Entri kali ini
sengaja saya tuliskan kerana terkesan dengan perkongsian beberapa sahabat yang
terpaksa menghadapi proses bersalin dengan doktor lelaki. Sebagai wanita, sudah
tentu perkara ini sangat memalukan dan akan meninggalkan trauma yang mendalam
apatah lagi jika wanita itu seorang muslimah yang benar-benar menjaga
kehormatan dirinya.
Mengharapkan pihak hospital semata-mata untuk mencari solusi kepada isu ini adalah hampir mustahil. Persoalannya,
dalam situasi yang semakin kritikan tentang isu ini, apakah usaha yang harus kita lakukan untuk mengelak
insiden ini berlaku sekurang-kurangnya ke atas diri kita. Dalam entri ini saya
tidak akan sekali-kali menyentuh polisi hospital atau menyalahkan doktor
lelaki. Tetapi lebih kepada memberi kesedaran kepada kaum hawa untuk mereka
lebih memahami isu kehormatan diri mereka.
Tip-tip untuk
mengelak bersalin dengan doktor lelaki adalah seperti berikut:
1.
Wanita harus memahami konsep malu, aurat dan
maruah diri
Sungguh menyedihkan apabila wanita hari ini menganggap malu itu hanya
apabila mereka terpaksa mengangkang kaki di hadapan doktor lelaki untuk memudahkan
kemaluan mereka diperiksa. Maafkan saya jika bahasa saya agak kasar. Tapi
inilah realiti yang berlaku. Kebanyakkan wanita hari ini menganggap pemakaian
yang mendedahkan aurat bukan sesuatu yang memalukan. Kadang-kadang mereka
berseluar ketat sehingga menampakkan bentuk kaki dan ‘v shape’ yang seharusnya
ditutup dengan baik. Mengapa mereka tidak malu untuk menayang-nayangkannya?
Ya.. mungkin sebab ia kelihatan cantik.Tetapi bagaimana dengan kemaluan? kenapa
kemaluan pula malu didedahkan secara ‘real’? (yang ini jawablah sendiri).
Perlu diingatkan bahawa aurat tu bukanlah kemaluan semata-mata tetapi
seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.Hari ini ramai wanita gagal menjaga
aurat mereka. Percayalah, jika dalam keadaan mampu pun anda tidak berusaha menjaga
aurat anda, adakah anda fikir Allah akan memelihara aurat anda tatkala anda
tidak berdaya untuk membuat apa-apa ketika anda ingin bersalin. Dalam erti kata
lain, jika kita berusaha menjaga aurat kita sebaiknya di luar bilik bersalin,
in sha Allah, dalam keadaan yang kita tidak mampu, Allah yang akan tolong
jagakan maruah kita di bilik bersalin. Dan saya rasa tidak keterlaluan untuk
saya katakan bahawa, terdedahnya ‘aurat berat’ wanita pada hari ini adalah satu
bencana disebabkan kegagalan para wanita untuk memelihara ‘aurat ringannya’.
Semoga pemeliharaan Allah ini akan menjauhkan kita dari bersalin dengan doktor
lelaki
2.
Wanita harus memahami bahwa jihadnya memelihara
kehormatan adalah tiket untuk ke syurga.
Hadis nabi ada mengatakan bahawa :
“Seorang wanita yang mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan
Ramadhan, memelihara kemaluan serta taat kepada suaminya, dia boleh masuk ke
syurga dari mana-mana pintu yang dia mahu”
Realitinya pada hari ini, ramai wanita yang menghadapi kesukaran untuk
memelihara maruah dan kesucian diri mereka terutamanya ketika hendak bersalin. Namun,
jika anda memahami bahawa inilah antara jihad anda untuk ke syurga, anda mesti
lakukan juga walau sebesar manapun halangan yang ada. Ya susah memang susah
terutamanya apabila terpaksa bersalin di hospital kerajaan. Jika tidak
berjihad, terasa maruah itu terbang seperti burung keluar dari sarangnya.
Hilang sekelip mata selepas bertahun-tahun dijaga. Dalam hal ini, kita harus
mengimbau kembali bagaimana serikandi Islam memperjuangkan maruah dirinya.
