Malu, bukan
kecil impaknya. Ianya merupakan perlambangan iman individu. Sabda nabi,
keimanan itu tujuh puluh lebih. Paling utama ialah ucapan La ilaha illallah dan
serendah-rendahnya ialah menyingkirkan perkara yang menyakiti di jalan. Sifat
malu adalah cabang dari keimanan ini.
Sabda nabi lagi
“malu itu semuanya baik akibatnya”. Namun dunia hari ini sudah terbalik. Orang
jahat tak malu-malu buat maksiat, orang baik pula ‘malu-malu miow’ nak sebarkan kebaikan.
Nilaian malu seperti ini sudah tersasar jauh dari landasan Islam. Bahkan
mengundang kerugian yang besar pada umat Islam.
Sabda nabi lagi
“ Jika tidak malu, buatlah apa yang kamu suka”. Menurut kitab Riyadhus Solihin, hadis
ini seolah-olah satu amaran daripada Rasullulah S.A.W supaya kita tidak bertindak
sewenang-wenangnya terhadap sesuatu perkara, apatah lagi tujuannya untuk
memenuhi hawa nafsu. Maksud lain hadis ini: Kalau kamu tidak malu kepada Allah
dalam melakukan kemungkaran dan kemaksiatan itu, terserahlah. Kamu boleh
melakukan sesuka hatimu. Tetapi awas!!, setiap perkara itu pasti ada balasannya
di dunia dan di akhirat.
Soalnya, di mana
status malu kita pada hari ini?
Semua orang
hampir kehilangan sifat ini. Hari ini wanita tidak malu lagi untuk memuatnaik
foto mengghairahkan di laman sosial. Orang lelaki pula tidak malu menyebarkan
filem porno kepada rakan-rakannya. Terbaru aksi seks di balkoni apartment
dan vedio wanita mengamuk sambil menanggalkan baju yang menjadi viral di
internet. Parah!!. Sedar atau tidak, ini merupakan indikator bahawa sifat malu
yang semakin terhakis dalam ledakan teknologi yang hakikatnya membinasakan
masyarakat jika tidak diatasi.
Malu mula
terhakis kerana hilangnya rasa muraqabah (rasa Allah memerhatikan kita) walau
di mana sahaja kita berada. Jika kita tidah pernah merasakan Allah bersama
dengan kita, kita akan berani melakukan maksiat walaupun bersendirian. Namun
lumrahnya tiada manusia yang tidak terlepas melakukan kesilapan lebih-lebih
lagi ketika bersendirian. Sebab itulah Allah yang maha penyayang menyarankan
kita untuk sentiasa bertaubat. Sebaik-baik orang yang melakukan dosa ialah
orang yang bertaubat. Allah juga memberi jaminan untuk memelihara aib kita dengan
syarat kita tidak menceritakan dosa kita pada orang lain.
Sabda nabi:
Setiap ummatku
akan mendapatkan ampunan dari Allah Azza wa Jalla kecuali al Mujaahiriin iaitu seorang laki-laki yang mengerjakan sebuah perbuatan buruk pada malam hari
kemudian ia menjumpai waktu subuh dan Allah telah menutupi aibnya. Lalu
laki-laki tersebut mengatakan, “Wahai Fulan, aku telah mengerjakan sebuah
perbuatan buruk/jelek ini dan itu”. “Maka itulah orang yang malamnya Allah
telah menutup aibnya lalu ia membuka aibnya sendiri di waktu subuh (keesokan
harinya ) [Abu Hurairah]
Namun bagaimana
dengan orang yang secara terang-terangan tidak malu melakukan dosa. Sudah tentulah
ianya melambangkan kebiadapan yang besar terhadap Allah. Nauzubillahi min zalik. Lebih teruk
lagi jika dosanya menjadi ikutan orang ramai. Dialah yang akan
dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Oleh kerana itulah sifat malu itu penting.
Ketahuilah, ia mampu menjadi perisai yang paling ampuh untuk melindungi kita
daripada melakukan maksiat. Kepada ibu bapa, Sifat malu itu harus dipupuk
sedari kecil lagi dalam jiwa anak-anak. Kepada anak perempuan khususnya,
ingatkan mereka tentang penjagaan aurat yang sempurna dan kesopanan dalam
pertuturan. Anak lelaki pula sewajarnya dididik untuk menjaga keperibadian
saudara wanitanya agar kedua-duanya saling bersinergi untuk memelihara malu
yang akhirnya melambangkan maruah orang-orang Islam. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment