Tuesday 30 June 2015

Hakikat kehidupan adalah pilihan





Hakikat kehidupan adalah pilihan

Dan sebaik-baik pilihan adalah apa yang terbaik yang Allah tentukan untuk hidup kita

“Ramlee..Hari ini nak makan mee goreng ke nasik lemak?”

“Aziz….Kita nak isi minyak kat Caltex ke Petronas?”

“Malam ni nak study apa Sudin? Math ke sejarah?”

Situasi-situasi di atas mungkin pernah berlaku dalam hidup kita. Sedar atau tidak ia merupakan pilihan. Dan kita bertanggungjawab di atas setiap keputusan yang diambil. Dan bagi membuat pemilihan ini semuanya adalah soal hati. Hati yang baik akan memilih yang baik, hati yang jahat akan cenderung pada yang jahat.

Sebab itu Allah berfirman:

Sungguh beruntung orang yang menyucikan jiwa
Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. [Ash-syams: 9-10]

Oleh kerana hidup ini adalah pilihan, sesetengah ulama menyarankan kita melakukan istikharah setiap hari supaya setiap keputusan yang diambil itu terpandu [Ops… susah kot nak konsisten macam ni].Istikharah pula mestilah mestilah diiringi taubat dahulu. Kerna taubat itu menyucikan dan menyimbahkan cahaya. Konsep cahaya bergerak lurus. Jika dosa yang menutupi hati ibarat objek legap yang menghijab hati, mampukah cahaya petunjuk akan tertuju kepada hati kita? Sebab itulah taubat dan istighfar sangat penting sebelum beristikharah.

Kerana akhirnya kita hanyalah hamba

Ingatlah sehebat mana akal kita, setinggi mana pointer yang kita pernah dapat kita, tetap ada ilmu ghaib yang tidak mampu digapai kecuali dengan merujuk kepada Allah. Hakikatnya hanya Allah yang Maha Mengetahui tentang kita, masa depan kita, nasib kita…semuanya tidak dapat dijangka.

Bahkan Allah sendiri yang menyarankan kita untuk merujuk kepadanya sebagaimana firmannya dalam surah an-Nisak

Sekiranya kamu berselisih faham tentang sesuatu perkara, rujuklah Allah (Quran) dan Rasul (sunnah) jika kamu mengaku beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikian itu lebih baik dan terbaik pula kesudahannya. [An-Nisak:59]

Istikharah juga melambangkan kebergantungan kita kepada Allah sebagai hamba yang sejati. Untaian permohonan dan keinginan bagi mendapatkan perkara terbaik dengan merujuk Allah menjadikan kita lebih merendah diri kepada Allah yang maha mengetahui perkara ghaib. Secara tidak langsung, kita telah menyerahkan urusan kita kepada Allah. 

Selepas beristikharah dan membuat keputusan, berusahalah ke arahnya dengan jalan tidak dicemari maksiat agar setiap perjalanan kita menuju ke arah matlamat yang ingin dituju akan membuahkan keberkatan yang berpanjangan di sisi Allah.

Kesimpulannya dalam setiap perkara yang kita buat, rujuklah kepada Allah, Kadang-kadang tidak semestinya dengan solat istikharah sahaja, cukup sekadar kita mengetahui dan sedar hukum hakam dan perkara yang kita telah lakukan. Itupun sudah dikira merujuk Allah. Tetapi jika kita merasakan keputusan itu melibatkan sesuatu yang besar yang bakal mempengaruhi keseluruhan hidup kita, sebagai contoh pemilihan pasangan, pemilihan tempat belajar atau apa-apa sahaja, dirikanlah solat istikharah agar hati kita terpandu dan pasakkanlah segala keyakinan dan sandaran kita hanya kepada Allah semata-mata.

Sesudah beristikharah, berusaha dan menikmati hasilnya, jangan sesekali kita menyesal dengan pilihan yang Allah taqdirkan kepada kita. Walaupun mungkin terdapat sisi negatif pada pandangan kita tetapi sebaiknya terimalah keputusan itu seadanya kerana barangkali Allah lebih mengetahui hikmah di sebalik setiap apa yang dikurniakan kepada kita. Moga-moga kepasrahan kita dalam menerima taqdir yang ditetapkan ke atas kita akan terus menjadikan kita untuk terus tunduk pada Pencipta kita yang hakikatnya sentiasa ingin memberi yang terbaik kepada hamba-hambaNya.

Wallahua'lam







No comments:

Post a Comment