Tuesday 11 August 2015

Thesis writing.. in progress


Alhamdulillah....

Akhirnya aku telah berjaya membentangkan kertas kerja  kajian dengan baik. Sudah tentu ini semua kurniaan dari Allah.Sesungguhnya tiada daya upaya dan kekuatan melainkan daripada Allah. Walaupun mendapat kritikan dan teguran, aku mnerimanya dengan terbuka dan berlapang dada. Bak kata pensyarah ku:

"Its ok, Its learning process"

Melakukan transisi daripada kajian tentang sains tulen kepada sains sosial adalah satu cabaran yang besar buat diriku, jika semasa di peringkat ijazah, aku menulis tesis tentang bidang kimia, tiba-tiba hari ini aku perlu menulis mengenai topik psikologi. 

Jauh di sudut hati, aku berharap kejujuran akan terus menemaniku dalam penulisan tesis. Sebenarnya buat kajian bukannya perkara mudah. Kadang-kadang banyak data yang boleh diubah semata-mata untuk mendapatkan keputusan yang baik. Aku berharap Allah akan terus membantuku untuk terus berlaku jujur dalam kajian ini.Data baik ke tak baik ke...in sha Allah, aku cuba bincangkan sahaja.


Inilah perjuanganku buat masa ini. Perjuangan menulis tesis dengan jujur dan penuh akademik. Semoga ilmu yang aku perolehi akan menjadi panduan dan rujukan yang berguna buat penuntut-penuntut lain.

[Icapan terima kasih untuk Prof Neena, PM Dr Arsay, PM Dr Fauziah Abd Rahim, Dr Fauziah Jaafar dan Dr Khaliza Saidin atas kesudian kalian membantuku dalam penulisan ini]

#Ilovemylecturers

Thursday 6 August 2015

Keluarga dan ekonomi




Apabila saya menyoroti fenomena wanita bekerja, saya melihat ramai kaum lelaki yang lebih memahami peranan wanita itu lebih daripada peranan seseorang wanita itu. Sejujurnya saya mengagumi para lelaki yang memperjuangkan untuk menggalakkan wanita mengutamakan peranan mereka di rumah. Kebanyakkan wanita menganggap lelaki seperti ini kolot, tidak terbuka dan berfikiran jauh. Tetapi hakikatnya merekalah insan yang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan ummah pada hari ini. Tetapi wanita moden pula masih beranggapan bahawa peranan mereka dalam rumahtangga hanyalah ‘tugas sampingan’ yang dilihat tidak memberi kesan yang signifikan dalam pembangunan masyarakat. Wanita hari ini dimomokkan dengan kemajuan materialistik dan tanpa menyedari mereka telah mengabaikan peranan utama mereka untuk membangunkan insan. Saya tidak nafikan masalah ekonomi yang menjadi punca wanita bekerja. Sejujurnya saya pun tidak banyak ilmu untuk mengulas isu ini kerana saya masih tidak melalui perkara tersebut. Keteguhan ekonomi semestinya penting dalam rumah tangga tetapi sekiranya keteguhan ekonomi hanya berjaya dicapai dengan mengorbankan rumah tangga, bagi saya itu bukan merupakan solusi yang bijak. 

Keteguhan ekonomi juga perlu ditakrifkan semula. Adakah ekonomi yang teguh itu dinilai dengan keinginan yang tinggi untuk menggunakan toyota Camry walaupun hakikatnya sudah mempunyai perodua viva. Bagi saya , Perkara yang penting di sini ialah rasa qanaah atau cukup atas segala rezeki yang ada. Allah mungkin tak memberikan kita gaji yang banyak, tetapi Allah memberikan kita kecukupan untuk menikmati kehidupan. Kebanyakkan kaum wanita tidak bersyukur dengan pemberian suaminya dan meminta-minta sesuatu yang berada di luar kemampuan suami. Jika suami tidak mampu didesaknya si suami untuk membenarkan mereka bekerja. Apabila dah masuk dunia pekerjaan, mereka pun menginginkan apa yang ada pada wanita lain seperti kereta sendiri, baju-baju mahal, aksesori, set kerusi sofa yang elegan. Di sini dapatlah kita lihat keinginan bekerja hanyalah ingin memenuhi tuntutan nafsu mereka iaitu untuk membeli pelbagai barangan berjenama bukan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Duit banyak tetapi gagal merancang juga adalah suatu kerugian dalam rumahtangga. Bahkan ada yang sanggup berhutang semata-mata ingin memiliki barangan mewah. Jika budaya ini semakin membarah dalam rumah tangga, maka tujuan berumahtangga untuk mencipta ketenangan akan gagal kerana hanya ketegangan yang bakal timbul setiap masa dek hutang yang menimbun.

