Monday 29 February 2016

Penetapan Matlamat (Dr Zakir)




 
Alhamdulillah..semalam aku diberi peluang untuk menonton suatu rancangan di tv al-hijrah. Aku tidak mengingati tajuk programnya  Tetapi berkisarkan penyampaian daripada seorang imuwan terulung, Dr Zakir Naik. Semalam beliau berceramah tentang penyelarasan matlamat (Goal setting). Sangat menarik kerana ada kaitannya dengan tesis aku

Dr Zakir Naik memperkenalkan formula baru tentang matlamat menggunakan Kaedah pneumonic
Iaitu:

I-S-L-A-M-I-C
 di mana

I = Islamic (berteraskan Allah dan Rasulnya)
S- Specific (Spesifik)
L- Lucrative(Menguntungkan)
A-Appropriate (sesuai)
M- Measurable
I-Intention
C-Consistency

Islamik

Dr Zakir mengatakan matlamat yang dibuat mestilah islamik. Dalam kata lain ia memenuhi kriteria dalam syariah Islam selari dengan Quran dan Hadis. Ianya juga merupakan perkara asas dalam penentuan matlamat. Jika matlamat tidak selari dengan kehendak islam maka sia-sialah usaha orang yang bekerja keras terhadap perkara tersebut.Seperti mana yang disebut dalam quran:

Katakanlah Muhammad apakah perlu kami memberitahumu tentang orang yang paling rugi perbuatannya.Yaitu orang yang sia-sia perbuatannya di dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu adalah orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka[Al-Kahfi, 103-105]

.Oleh itu sebelum apa yang diperolehi tidak menjadi sia-sia, eloklah kita menilai kembali sasaran yang telah dibuat agar selari dengan kehendak syarak


Spesifik

Seorang guru membawa anak-anak muridnya ke hutan. Hari ini, mereka akan belajar memanah. Guru berkata kepada mereka untuk memanah seekor burung di atas dahan.Guru tersebut menyuruh murid-muridnya bersedia. Beliau pun bertanya setiap seorang apa yang mereka nampak?

Murid 1: Saya melihat pokok-pokok yang tinggi dan burung-burung berterbangan memenuhi segenap hutan belantara ini

Murid 2: Saya melihat seekor burung sedang hinggap di atas dahan

Murid 3: Saya melihat mata burung

Guru itu pun menyuruh anak-muridnya melepaskan panah masing-masing. Boleh pembaca sekalian meneka siapa yang berjaya memanah burung tersebut…

Murid 3!!! Ya.. tepat sekali. Kerana apa dia berjaya. Kerana beliau sangat spesifik. Terus fokus pada mata burung tersebut. Akhirnya dia berjaya.
Seperti itulah kita..harus fokus. Supaya tidak tersasar jauh dari matlamat sebenar.

Lucrative (Menguntungkan)

Matlamat yang dibuat juga perlulah menguntungkan kehidupan dunia dan akhirat. Sekiranya matlamat yang ingin dicapai memudaratkan kita, apa gunanya kita berkorban untuk menggapai matlamat tersebut. Tiba-tiba aku teringat sebuah program realiti fear factor. Sebuah rancangan yang benar-benar menguji kemampuan seseorang untuk memenangi  duit satu juta. Antara cabaran yang harus dilakukan ialah memakan telur ayam mentah yang berusia lebih 100 tahun. Bukankah itu boleh memudaratkan dan tidak menguntungkan. Barangkali telur tersebut mengandungi toksin berbahaya yang akan memudaratkan kesihatan. Pada saya adalah tidak berbaloi untuk menyantap telur mentah berusia 100 tahun semata-mata wang satu juta. Oleh itu, sila berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Jika tiada keuntungan untuk dunia dan akhirat, berdoalah agar Allah menunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk kita

Appropriate (Sesuai)

Ciptalah matlamat yang berpadanan dengan kesesuaian dan kemampuan kita. Contohnya adakah kita tegar untuk menyambung pelajaran di luar negara sedangkan ibu bapa kita kurang sihat dan memerlukan perhatian kita. Dalam konteks ini, walaupun tujuan anda ingin belajar di luar negara merupakan perkara yang baik tetapi berbuat baik kepada ibu bapa itu adalah lebih utama di sisi Allah Taala.Oleh itu, selaraskanlah matlamat supaya ianya bersesuaian dengan keperluan dan kehendak semasa


Measurable (Mampu dicapai)
Matlamat yang ingin dicapai biarlah bersesuaian dan berpadanan dengan kemampuan kita. Bak kata pepatah jika kail panjang sejengkal, lautan yang dalam usah diduga.