Tidak tegarkah kita untuk menjadi seperti Mariam yang rahimnya dimuliakan Allah
hingga menjadi tapak lahirnya Nabi Isa a.s. Semoga kesungguhan kita untuk
memelihara kesucian diri akan menjadikan kelahiran bayi kita selamat dan
diberkati.
3.
Jagalah kesihatan anda dan kandungan dengan
sebaiknya
Menjaga kesihatan diri semasa tempoh kehamilan sangatlah penting. Ini
kerana jika terdapat komplikasi yang berlaku, maka lebih kerap anda akan
terpaksa berjumpa dengan doktor. Dalam hal ini, risiko untuk menerima rawatan
dengan doktor lelaki juga adalah tinggi kerana kebanyakkan mereka adalah pakar
sakit puan.Walaupun anda telah dapatkan rawatan di hospital swasta untuk
khidmat doktor wanita, tetapi jika ada mengalami komplikasi, mereka akan merujuk
doktor lelaki di hospital kerajaan. Oleh itu dalam usaha kita menjaga kesihatan
diri dan kandungan, niatkanlah supaya kesihatan diri yang kita kecapi itu
merupakan sebahagian usaha kita untuk memelihara diri kita daripada dirawat
oleh doktor lelaki.
4.
Pastikan suami anda seorang yang menjaga
pandangan dan tidak menonton pornografi
Dalam kehidupan suami isteri, antara hakikat yang kita harus terima ialah
setiap dosa yang dilakukan suami atau isteri tidak dapat tidak pasti akan
memberi kesan kepada pasangannya. Usaha untuk seorang wanita itu dalam menjaga
maruah dirinya tidak akan berhasil jika suaminya adalah seorang kaki vedio
lucah. Ini kerana jika suaminya melihat aurat perempuan lain tidak mustahil
suatu hari nanti aurat isterinya pula akan dilihat oleh lelaki lain. Dalam
konteks ini, sinergi kerjasama memelihara maruah diri haruslah wujud antara
suami isteri agar maruah kedua-duanya akan terjaga. Jika maruah terjaga, in sha
Allah, terselamatlah wanita itu dari dirawat doktor lelaki.
5.
Carilah hospital swasta yang menawarkan
perkhidmatan doktor wanita
Apabila isu hospital swasta dibangkitkan, masalah utama yang dihadapi
oleh orang ramai ialah masalah kewangan. Ramai wanita yang inginkan khidmat
bersalin di hospital swasta terpaksa berputih mata kerana wang tidak cukup.
Bagi saya pihak suami perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk
menyediakan bajet yang secukupnya agar isterinya boleh melahirkan anak dengan
tenang di samping doktor wanita.Untuk wanita pula, ada baiknya untuk melaburkan
duit demi menyelamatkan maruah diri kita daripada membelanjakannya untuk
membeli aksesori-aksesori bagi ditayangkan kepada umum. Ketahuilah, maruah itu
lebih mahal dari segala perhiasan yang ada di bumi ini.
6.
Berdoalah bersungguh-sungguh
Selepas kita menjaga aurat dengan baik, mengumpul duit ke hospital swasta
dan menjaga kesihatan diri kita, berdoalah agar Allah memberkati usaha kita
untuk menjaga maruah kita. Doa merupakan senjata orang mukmin. Dr Harlina Siraj
(pakar sakit puan)sendiri pernah menceritakan bagaimana kesungguhan ibu itu berdoa
supaya maruahnya terpelihara semasa bersalin dimakbulkan Allah.
In sha allah dengan kesungguhan kita berdoa, Allah akan menggerakkan ‘tentera-tenteranya’
untuk memelihara maruah diri kita. Manalah tahu kesungguhan kita berdoa
menyebabkan doktor lelaki yang sepatutnya merawat kita tiba-tiba sakit perut,
hendak ke tandas ataupun tiba-tiba dia dipanggil pengarah hospital. Entahlah.
Berbagai keajaiban boleh berlaku.
Kesimpulannya, menjaga maruah itu adalah tanggungjawab kita. Dan pohonlah
bantuan Allah untuk memelihara mahkota ini. Kerana hakikatnya hanya Allah
sahaja yang mampu menjaganya, bukan kita, bukan suami kita jauh sekali
doktor-doktor di hospital. Akhir kata, letakkanlah kepercayaan kepada Allah
kerana Allah adalah penjaga terbaik dan Dia Maha Penyayang di antara para
penyayang [12:64].