Wednesday 13 May 2015

Mainkan perananmu wahai ibu




Rentetan daripada isu yang pernah saya bincangkan sebelum ini dalam post hilangnya keberkatan maruah muslimah, ingin saya tegaskan bahwa banyak punca kemaksiatan kita yang berlaku pada hari ini adalah budaya wanita meninggalkan rumah mereka.

Sekiranya kita melihat pelbagai isu terutamanya melibatkan masalah sosial di kalangan masyarakat hari ini seperti perzinaan, buang anak, penceraian semuanya berpunca daripada ketidaksempurnaan peranan dalam institusi kekeluargaan. Dan jika kita dilihat dalam institusi kekeluargaan siapakah yang diberi tanggungjawab untuk mendidik generasi? Ya, siapa lagi kalau bukan kaum ibu.

Kata seorang penyair:

Ibu adalah sekolah bagi anak-anak.

Namun hari ini berapa ramai ibu yang berfungsi sebagai sekolah kepada anak-anak. Rata-rata ibu hari ini tidak mampu untuk menjaga anak mereka kerana terpaksa berganding bahu dengan si bapa untuk menstabilkan ekonomi keluarga. Akhirnya mereka meninggalkan rumahtangga mereka kerana terpaksa menumpukan pada karier mereka. Sebenarnya ini bukan merupakan fenomena yang sihat. Mengapa saya berkata begitu?

Seorang  cendekiawan barat yang terkenal Arnold Tonybee menukilkan:

“Dalam sejarah manusia, zaman yang dijangkiti oleh keburukan dan kemunduran adalah zaman di mana kaum wanita telah meninggalkan rumahtangga mereka” [dipetik oleh majalah ‘Asia’ Lahore, 25/4/1956]

Jika kita meneliti panduan wahyu dalam Al-Quran, Allah berfirman kepada kaum wanita:

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu” [Al-Ahzab, 33:33]

Dalam ayat ini, Allah ingin berpesan kepada kaum wanita khususnya untuk sentiasa berada di rumah. Sebenarnya perlambangan wanita berada di rumah ibarat kita diletakkan di dalam peti besi yang berkunci. Semua orang sedia maklum bahawa wanita merupakan perhiasan. Ini selalu diperkatakan dalam hadis nabi yang popular bemaksud:

Dunia ini adalah perhiasan. Sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

Oleh itu hakikat wanita solehah itu ialah lebih banyak meluangkan masa di rumah berbanding di luar. Ini kerana jika wanita banyak berada di luar rumah, dia berpotensi untuk menjadi fitnah kepada lelaki.
Sebab itulah dalam ayat yang sama dalam surah Al-Ahzab, Allah berfirman:

Dan janganlah kamu berhias seperti wanita jahiliah zaman dahulu [Al-Ahzab, 33:33]

Jika kita melihat kronologi ayat ini, pada asalnya Allah menyuruh wanita untuk berada di rumah. Walaubagaimanapun, lumrahnya wanita pasti akan keluar rumah jika ingin melakukan aktiviti-aktiviti penting seperti menghantar anak ke sekolah, belajar di universiti ataupun keluar bekerja. Tetapi jika ingin keluar, Allah terus berpesan kepada kita untuk tidak berhias seperti wanita-wanita jahiliyyah. Apa maksudnya?  Kita mengetahui berhias seperti wanita jahiliah adalah perkara yang sangat menjengkelkan kerana ia boleh merendahkan martabat maruah wanita. Berhias seperti orang jahiliah adalah seperti mendedahkan aurat, memakai wangi-wangian, memakai gelang-gelang yang boleh menghasilkan bunyi yang menarik perhatian dan sebagainya. 

Realitinya kehidupan kita pada hari ini, wanita tidak mampu mengikuti dua saranan Allah ini dengan baik. Hari ini wanita keluar rumah bukan sahaja atas alasan tuntutan kerja, tetapi juga bertujuan untuk berhibur, bersosial dengan kawan-kawan atau membeli-belah. Lebih membimbangkan lagi , kemunculan laman-laman sosial yang membolehkan muslimah memuatnaik gambar walau di mana sahaja mereka sebenarnya menafikan falsafah sebenar berada di rumah iaitu untuk tidak mendedahkan diri kepada umum. Bahkan jika mereka melangkah ke luar rumah, pelbagai fesyen mula digayakan. Malah ada  yang mendakwa telah memperagakan fesyen yang islamik tetapi hakikatnya lari daripada syariat Islam yang sebenar.


