Tuesday 21 July 2015

Terus berjuang



Hari ini aku sangat bersyukur kerana Allah telah menambahkan bagiku kefahaman yang mendalam tentang peranan wanita yang sebenarnya. Benarlah, jika kita membersihkan hati, ilmu itu akan menyerap bagaikan span ke dalam hati kita. Walaubagaimanapun, ilmu yang aku perolehi tetap ku anggap sebagai amanah yang besar untuk aku kongsikan dengan seluruh wanita di dunia. Biarpun hanya blog yang akan kugunakan untuk menyebarkan kefahaman aku, aku tetap bercita-cita untuk menerbitkan buku bagi menyebarluaskan ideologi aku tentang peranan wanita selari yang digariskan oleh Islam.

Baru-baru ini, aku menonton astro awani. Analisis awani membincangkan soal transformasi wanita moden di India. Izza Izelan, pengacara segmen tersebut telah menemubual seorang penulis buku tentang perjuangan wanita di India, Ira Trivadi. Penulis ini cuba menyebarkan kefahaman mengenai perlunya berlaku anjakan paradigma bagi wanita di India kerana mereka masih terikat dengan budaya tradisional dalam soal mempertahankan hak wanita, contohnya jodoh ditentukan oleh ibu bapa, wanita lebih digalakkan berada di rumah dan suami mempunyai kuasa mutlak ke atas isteri. Sejujurnya, aku menganggap budaya ini sebagai sesuatu yang positif dan harus dikekalkan. Adalah tidak wajar untuk kita mengubah sistem yang hakikatnya lebih banyak memberi manfaat berbanding kemudaratan. Walaubagaimanapun, Ira menganggap ini sesuatu yang sangat jumud dan seolah-olah menyekat kebebasan wanita pada hari ini. Berdasarkan ucapannya semasa ditemubual, beliau sangat menggalakkan pergaulan yang lebih bebas antara lelaki dan wanita. Beliau pernah menganjurkan acara berdating dan menggalakkan anak-anak muda mencubanya. Program ini dibuat kononnya untuk membuat mereka lebih yakin dengan diri sendiri dan boleh memulakan hubungan tanpa rasa malu.

Jadi aku berpendapat usahanya untuk memodenkan wanita India dengan mengorbankan sistem nilai yang selari dengan ajaran islam adalah sangat membimbangkan. Tetapi dia telah berjaya menerbitkan tiga buah buku untuk menyebarkan ideologinya. [Aku???, ini bikin buat aku rasa nak menangis].Walaupun aku hanya mampu menerbitkan tulisanku di blog, jauh di sudut hati Aku memohon agar Allah memudahkan perjalananku untuk menjadi penulis yang punya perjuangan…. Sekurang-kurangnya inilah kebaktianku pada masyarakat dan aku berharap  Allah akan terus memberkati penulisanku ini bagi menangkis segala idelogi sonsang yang hakikatnya hanya membawa kemudaratan dalam hidup kita. In sha Allah.