Itu dalam konteks wanita, lelaki pula banyak memfokuskan pada gajet atau kereta. Mereka sanggup melabur ribuan ringgit semata-mata ingin menghias kereta. Padahal bukan mereka tinggal, tidur dan makan di dalam kereta tersebut. Kereta hanyalah kenderaan yang diperlukan untuk memudahkan kita ke tempat kerja. Membelanjakan duit semata-mata ingin menghias kereta sehingga kewangan keluarga terjejas adalah suatu pengkhianatan yang besar terhadap keluarga. Tidak dinafikan ada lelaki yang memang minatnya menghias kereta. Minat itu tidak salah. Tetapi sangat penting untuk kita memahami keutamaan di mana sepatutnya kewangan itu disalurkan. Hobi lelaki ni pelik juga ya. Kadang-kadang, mereka sanggup bertukar-tukar kereta kerana alasannya sudah puas memakainya. Akibatnya hutang kereta lama belum selesai, kemudian buat pinjaman lain untuk membeli kereta baru. Lelaki..lelaki…


Realiti yang banyak berlaku

 Bagi saya pelaburan terbaik untuk rumah tangga adalah untuk pendidikan anak-anak. Kesanggupan ibu bapa untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak akan membuahkan hasil yang baik bukan sahaja dalam likungan keluarga, bahkan masyarakat.Membeli makanan terbaik untuk anak, menghantar mereka ke sekolah yang baik, merangka  aktiviti menyeronokkan untuk anak, semuanya memerlukan kewangan.Lagipun anak-anak merupakan amanah terbesar dalam rumahtangga, melebihi saiz kediaman, kemewahan perabot atau apa sahaja elemen yang melibatkan rumahtangga. Pelaburan untuk membina anak yang soleh bukan sahaja mendatangkan keuntungan di dunia bahkan juga di akhirat. Jika anda melabur banyak untuk kereta, sebaik sahaja anda mati, anda tidak akan memperoleh faedah apa-apapun dari kereta yang cantik itu. Tetapi anak soleh boleh menjadi pencen kubur yang sangat membantu kita di alam barzah kelak. Dalam merancang ekonomi, perancangan harus melangkaui sehingga akhirat kerana kematian itu bukan pengakhiran hidup kita cuma transisi ke dunia yang baru.Jika kita gagal merancang ekonomi yang baik dalam keluarga, kita bukan sahaja akan merana di dunia malah juga di akhirat.

Pelaburan anak soleh jauh lebih menguntungkan
Wallahua'lam.Sekadar pendapat




Wednesday 5 August 2015

Part time job: Penjual sate ikan





Siapa sangka aku akan berniaga. Kini aku menjual sate ikan. Aku sendiripun tak percaya. Semuanya berlaku tiba-tiba. Agaknya inilah takdir. Subhanallah

Imbas kembali

Tika aku sedang membaca buku You are the best  di atas sofa, abangku juga datang membaca buku di sebelahku. Masing-masing asyik membaca. Tiba-tiba dia memandang ke arahku dan bercakap tentang perniagaan. Dia asyik bercerita bagaimana rakannya seorang attendance menguruskan bisnes. Kemudian dia terus menyarankan untuk aku berniaga. Tujuan utamanya ialah supaya aku menjadi pendorong untuk adik lelakiku yang masih belum mempunyai pekerjaan. Tiba-tiba aku dapat merasakan tekanan sangat memuncak. Tika dia sibuk mengusulkan pelbagai cadangan untuk aku berniaga, otakku ligat berfikir perkara tersirat. Dia itu abangku, kami tak ada ibu bapa. Semua tanggungan berada di atas bahunya. Di sebalik kata-katanya aku tahu dia mahu aku berdikari. Sebelum ini memang segala perbelanjaan aku ditanggung beres oleh arwah abah. Walaupun sebelum inia ku berfikir untuk menjana duit melalui penulisan, aku akui proses ini agak memakan masa. Jadi aku harus mencari pendapatan sampingan yang boleh membantu aku meneruskan kehidupan.

“Kalau boleh Abanglong nak mu start lusa ni,fikirlah apa-apa yang oleh dijual kat kedai mak (panggilan untuk nenekku). Buat kuih ke…, apa-apalah..”

Gulp…. Kalau buat kuih untuk makan pagi ni, aku takdelah pandai sangat. Tapi kalau buat kuih untuk makan petang bolehlah..macam puteri mandi, puding sagu, puding koktail kee…

Sebelum ni memang aku niat untuk menjual dadih dan menjualnya di politeknik memandangkan sepupuku menguruskan koperasi di situ. Tetapi koperasi itu agak lambat beroperasi. Abangku sudah tidak sabar untuk melihat aku berniaga dan meraih pendapatan sendiri. 

Sejujurnya tak pernah langsung aku fikir untuk menjadi peniaga. Seingat aku kali terakhir aku berniaga pun waktu dekat UMT. Itu pun sekadar nak memenuhi keperluan kursus. Sebelum tu memang aku ada menjual dadih di sekolah menengah. Tapi pengalaman tu tak pernah pun membuatkan berminat dengan perniagaan. 

Nak berniaga online… jauh sekali.. sebab aku sendiripun jenis kurang gemar mengadap laptop dan telefon lama-lama, apatah lagi berjam-jam hanya untuk menunggu tempahan pelanggan.Dan faktor ketiga inilah yang membuatkan aku rasa amat mustahil untuk menceburkan diri dalam perniagaan.

Tapi entah kenapa aku tidak dapat menolak cadangan abangku. Aku rasa seperti terkunci mulut aku untuk membantah. Aku rasa seperti aku sudah tiada pilihan dan walau sesusah manapun aku mesti memulakan perniagaan dalam waktu yang ditetapkan. Selepas berbincang dengan abangku, aku terus menukar bahan bacaan. Daripada membaca buku you are the best, aku tukar buku lain. Tajuknya Think and Grow Rich. Sebuah buku tentang perniagaan oleh Napoleon Hill. Selepas melihat aku menukar bahan bacaan, abangku cepat-cepat menghulurkan aku semua jenis buku perniagaan yang ditulis oleh Robert T Kiyosaki.



 Fuh…

[Bersambung]