Sejarah wanita bekerja

Di abad ini, fenomena wanita bekerja sudah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat. Pekerjaan di luar rumah sebenarnya menyebabkan banyak wanita terpaksa mengorbankan rumah tangga. Namun tahukah anda bagaimana wanita mula menceburkan diri dalam dunia pekerjaan?

Sejarah ini bermula di Eropah di mana wanita bekerja sebagai buruh pada  tahun 1860-an. Tetapi pekerjaan pada masa ini tidak lagi memberi kesan dalam rumahtangga kerana para lelaki pada zaman tersebut sebolehnya menginginkan isteri mereka menguruskan rumahtangga. Lelaki kelas atasan memang tidak akan membenarkan isterinya bekerja. Lelaki kelas bawahan pula hanya membenarkan isteri mereka bekerja sekiranya terdesak sahaja. Selain itu lelaki yang membenarkan isteri yang bekerja  pada zaman tersebut dianggap lemah atau dalam bahasa terengganunya ‘dok rok cetong’.

Walaubagaimanapun, semasa minoriti wanita yang bekerja sebagai buruh ini terasa diri mereka tertindas kerana terpaksa melakukan kerja lelaki yang kasar, maka suara untuk membela kaum wanita ini mula kedengaran. Bukan itu sahaja,  isu pelacuran yang nyata memberikan stigma negatif kepada wanita juga menyebabkan wanita bangkit untuk mempertahankan hak mereka. Namun begitu cara mereka menuntut hak mereka adalah dengan memperjuangkan hak untuk berpolitik. Ini kerana mereka merasakan dengan adanya kuasa politik, mereka berupaya menguatkuasakan  undang-undang yang membela para wanita. 

Perjuangan menuntuk hak berpolitik pada zaman ini ternyata sangat sukar kerana para lelaki masih terikat dengan permikiran tradisional yang hanya melihat perempuan sepatutnya menguruskan rumah tangga. Bagi mereka, memberikan kuasa pada wanita seolah-olah mencabar kewibawaan lelaki. Bantahan ini bukan sahaja melibatkan para suami tetapi juga ahli politik, golongan cendikiawan, ahli falsafah dan sebagainya. 

Sehingga pada zaman tersebut seorang sejarawan bernama Tennyson telah menukilkan sajak berikut demi memperjelaskan pendiriannya terhadap isu ini.
Laki-laki ke ladang dan wanita ke tempat perapian
Laki-laki menyandang pedang dan menyulam itu untuk wanita
Laki-laki dengan akal wanita dengan hati
Laki-laki mengarah dan wanita sedia patuh
Segala yang lain porak peranda

Walaubagaimanapun perjuangan menuntut hak berpolitik ini merupakan kesalahan besar wanita pada masa lalu kerana ia telah memberi galakan kepada wanita untuk bekerja. Apabila wanita bekerja, ia seolah-olah  mewujudkan dominasi kuasa wanita ke atas lelaki sekaligus melancarkan perjuangan menuntut hak berpolitik. Selepas perang Salib pada tahun 1914, wanita yang bekerja pada mulanya untuk menggantikan lelaki yang berperang enggan meninggalkan kerjaya mereka walaupun selepas lelaki pulang dari perang dan ingin bekerja. Semenjak itu semakin ramai wanita mula berkecimpung dalam bidang pekerjaan.

Namun, selepas beberapa tahun, Christabel Pankhurst, seorang pejuang hak wanita akhirnya meluahkan kekecewaannya kerana beliau mendapati perjuangannya menuntut hak berpolitik untuk membela nasib wanita akhirnya tidak memberikan kesan yang signifikan. Ini kerana walaupun golongan wanita sudah dibenarkan berpolitik, masih tidak ada dasar yang berjaya ditubuhkan untuk memulihkan semula masalah yang dihadapi oleh kaum wanita. Lebih malang lagi perjuangannya telah menyebabkan semakin ramai wanita keluar bekerja dan ini sebenarnya menyulitkan lagi usaha ke arah memartabatkan maruah kaum wanita. Oleh kerana itulah, akhirnya Christabel Pankhurst akur bahawa perjuangannya itu adalah satu kesalahan dan beliau menyeru orang ramai untuk mengambil panduan berdasarkan hukum tuhan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para wanita. Beliau akhirnya menjadi seorang pendakwah Kristian.

