Sunday 29 May 2016

Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad


SHAH ALAM - Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya akan berhenti memberikan kuliah ataupun tazkirah ketika beliau benar-benar tak sihat hingga tidak mampu memegang buku rujukan.
Anak sulungnya, Nik Omar berkata Allahyarham pernah membuka cerita ketika zaman mudanya, beliau telah diminta menyampaikan kuliah pada hari pertama tiba di tanah air selepas menamatkan pengajian.

“Dia pernah sebut, apabila dia balik belajar dari luar negara, hari pertama sampai itu ayahnya (datuk) suruh bagi tazkirah, kuliah. Dia memang seorang anak yang taat sepenuhnya kepada ayahnya.

“Tak pernah bunyi sekali pun. Ayah dia kata A, A lah. Kalau kata B, B lah. Hari pertama, hari kedua seterusnya sampai dia sakit. Bila dia tak mengajar? Apabila buku itu dia sudah tidak boleh nak pegang dah,” katanya ketika menjadi panel pada Wacana: 'Dunia Pendidikan Tok Guru' di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.‎

Menurutnya, meskipun jadual Allahyarham padat sebagai Menteri Besar Kelantan, namun beliau tidak pernah lepas dalam memberikan kuliah.

“Walau sesibuk mana masa dia jadi menteri besar pun, dia tetap tak tinggal kuliah. Kalau kita dah sibuk tak tahu mana dah kuliah, masjid...tapi kuliah dia tetap (berjalan).

“Tok Guru walau sudah berpuluh tahun beri kuliah, setiap kali nak beri kuliah, dia akan baca buku, rujuk dulu. Wajib baca buku dulu,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment