DUALISME dalam pendidikan bermaksud wujudnya dua
aliran yang tidak integratif. Sama ada pendidikan akliah bergerak
berasingan dengan pendidikan rohaniah yang sifatnya tradisional mahupun
pendidikan yang bergerak dalam sisi yang berbeza (agama dan akademik)
tetapi tidak berlaku integrasi.
Proses pendidikan menjadi amat penting dalam proses membangun rijal
atau insan. Pembangunan rijal yang memberi fokus kepada pembangunan
faktor kognitif semata menjadi tidak lengkap kerana pembangunan afektif
(dalam diri insan) tidak terjadi. Akhirnya berlaku dikotomi (pemisahan)
antara fikir dan zikir.
Pendidikan konvensional banyak menumpu kepada pendekatan rasional dan
empirikal untuk menemukan fakta dan data sebagai asas binaan ilmu.
Pendidikan Islam tidak menolak kepentingan kognitif dijadikan asas
tetapi dilengkapkan dengan pengukuhan faktor afektif yang menyentuh
faktor dalam diri manusia supaya pendidikan menjadi holistik
(menyeluruh).
Pendekatan kognitif yang menghasilkan upaya rasional tidaklah janggal
dalam memahami sesuatu yang bersifat pemikiran tetapi pemikiran saja
tidak memadai untuk memahami faktor diri yang melibatkan niat,
kecenderungan, amanah dan keadilan kerana ia menyentuh dalaman diri
insan. Lantaran faktor dalaman diri mempunyai pengaruh terhadap gelagat
dan tingkah-laku manusia. Tanpa pembangunan faktor dalaman diri manusia
bakal wujud kelompangan yang menyebabkan sahsiah tidak terbina.
Pendidikan dalam tradisi Islam ialah suatu proses mengadabkan insan.
Insan yang beradab ialah yang memiliki disiplin fikir yang tinggi,
disiplin hati yang baik dan disiplin amal yang memiliki kualiti contoh.
Dualisme dalam pendidikan tidak mampu membangun peribadi holistik. Di
suatu sisi pendidikan berjalan secara formal dan memberi fokus kepada
pendidikan akademik, sains dan teknologi. Di sisi lain berlaku
pendidikan Islam dipihak swasta yang berjalan secara tradisional.
Dualisme ini menyebabkan integrasi tidak berlaku dan tasawur mengenai
pendidikan tidak sepadu.
Akibatnya bakal lahir generasi penerus yang satunya memiliki ilmu dan
kemahiran akademik, sains dan teknologi tetapi terbatas kefahaman
agamanya. Dualisme dalam pendidikan ini juga bakal melahirkan kelompok
yang kuat dalam tradisi keagamaan tetapi kurang dalam orientasi
akademik, sains dan teknologi. Akhirnya dualisme dalam pendidikan
menyebabkan peranan membangun negara dan sistem menjadi tidak seimbang.
Kesedaran sudah mula ada dalam kalangan umat Islam tentang pentingnya
sikap saling menyantuni bagi merapatkan jurang dualisme dengan penubuhan
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di seluruh negara dan Ululabab di
MRSM supaya aspek agama dan hafazan dijadikan fokus dan disiplin
akademik dan sains turut dititikberatkan. Hal yang sama juga sedang
berlaku dalam kalangan kelompok agama swasta atau negeri.
Dalam isu dualisme perkara pokok yang harus berlaku ialah pembinaan
epistemologi (binaan ilmu) yang menghubungkan faktor nakliah dan akliah.
Al-Quran umpamanya menyantuni sains dan teknologi sehingga tasawur
mengenai sains tidak bercanggah dengan syariah.Faktor air dalam bahasa sainsnya menghubungkan hidrogen dan oksigen
sebagai elemen penting bagi menjawab “apa itu air”. Menghubungkannya
dengan al-Quran memberi penjelasan “mengapa air” kerana al-Quran
memperjelaskan, "air adalah sumber kehidupan”. Terdapat unsur menegak
(hablumminallah) dan unsur merentas (hablumminannas) di situ.Hal yang sama mempelajari gunung-ganang. Secara geografikalnya
gunung-gunung adalah tanah tinggi yang terkandung batu-batan seperti
batu plutonik dan sebagainya. Tetapi merujuk kepada al-Quran
gunung-ganang itu dilihat sebagai “awtad” atau pasak-pasak bumi yang
membawa kepada maksud keseimbangan. Konsep keseimbangan menjadi amat
penting dalam binaan tasawur manusia terhadap sesuatu yang ALLAH
ciptakan.
Apa yang berlaku di SMKA dan Ulululabab MRSM masih lagi dalam integrasi
longgar. Proses integrasi sebenar tidaklah mudah kerana ia menuntut
proses, strategi dan upaya ilmu yang tinggi. Guru-guru akademik dan
sains harus di tahap awalnya memiliki kefahaman secara tematik mengenai
al-Quran dan guru-guru al-Quran serta pendidikan Islam harus juga
memiliki kefahaman tematik mengenai ilmu kemanusiaan, sains dan
teknologi.Sekiranya dualisme dan integrasi longgar ini dapat diatasi, pendidikan
di Malaysia bakal menjadi lebih integratif dan bakal melahirkan hufaz
yang profesional dan saintis serta teknologis yang berjiwa al-Quran.
* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM
Ulasan saya:
Ini adalah idea islamisasi pendidikan yang sudah lama dibahaskan. Namun kupasan ini adalah antara usaha yang baik bagi menggalakkan guru-guru untuk sentiasa berfikir bagaimana untuk mensinergikan fikir dan zikir dalam proses P&P. Nampaknya, merealisasikan perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana Prof Naquib Al Attas, Prof Sidek Baba Dr Abdul Rahim Ramli sudah lama memperjuangkannya. Apapun.. semoga usaha mereka menerapkan pendidikan berkonsepkan Islam akan membuahkan hasil suatu hari nanti dan semoga mereka dilimpahkan keberkatan.
No comments:
Post a Comment