiko
fizikal. Permainan berasaskan GPS ini akan menyebabkan Pokemon boleh muncul
dimana-mana. Lebih memeranjatkan lagi, ianya boleh muncul di kawasan-kawasan
seperti sungai, tebing tinggi dan sebagainya sesuai dengan habitat Pokemon itu
sendiri. Pemain akan terdedah dangan pelbagai risiko keselamatan untuk
menangkap Pokemon.
Oleh kerana itulah, belum sampai
sebulan ianya dilancarkan, Pokemon Go dilihat sudah menimbulkan pelbagai
huru-hara dalam kehidupan realiti kita. Buktinya, sudah ada kes remaja mati
ditembak di Guatemala semasa bermain
Pokemon Go. Mungkin caranya memandu semasa memburu pokemon mencurigakan polis
yang menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan kerana dikhuatiri ianya
adalah cubaan merompak. Akhirnya bukan Pokemon yang go tapi dia yang ‘Go’. Di Pittsburgh pula, seorang remaja telah
dirempuh kereta kerana cuba ingin melintas jalan raya yang sibuk gara-gara
ingin menangkap Pokemon. Akhirnya ibu mangsa mengeluarkan kenyataan:
“Kepada ibu bapa, jangan biarkan anak-anak anda bermain permainan ini
kerana kamu mesti tidak mahu lalui apa yang saya hadapi. Saya menyangka saya
akan kehilangan anak perempuan saya”.
Di Bosnia pula , seorang pemuda
terpaksa ditembak oleh polis kerana secara tidak sengaja menceroboh zon
larangan (kawasan periuk api )disebabkan terlalu asyik memburu Pokemon. Tidak
kurang juga yang sanggup berhenti kerja dan mengabaikan tanggungjawab harian
kerana bermain Pokemon Go. Ini memang sudah GILA.
Rentetan itu, padanlah ulama
Mesir, Imam Turki dan Arab Saudi mengharamkan permainan ini. Di Turki, Imam
Deyenet-Sen Mehmet mendakwa Pokemon Go diklasifikasikan sebagai senjata Barat
untuk melalaikan umat Islam. Permainan ini juga boleh menjejaskan nilai murni
kerana wujud pemain yang masuk ke masjid hanya untuk menangkap Pokemon dan
bukannya untuk beribadah. Ini secara tidak langsung mencemarkan fungsi masjid.
Di Arab Saudi, ulama mengharamkan Pokemon Go kerana wujud unsur perjudian di
dalamnya. Dalam permainan ini, dua pemain bersaing untuk mendapatkan kad dengan
harga berbeza dan siapa pemain terkuat akan memenangi kad terbabit. Jika
seorang pemain tidak mahu kehilangan kad, pemain itu perlu membayar harganya.
Di Mesir pula, Sheikh Abbas Summan mendakwa permainan itu melalaikan dan
mungkin menjejaskan keselamatan diri mereka. Beliau menyamakan situasi permainan
ini ibarat membaca quran sambil berjalan. Katanya:
“Jika seseorang sibuk membaca
Al-Quran semasa berjalan di jalanraya, ini mungkin akan mengakibatkan
kemalangan, jadi kita juga akan memberitahu mereka untuk tidak membaca dengan
cara itu”.
Namun begitu, walaupun keburukan
Pokemon Go sudah kita ketahui, fatwa Ulama telah menjelaskan pengharamannya,
saya masih terkejut dengan keterujaan orang muda khususnya, yang tidak sabar
menanti-nantikan kedatangan Pokemon Go ke Malaysia. Baru-baru ini, kajian yang
didedahkan oleh akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa 80% daripada 5000
responden tidak sabar menantikan kedatangan Pokemon Go di Malaysia. Laporan
juga mendapati kebanyakkan peminat Pokemon Go adalah kelompok generasi muda
yang berumur dalam lingkungan 21-30 tahun. Oh.. inikah trend permikiran anak
muda hari ini. Berhibur tak habis-habis. Tidak cukup dengan konsert Selena
Gomez, Pokemon Go pula menjadi virus baru yang meracuni budaya hedonisme di
Malaysia.
Malangnya, Pokemon Go akan pasti menembusi
Malaysia tidak lama lagi. Sejauh mana ia akan memberi impak kepada masyarakat
kita, sudah dapat kita bayangkan. Soalnya, sejauh manakah persediaan kita
menghadapi kegilaan ini. Mungkin kita patut mencipta aplikasi Pahala Go (aplikasi
tangkap pahala) sebagai vaksin baru yang bakal melumpuhkan virus Pokemon Go.
Mungkin…. Anda lebih tahu caranya. Akhir kalam, seandainya Pokemon Go masuk ke
Malaysia, moga-moga Pokemon itu tidak muncul di Menara KLCC. Takut-takut akan
keluar berita, “ Maut jatuh KLCC kerana tangkap Pokemon”. Nauzubillah hi min
zalik.
Rujukan: Akbar sinar harian
No comments:
Post a Comment