Friday 22 April 2016

Dualisme dalam pendidikan


 DUALISME dalam pendidikan bermaksud wujudnya dua aliran yang tidak integratif. Sama ada pendidikan akliah bergerak berasingan dengan pendidikan rohaniah yang sifatnya tradisional mahupun pendidikan yang bergerak dalam sisi yang berbeza (agama dan akademik) tetapi tidak berlaku integrasi.

Proses pendidikan menjadi amat penting dalam proses membangun rijal atau insan. Pembangunan rijal yang memberi fokus kepada pembangunan faktor kognitif semata menjadi tidak lengkap kerana pembangunan afektif (dalam diri insan) tidak terjadi. Akhirnya berlaku dikotomi (pemisahan) antara fikir dan zikir.
 Pendidikan konvensional banyak menumpu kepada pendekatan rasional dan empirikal untuk menemukan fakta dan data sebagai asas binaan ilmu. Pendidikan Islam tidak menolak kepentingan kognitif dijadikan asas tetapi dilengkapkan dengan pengukuhan faktor afektif yang menyentuh faktor dalam diri manusia supaya pendidikan menjadi holistik (menyeluruh). 

Pendekatan kognitif yang menghasilkan upaya rasional tidaklah janggal dalam memahami sesuatu yang bersifat pemikiran tetapi pemikiran saja tidak memadai untuk memahami faktor diri yang melibatkan niat, kecenderungan, amanah dan keadilan kerana ia menyentuh dalaman diri insan. Lantaran faktor dalaman diri mempunyai pengaruh terhadap gelagat dan tingkah-laku manusia. Tanpa pembangunan faktor dalaman diri manusia bakal wujud kelompangan yang menyebabkan sahsiah tidak terbina.

Pendidikan dalam tradisi Islam ialah suatu proses mengadabkan insan. Insan yang beradab ialah yang memiliki disiplin fikir yang tinggi, disiplin hati yang baik dan disiplin amal yang memiliki kualiti contoh.
 Dualisme dalam pendidikan tidak mampu membangun peribadi holistik. Di suatu sisi pendidikan berjalan secara formal dan memberi fokus kepada pendidikan akademik, sains dan teknologi. Di sisi lain berlaku pendidikan Islam dipihak swasta yang berjalan secara tradisional.  Dualisme ini menyebabkan integrasi tidak berlaku dan tasawur mengenai pendidikan tidak sepadu.

Akibatnya bakal lahir generasi penerus yang satunya memiliki ilmu dan kemahiran akademik, sains dan teknologi tetapi terbatas kefahaman agamanya. Dualisme dalam pendidikan ini juga bakal melahirkan kelompok yang kuat dalam tradisi keagamaan tetapi kurang dalam orientasi akademik, sains dan teknologi. Akhirnya dualisme dalam pendidikan menyebabkan peranan membangun negara dan sistem menjadi tidak seimbang. 

Kesedaran sudah mula ada dalam kalangan umat Islam tentang pentingnya sikap saling menyantuni bagi merapatkan jurang dualisme dengan penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di seluruh negara dan Ululabab di MRSM supaya aspek agama dan hafazan dijadikan fokus dan disiplin akademik dan sains turut dititikberatkan. Hal yang sama juga sedang berlaku dalam kalangan kelompok agama swasta atau negeri. 

Dalam isu dualisme perkara pokok yang harus berlaku ialah pembinaan epistemologi (binaan ilmu) yang menghubungkan faktor nakliah dan akliah. Al-Quran umpamanya menyantuni sains dan teknologi sehingga tasawur mengenai sains tidak bercanggah dengan syariah.Faktor air dalam bahasa sainsnya menghubungkan hidrogen dan oksigen sebagai elemen penting bagi menjawab “apa itu air”. Menghubungkannya dengan al-Quran memberi penjelasan “mengapa air” kerana al-Quran memperjelaskan, "air adalah sumber kehidupan”. Terdapat unsur menegak (hablumminallah) dan unsur merentas (hablumminannas) di situ.Hal yang sama mempelajari gunung-ganang. Secara geografikalnya gunung-gunung adalah tanah tinggi yang terkandung batu-batan seperti batu plutonik dan sebagainya. Tetapi merujuk kepada al-Quran gunung-ganang itu dilihat sebagai “awtad” atau pasak-pasak bumi yang membawa kepada maksud keseimbangan. Konsep keseimbangan menjadi amat penting dalam binaan tasawur manusia terhadap sesuatu yang ALLAH ciptakan. 

Apa yang berlaku di SMKA dan Ulululabab MRSM masih lagi dalam integrasi longgar. Proses integrasi sebenar tidaklah mudah kerana ia menuntut proses, strategi dan upaya ilmu yang tinggi. Guru-guru akademik dan sains harus di tahap awalnya memiliki kefahaman secara tematik mengenai al-Quran dan guru-guru al-Quran serta pendidikan Islam harus juga memiliki kefahaman tematik mengenai ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi.Sekiranya dualisme dan integrasi longgar ini dapat diatasi, pendidikan di Malaysia bakal menjadi lebih integratif dan bakal melahirkan hufaz yang profesional dan saintis serta teknologis yang berjiwa al-Quran.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM

Ulasan saya:

Ini adalah idea islamisasi pendidikan yang sudah lama dibahaskan. Namun kupasan ini adalah antara usaha yang baik bagi menggalakkan guru-guru untuk sentiasa berfikir bagaimana untuk mensinergikan fikir dan zikir dalam proses P&P. Nampaknya, merealisasikan perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana Prof Naquib Al Attas, Prof Sidek Baba Dr Abdul Rahim Ramli sudah lama memperjuangkannya. Apapun.. semoga usaha mereka menerapkan pendidikan berkonsepkan Islam akan membuahkan hasil suatu hari nanti dan semoga mereka dilimpahkan keberkatan.

Reformasi radikal pendidikan


 http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/reformasi-radikal-pendidikan-1.508132

Ulasan saya:

Kebanyakkan pemikir pendidikan terutamanya kaum lelaki banyak memfokuskan kepada perubahan sistem untuk membuat transformasi dalam pendidikan. Namun bagi saya, ianya agak kurang berkesan kerana asas utama  dalam melaksanakan transformasi dalam suatu sistem ialah kefahaman. Contohnya isu sekolah vernakular. Kita sedia maklum bahawa sekolah vernakular adalah racun yang merosakkan perpaduan kaum. Antara solusi yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan ialah menubuhkan sekolah wawasan. Tetapi selepas beberapa tahun, penubuhan sekolah tersebut tidak memberikan impak yang signifikan terhadap perpaduan kaum. Tidak berjaya!!! Membuat perubahan pada sistem secara besar-besaran tanpa menyuntik kefahaman kepada pendidik tentang keburukan sekolah vernakular adalah sesuatu yang membazir. Pada era baru ini, kefahaman itu boleh diterapkan kepada bakal-bakal guru khususnya supaya mereka lebih kreatif untuk mencari solusi bagi isu ini kerana merekalah yang akan menjadi golongan pelaksana dalam sistem pendidikan.Cohtohnya membantu mereka untuk berfikir bagaimana untuk merencana program yang merapatkan hubungan baik antara kaum supaya pelajar sekolah vernakular SJKC dan SJKT masih bergaul dengan pelajar sekolah kebangsaan. Idea-idea kecil inilah yang sepatutnya diperhebatkan supaya sistem pendidikan kita tidak melahirkan rasism ataupun perkauman.

Reformasi radikal pendidikan