I-Intention
Dalam hadis satu ada menyebutkan bahawa, Sesungguhnya amalan itu didasari oleh niat. Dan seseorang akan dapat apa yang dia niatkan.

C-Consistency
Ertinya segala usaha ke arah kebaikan mesti dilakukan secara penuh konsisten atau istiqomah. Bahkan Allah menyukai ibadah hambanya yang sedikit tetapi berterusan berbanding ibadah yang banyak tetapi dibuat pada masa –masa tertentu sahaja.

Itu sahaja perkongsian setakat ini…. tata

Wednesday 17 February 2016

Tulislah untuk Ummah


Semalam aku diberi peluang oleh Allah Taala untuk menghadiri bengkel penulisan. Setelah hampir dua tahun aku menulis blog, ini kali pertama aku menghadiri bengkel penulisan.Penceramah bengkel tersebut ialah Dr Hisyam Syarif, seorang pensyarah Sistem Maklumat Perakaunan di Universiti Utara Malaysia.Objektif utamanya dalam bengkel tulisan kali ini ialah untuk memecahkan mental block yang menghalang individu untuk menulis.

Antara pengisiannya ialah:

Mengapa perlu menulis

Kebanyakkan penulis menulis untuk mendapatkan wang royalti. Tidak dinafikan ramai penulis novel yang kaya raya menikmati hasil penulisan mereka seperti penulis novel Ramli Awang Mursyid, Norhayati Ibrahim dan sebagainya. Begitu juga penulis sejarah yang terkenal iaitu Abdul Latip Talib. Beliau mampu menjana pendapatan hampir dua juta setahun melalui cetakan dan jualan buku-bukunya.Menulis untuk mendapatkan wang memanglah bagus. Tetapi jika kita hanya menulis untuk royalti atau mungkin untuk populariti, maka kita akan mendapat setakat itu sahaja. Tetapi jika kita menulis kerana Allah, In sha Allah, kita akan meraih pahala berpanjangan.Dunia dapat, akhirat pun dapat.

Menewaskan kepelikan yang mendominasi

Sekiranya kita melihat carta bestseller yang dipaparkan pada laman web penerbitan, kita akan mendapati bahawa banyak karya-karya picisan yang mendominasi carta. Novel-novel seperti 'Asam pedas untuk dia', 'Love You Mr Arrogant', 'Suamiku Encik Sotong'. Bahan picisan seperti ini bukan sahaja tidak membangunkan minda malah menjauhkan masyarakat dari sikap berfikiran kritikal. Bahan picisan mengandungi banyak perkara santai, khayalan dan fantasi yang kadang-kadang melampaui batas.Oleh itu sangat penting untuk kita menyediakan diri sebagai penulis alternatif yang mampu menyediakan karya ilmiah kepada para pembaca. Karya sebegini haruslah diperbanyakkan bagi melawan kembali penulis-penulis yang memperjuangkan agenda-agenda negatif seperti kebebasan seksualiti, liberalism dan feminism.Bahan bacaan ini sangat berbahaya kerana ia akan meracuni perrmikiran pembaca. Contohnya, kontroversi novel Pantai Kasih yang dijadikan silibus pengajaran Bahasa Melayu di sekolah walaupun terdapat ayat berbaur lucah dalam novel tersebut.Fenomena ini menunjukkan betapa sistem pendidikan seolah-olah tidak menunjukkan sensitiviti terhadap unsur lucah (di dalam novel) dan terus menghidangkannya sebagai bahan bacaan pelajar di sekolah.Pada pendapat saya, ini sudah parah memandangkan ia sudah menembusi institusi pendidikan 
 yang formal.



