Hari ini aku terbaca satu artikel
yang menarik ditulis oleh SM Zakir. Beliau ialah Setiausaha Agung Persatuan
Penulis Nasional Malaysia (PENA). Isu ketandusan intelektualiti menjadi topik pilihan
beliau pada hari ini. Dalam artikelnya, saudara Zakir meluahkan kebimbangannya
terhadap anak muda yang semakin jauh dari budaya intelektual.
Intelektualiti seringkali
dikaitkan dengan daya permikiran yang bersifat meneroka idea dan membangunkan
permikiran. Malangnya hari ini idea dan keilmuan itu sudah tidak diraikan oleh
permikiran anak muda. Mereka lebih cenderung memilih bahan bacaan berbentuk picisan
yang hanya mementingkan hiburan dan keseronokan sekaligus melumpuhkan daya
fikir yang intelek.
Tambahan pula, amat menyedihkan
apabila hampir 60 peratus buku picisan yang ketandusan nilai intelektual telah
dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) baru-baru ini. Walaupun
pesta tersebut mencatatkan kehadiran dua hingga tiga juta pengunjung, namun jumlah
yang banyak itu tidak dapat dilihat sebagai indeks intelektual masyarakat dek
jualan buku-buku picisan yang berleluasa.
Kata beliau lagi, kebanyakkan
buku yang diterbitkan sekarang mempunyai kualiti yang sangat rendah. Ini kerana
kita sedang berada di suatu zaman yang semua orang boleh menulis. Hatta coretan
caci maki pun boleh diterbitkan. Kita tidak lagi menemukan men of letters
(intelektual tokoh persuratan). Sebaliknya hanya mendapati kekosongan dan daya
fikir yang sangat parah.
Nampaknya, generasi muda hari ini
tidak lagi meraikan idea dan ilmu, sebaliknya mencari bahan bacaan untuk
berhibur dan mencapai keseronokan. Budaya ini hanya akan menolak keinginan berfikir
seraya membawa mereka ke lembah kegelapan dan kejahilan.
Jika buku suatu masa dahulu
menuntun kepada zaman pencerahan yang menyebar di seluruh pelusuk bumi, menjadi
penghadam idea ulama dan pujangga, tetapi hari ini buku liar dan picisan yang
dipuja remaja akan menjerumuskan kita ke era kegelapan dan kelumpuhan permikiran.
Kesimpulannya, buku yang dibaca majoriti
anak muda di Malaysia yang digahkan dengan kuantiti hakikatnya adalah indeks
keruntuhan intelektualiti. Jika kita impikan revolusi intelektual, lihatlah
terlebih dahulu isi kandungan yang dibaca majoriti anak muda. Akhirnya, kita
akan segera sedar bahawa kita sedang hidup di zaman keruntuhan intelektual
kerana buku tidak lagi dibaca untuk berfikir, tetapi sekadar hiburan
semata-mata.
Wallahua’lam.
# Artikel yang sangat baik. Kalau
ada terbitan baru, kena baca lagi..
No comments:
Post a Comment