Christabel Pankhurst
Dalam konteks ini kita sebagai umat Islam harus bermuhasabah untuk menilai kembali gaya hidup kita pada hari ini. Jika tokoh kristian yang memperjuangkan hak wanita mengakui bahawa fenomena wanita bekerja itu lebih banyak mudarat berbanding manfaat, kita sebagai muslim seharusnya sedar bahawa peranan wanita berasakan panduan wahyu harus dihidupkan kembali iaitu dengan meramaikan wanita yang membangunkan rumah tangga. Hakikatnya wanita bekerja di luar rumah akan menyebabkan lebih banyak berlakunya penyakit sosial dalam masyarakat untuk jangka masa panjang. Ini kerana peranan wanita yang utama adalah menguruskan rumah tangga sebagaimana yang disebutkan di dalam potongan hadis:

Wanita itu pemimpin dalam urusan rumahtangga dan dia akan dipertanggungjawabkan atas pimpinannya (Hadia Riwayat Bukhari Muslim).

Antara keburukan wanita bekerja untuk jangka masa panjang ialah:

1.       Keharmonian rumah tangga tergugat
Kadar penceraian akan menjadi semakin tinggi kerana wanita yang keluar rumah dan berhias cantik akan digunakan oleh syaitan untuk merosakkan lelaki. Selain itu tuntutan pekerjaan yang menyebabkan suami  isteri sentiasa berjauhan boleh menimbulkan kecurigaan kepada pasangan seterusnya membuka pintu kecurangan terhadap pasangan masing-masing. Hakikatnya bukan sedikit pasangan yang bercerai kerana masalah ini. Penceraian yang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada suami isteri malahan anak-anak dan keluarga masing-masing. 

2.       Pengabaian anak-anak
Anak-anak adalah aset utama untuk penjanaan modal insan. Pengabaian ibu terhadap anak kerana tuntutan kerja akan memberikan impak negatif yang sangat buruk kepada pendidikan anak-anak. Ibu sepatutnya mengutamakan anak berbanding kerjaya, lebih-lebih lagi sekiranya suami sudah mampu menyara ahli keluarga walaupun isteri tidak bekerja. Oleh itu jika suami mampu, menjadi surirumah adalah kerjaya utama untuk wanita.

3.       Menghadkan peluang pekerjaan untuk para lelaki
Hari ini lebih ramai wanita yang mudah mendapat pekerjaan berbanding lelaki kerana tahap akademik mereka yang baik. Majikan juga cenderung untuk memilih pekerja wanita kerana kerajinan dan komitmen yang tinggi ditunjukkan mereka.Ini menyebabkan pintu peluang pekerjaan untuk para lelaki semakin tertutup. Sedangkan pekerjaan penting bagi lelaki untuk mereka memberi nafkah kepada keluarga mereka kelak.

4.       Kewujudan lebih ramai house husband
Fenomena house husband adalah merujuk kepada lelaki yang memilih untuk menjadi surirumah. Kebanyakan lelaki memilih untuk menjadi surirumah kerana mereka ingin menjaga anak mereka. Biasanya keadaan ini berlaku kerana wanita mempunyai gaji yang lebih besar untuk menanggung keluarga berbanding si suami. Isu ini agak membimbangkan kerana peranan lelaki sebagai pencari nafkah seolah-olah dinafikan. Lebih malang lagi bukan semua lelaki mampu menjadi surirumah. Ini kerana terdapat kes di mana lelaki mengambil kesempatan dan bersikap malas kerana isteri boleh menanggungnya. Kehidupan suami yang tiada tanggungjawab ini akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam gaya hidup yang negatif seperti keluar minum dengan rakan, menghabiskan masa bermain games dan sebagainya. Budaya ini boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan hakikatnya sudah banyak penceraian berlaku kerana kes ini.


House husband: Isu keterbalikan peranan

Hakikatnya, peranan wanita sebenar mengikut panduan wahyu adalah perkara asas yang perlu difahami oleh setiap wanita. Panduan ini bukan untuk menyekat kebebasan kita tetapi memuliakan wanita sebagai pendidik generasi yang mengimbangi kekurangan lelaki. Akhir kata ini sekadar pendapat saya. In sha Allah, andai Allah memberi kesempatan saya akan cuba kupaskan mengenai wanita berkerjaya dan panduan yang harus dilakukan mengikut Islam.



Bahan rujukan

Anda juga boleh mendapat kefahaman yang lebih di sini

No comments:

Post a Comment