Saturday 19 March 2016

Ekuinoks, Telaga Kauthar dan kebesaran Allah

Equinox dunia vs Equinox akhirat


Sekarang Malaysia diserang cuaca panas melampau kerana fenomena ekuinoks. Ekuinoks adalah satu keadaan di mana matahari akan melintasi garisan khatulistiwa untuk mengubah kedudukannya dari hemisfera selatan ke hemisfera utara bumi. Lokasi Malaysia yang terletak berdekatan dengan garis khatulistiwa ini akan menyebabkan bahang Ekuinoks itu lebih ketara. Keadaan panas ini juga dikenali sebagai El Nino.

Impak cuaca panas ini tidak kurang hebatnya. Di Segamat, seorang pelatih polis dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat strok haba. Strok haba terjadi akibat paras suhu badan yang meningkat melebihi paras 40.5 darjah celsius iaitu melebihi suhu normal badan manusia, 37 darjah Celsius. Sejajar dengan ini kementerian kesihatan Malaysia telah memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat daripada cuaca panas melampau. Antaranya ialah mengehadkan aktiviti luar, banyakkan meminum air masak, mandi lebih kerap dan sentiasa memakai topi atau payung ketika di luar bangunan. Kementerian pendidikan juga tidak ketinggalan memberikan respons terhadap isu ini. Jika suhu melebihi 37 darjah Celsius, canselor diberi autoriti untuk menutup universiti. Di sekolah pula, guru diminta mengurangkan aktiviti luar bilik darjah. Nampaknya, semua orang terkesan dengan El nino ini.

Bila difikirkan kembali, ini hanyalah sekadar ekuinoks. Fenomena matahari berada di garisan khatulistiwa bumi. Itupun sudah mencetuskan pelbagai masalah dalam kehidupan manusia. Bagaimana pula dengan ekuinoks di padang mahsyar. Kedudukan matahari hanya sejengkal jaraknya dari kepala manusia dengan kepanasannya 70 kali ganda lebih tinggi dari matahari di dunia. Pasti dahaganya tidak terkata. Padanlah Allah menyediakan telaga Kauthar untuk golongan yang beriman. Di dunia ini, air boleh dicari di mana sahaja. Tapi, di padang mahsyar kelak, silap-silap haribulan, kita akan minum air peluh kita sahaja. Nauzubillahi min zalik. Itu baru di padang mahsyar, belum lagi di neraka. Di mana semua ‘perkakas’ didalamnya semua panas-panas. Nak minum air? Boleh… sudah tentu. Ada campuran darah dan nanah yang busuk, panas lagi menjijikan. Penghuni neraka akan meminumya seperti unta yang minum, sangat gelojoh walaupun dia hampir-hampir tidak mampu menelannya. Tapi jika ditelan sekalipun, usus dan tali perut akan terburai dan terputus dek kepanasan yang melampau. Hssss… Pedihnya!!!

Akhir kata, Cukuplah…cukuplah fenomena ekuinoks ini mengajar kita erti hidup di padang mahsyar. Cukuplah fenomena ekuinoks ini sebagai peringatan untuk kita merasa gerun dengan neraka Allah. Ambillah iktibar darinya. Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian siang dan malam, terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi yang berakal. Iaitu orang- orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Ya tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia. Maha suci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka”. [Al-Imran:190-191].

No comments:

Post a Comment