Tuesday 23 June 2015

Sistem pendidikan Malaysia: Analogi Sekolah Haiwan


Sistem pendidikan hari ini boleh dikatakan sangat rigid

Jika pelajar mendapat A, kita labelkan cemerlang

Jika pelajar mendapat B, kita labelkan sederhana

Jika pelajar mendapat C, kita labelkan lemah

Skala ini sebenarnya tidak boleh dijadikan piawaian asas dalam menentukan kecemerlangan dalam pendidikan kerana hakikatnya pendidikan itu adalah proses, bukannya pencapaian. Sebagai manusia, kita sebenarnya sudah mempunyai paten atau ‘blueprint’ yang dikurniakan oleh Allah Taala. Paten inilah yang akhirnya memanifestasikan perbezaan dari sudut jasmani emosi ,kognitif, intelektual dan tingkah laku seseorang. Paten itulah yang menyebabkan bagaimana bayi A boleh berjalan awal tetapi belum boleh bercakap tetapi bayi B sudah boleh bercakap walaupun masih belum berjalan. Justeru bolehkah kita mengatakan bayi A cemerlang dan bayi B lemah. Sudah tentu tidak boleh bukan!! Setiap manusia mempunyai tempoh masa tertentu untuk mengalami peralihan dalam hidupnya. Dan transisi ini tidak sama kerana paten kita adalah berbeza.

Oleh itu, penglabelan tahap kecemerlangan pelajar berdasarkan gred sebenarnya agak kurang relevan kerana walaupun mereka belajar subjek yang sama, dengan guru yang sama, pada waktu yang sama hatta pada gaya pengajaran yang sama, kita tidak boleh mengharapkan mereka akan memproses maklumat tersebut dengan sama kerana hakikatnya manusia itu TIDAK SAMA.

Lebih malang lagi item yang menjadi ukuran biasanya adalah di luar kawalan manusia. Dalam pendidikan kita boleh mengawal usaha tetapi tidak keputusan. Begitu juga kehidupan sebenar kita. Kita berhak untuk berusaha mencari rezeki tetapi kadar hasilnya adalah ketentuan Allah. Dalam konteks pendidikan, faktor yang boleh dikawal ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan ibu-bapa. Mereka lebih menekankan keputusan yang perlu diperolehi oleh anak-anak berbanding memupuk usaha cintakan ilmu dalam pelajaran.
Apabila kecemerlangan dinilai berdasarkan akademik semata-mata, penyakit stress akan mula menjangkiti para pelajar seterusnya melenyapkan semangat ingin tahu dalam mempelajari sesuatu ilmu. Ini kerana mereka tidak diberi peluang untuk meneroka kemahiran atau bakat yang dipendam sebaliknya dikerah untuk berusaha mendapat gred yang cantik sahaja dalam peperiksaan.

Cuba pembaca sekalian bayangkan sebuah sekolah haiwan

Sekolah ini mempunyai banyak haiwan seperti arnab, itik, tupai, helang dan lain-lain.
Bagi menghadapai cabaran dunia baru, pakar-pakar haiwan  merangka pelbagai aktiviti untuk meningkatkan potensi diri haiwan tersebut. Lalu aktiviti kurikulum baru telah diperkenalkan  seperti aktiviti larian, memanjat, berenang dan terbang. Bagi menguasai aktiviti kurikulum ini, semua haiwan diwajibkan menyertai aktiviti tersebut dan gred akan diberikan mengikut prestasi mereka.

Biarkan mereka lambat berlari

Seekor itik sangat cemerlang dalam berenang, bahkan lebih baik dari jurulatihnya.Tetapi dia hanya sekadar lulus dalam ujian penerbangan dan sangat lemah dalam melakukan larian. Oleh kerana dia sangat perlahan dalam larian, dia perlu mengikuti latihan selepas sekolah dan menggugurkan subjek renang untuk memberi laluan kepadanya membuat latihan berlari. Latihan larian yang banyak telah menjadikan kakinya haus dan akhirnya menjejaskan prestasinya untuk kekal cemerlang dalam aktiviti renang. Oleh itu, itik hanya mendapat gred sederhana hasil semua aktiviti yang dia ikuti

Dalam kelas larian arnab menduduki takhta nombor satu dalam kelasnya. Tetapi tidak dalam kelas renang. Arnab mendesak untuk melakukan lompatan, tetapi cikgu di sekolah itu bimbang tentang sikapnya yang hiperaktif.Oleh itu dia menyarankan arnab berjalan tanpa dibenarkan lari dan lompat.Arnab juga terpaksa datang awal untuk mengikuti latihan renang. Kebanyakan arnab mengalami masalah bulu basah apabila terlalu lama berada di dalam kolam renang

Tupai pula sangat bagus dalam memanjat pokok. Dalam ujian terbang, sebolehnya tupai ingin memulakan dari atas pokok dengan mengembangkan dan mengepak-ngepak tangannya untuk terbang (cara tupai terbang), tetapi sangat kecewa apabila dia diarahkan untuk terbang dari tanah ke atas pokok tersebut. Dia gagal menguasai kelas tersebut. Oleh itu tupai terpaksa mengikuti terapi terbang dengan pergi ke gim dan membuat latihan pada kuku tangan depannya untuk menguatkan otot. Akhirnya kuku tupai bertambah sakit sekaligus merencatkan aktiviti memanjatnya yang sebelum ini sangat baik. Malah, ada tupai yang sudah tidak boleh memanjat langsung.
Adakah helang ini degil jika mempertahankan haknya?

Helang juga mempunyai masalah dalam kelas memanjat. Walaupun dia boleh mengalahkan haiwan lain untuk ke atas pokok, tetapi dia tetap ingin menggunakan kaedah terbang untuk sampai ke atas pokok. Helang dilabel sebagai pelajar yang degil. Helang mengatakan matlamat mereka untuk sampai ke atas pokok hanya diperolehi dengan cara yang mudah iaitu terbang. Pakar psikologi sekolah mendakwa helang sedang mengalami gangguan ingkar-memberontak (oppositional-defiant disorder). Oleh itu tindakan disiplin telah dikenakan ke atas helang

Berdasarkan cerita-cerita di atas  adalah sangat sedih untuk kita memaksa  pelajar (tupai) untuk cuba belajar terbang dengan mengepak-ngepak tanggannya dan menghukum pelajar (helang) kononnya dia menunjuk-nunjuk pandai. Oleh itu sebagai pengajar kita harus bersifat realistik. Raikan perbezaan pelajar kita. Biarkan tupai dengan cara tupainya, arnab dengan lompat arnabnya , helang dengan cara helangnya dan itik dengan renangnya. Usah sesekali bimbang jika itik itu tidak boleh berlari. 

Oleh itu jika kita cuba untuk menilai orang dengan cara yang sama, tiada orang pun akan bahagia. Orang akan mudah terluka dan bakat dan kebolehan mereka akan terbiar tanpa dimanfaatkan. Berilah peluang kepada mereka untuk menjadi diri sendiri kerana kita tidak dilahirkan bodoh Cuma berbeza kepandaian. Akhir kata, raikan dan nikmati perbezaan itu seadanya.


No comments:

Post a Comment