Bolehkah aku menulis

Kata penceramah, manusia sering beralasan untuk menulis. Ada yang mengatakan tidak berbakat, tak ada masa, dan sebagainya. Jika membincangkan soal bakat, bakat itu sebenarnya adalah suatu yang sangat relatif. Bakat sebenarnya boleh terhasil dari kerja keras dan komitmen yang diberikan terhadap sesuatu perkara. Oleh itu, untuk menggilap bakat penulisan, kita hanya perlu memberikan komitmen untuk menulis. Sesetengah individu beralasan mereka tidak punya masa untuk menulis. Hakikatnya, kita yang menentukan masa kita. Jika kita ada masa berjam-jam untuk melayari facebook, kenapa kita tidak boleh meluangkan masa berjam-jam juga untuk menulis. Jika kita kata tiada masa, kenapa housemen yang mempunyai jadual kerja yang padat itu boleh menulis. Contohnya buku diagnosis, ia adalah  yang hasil tulisan beberapa orang housemenship officer.Selain itu, ada juga yang merasakan mereka sudah tua untuk menulis. Tahukah anda Abdul Latip Talib hanya mula menulis pada usianya 40 tahun. Jadi mengapa kita sebagai orang muda ini masih berlengah-lengah. Ayuh semua...Jom kita terus menulis..menulis untuk Ummah!!![kredit untuk diri sendiri]


Wallahua'lam





Monday 15 February 2016

Inilah laluan cinta



 Laluan mencari cinta Allah bukanlah sesuatu yang senang. Hingga untuk kita mengucapkan cinta kepada Allah pun perlu berhati-hati. 

Bak kata Imam Al Ghazali dalam bukunya yang bertajuk kimia Kebahagiaan:

Sekiranya seseorang bertanyakan kepadamu Adakah kamu mencintai Allah ataupun tidak,hendaklah kamu diam. Kerana jika kamu berkata “ya”, dibimbangi ada perbuatan yang kamu lakukan yang tidak menggambarkan kecintaanmu padaNya, dan jika kamu berkata “tidak”, dibimbangi kamu akan jatuh ke lembah kekufuran.

Hidup kita pasti akan diuji. Kerana Allah juga ingin melihat sejauh mana cinta kita kepadaNya. Ada ujian nikmat, ada juga ujian musibah. Tetapi ujian yang banyak mendekatkan kita pada Allah biasanya ujian kesusahan, kesedihan, kematian dan segala perkara yang tidak disenangi hawa nafsu. Di sinilah Allah menguji tahap keimanan kita. Adakah kita redha dengan taqdir Allah, adakah kita mampu bersabar di atas ujian ini dan sejauh mana kita akan terus bersangka baik dengan Allah. Dan inilah perkara yang paling mahal sebenarnya.

Dan dalam adab menerima musibah itu sendiri, Nabi mengajarkan kita untuk berdoa: 
Ya Allah bantulah aku untuk bersabar di atas ujian ini dan kurniakanlah ganti yang lebih baik kepadaku.

Amalkanlah doa ini. In sha Allah, pasti keajaiban akan muncul dalam hidup kita.

Kata Dr Zulkifli Albakri, ada tiga macam perkara di sebalik musibah yang berlaku

1.       Akal kita masih tidak mampu melihat hikmah peristiwa tersebut
2.       Barangkali Allah ingin memberikan yang lebih baik untuk kita
3.       Kemungkinan musibah yang berlaku akan menjadi penghapus dosa-dosa kita



Dan kita juga perlu ingat, musibah yang menimpa inilah lazimnya yang akan menjadikan hati kita jinak untuk mengingat Allah. Dan bila kita memandang setiap sesuatu itu dari Allah; yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sebab sakitnya hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang serta menyusah-nyusahkan hidupmu…Pasti akan damailah hatimu. Kerana, masakan Allah mentaqdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu betapa deritanya hidupmu, pecahnya hatimu..tapi mungkin itulah yang dia mahu. Kerana dia tahu, hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk Akrab dengan-Nya.

Dan jika musibah itu sakitnya terlalu menusuk, datanglah pada Allah untuk mengadu dan merayu. Katakan bukan engkau tidak redha, tapi engkau adalah hambanya yang terlalu lemah. Mohonlah pimpinan dan kekuatan daripadanya. Jika belum Dia mahu mengangkat derita itu , maka mintalah derita itu menjadi sebab untuk engkau terus berada dalam perhatian dan kasih sayangnya

Ya Allah, Aku mohon cintaMu, dan cinta-cinta orang yang mencintaiMu, dan amalan-amalan yang menyampaikan kami kepada cintaMu. Ya Allah, Kau jadikanlah cinta kami kepadaMu lebih kami cintai dari diri kami, keluarga kami dan air sejuk.