Sunday 10 May 2015

Dia yang ku panggil Ummi




Ibu itu ku panggil ummi. Ya Allah betapa aku merinduinya. Dia Ummiku, antara insan yang sangat menyayangiku di dunia. Kehadiran mu bagaikan hanya sedetik dalam hidupku.Namun kesungguhanmu untuk memberi yang terbaik dalam hidup ku takkan pernah kulupakan. Engkaulah cahaya hidupku, seindah namamu Norhayati Mohd.

Duhai Ummi, engkaulah yang sentiasa menjadi tempat luhan perasaan, tempat bermadu kasih, terima kasih atas segala jasa dan baktimu padaku.

Masih ku ingat pesananmu, tika itu seusai solat, engkau sedang bertelekung, sambil memandangku dan berkata ummi tak harap apa-apa dari anak ummi, Cuma ingat pesan ummi, dalam hidup ini jagalah solat dan janganlah tinggalkan Quran.Ketahuilah Ummi, akan ku sematkan pesanan ini dalam hatiku buat selama-lamanya. Dikaulah yang mengajarkan ku solat, membaca Quran, menjaga akhlak, menjaga aurat dan berjuta-juta lagi kebaikan yang lain.

Masih ku ingat ketika di dapur, tika aku banyak mengkritik remaja lain berakhlak buruk, ummi berpesan kepadaku supaya menjaga mulut, jangan sedap mengata orang, kerana suatu hari nanti,  Allah pun pasti menguji kita. Dan ummi berpesan kepadaku untuk mengucapkan Nauzubillah jika terdengar keburukan orang lain. Dan aku sangat menghargai pesanan itu. Ummi juga selalu mengingatkan aku tentang aurat hingga dia berkata padaku “Tak malu ke pakai tudung kalau tak tutup dada”, Kata-kata yang sangat terkesan di hatiku sehingga hari ini.

Masih terpahat dihatiku bagaimana ummi memujiku kerana aku tidak melayan surat cinta lelaki yang cuba mengoratku. Di saat itu ummi juga berpesan supaya aku menjaga akhlak, katanya jika aku menjaga akhlak, in sha Allah, pasti ada orang baik yang akan berkenan untuk memperisterikan aku. 

Masih jelas tergambar difikiranku pada bulan puasa di waktu sahur bagaimana ummi sanggup memasak di beranda rumah kerana dapur tiba-tiba rosak. Ummi bersusah payah mengheret tong gas ke beranda.  Aku pun bertanya “ kenapa ummi sanggup bersusahpayah sampai begini”. Kata ummi “habis itu kalau ummi tak masak, anak-anak- ummi nak makan apa?”

Jika tiba musim durian, ummi sangat gembira. Masihku ingat biasanya jika aku baru pulang dari asrama, ummi bersegera ke beranda rumah untuk membelah durian untukku. Kami menikmati durian itu bersama-sama. Ummi selalu menyambut kepulanganku dengan baik. Ummi tidak pernah gagal dalam memberi yang terbaik kepada anak-anaknya.

Wahai Ummi, demi Allah aku berasa sangat beruntung kerana Allah memilihku untuk lahir dari rahimmu. Keluhuran akhlakmu akhirnya terbias kepada anak-anakmu. Kesungguhanmu menghabiskan 30 juzuk quran tika mengandungkan kami menggambarkan betapa kuat keinginanmu untuk melahirkan anak yang soleh dan solehah. Engkau mempersiapkan kami dengan didikan agama yang baik untuk kami menghadapi dugaan hidup hari ini.

Masihku ingat, di masa aku darjah tiga, ummi banyak mengarahku membuat pelbagai kerja rumah. Waktu itu aku sangat cemburu dengan adik–beradik lain yang asyik menonton tv. Sampai suatu hari aku hampir menangis sambil bermonolog “aku ni anak tiri ke?, kanapa asyik-asyik aku je kena buat kerja”.

 Kemudian aku cuba adukan perkara ini kepada Ummi. “Ummi, kenapa kalau buat kerja, ummi asyik suruh kakak je, adik-beradik lain tak suruh pun”. Kata ummi “ Sebab dalam ramai-ramai anak ummi, kakak je yang akan buat terus kalau ummi suruh buat apa-apa”. Oh… aku sangat lega, itulah sebab sebenarnya. Namun ternyata setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. 

Hasil keterbiasaan menguruskan kerja rumah akhirnya membuat aku tidak kekok untuk terus melakukannya walaupun ummi telah meninggal dunia. Mungkin berkat ketaatanku pada ummilah yang menyebabkan aku dapat menguruskan kebajikan abahku dan adik-beradik yang lain walaupun ummi pergi dahulu meninggalkan kami. Alhamdulillah.

Masih ku ingat ketika ummi dan abah datang melawatku di MRSM, tiba-tiba ummi berkata “Kakak jangan terkejut ae, kamu ummi nak cakap sesuatu”. “Nape Ummi?”. “Ummi ada sakit kanser”. Waktu tu aku rasa seperti gelap duniaku, tapi aku cuba menahan tangisan untuk menunjukkan aku tabah menghadapinya. Tetapi pada malam itu, aku hanya mampu menangis di surau kerana kesedihan sehinggakan aku tidak mampu bercakap apa-apa pun. Hanya air mata sahaja yang mengalir tatkala sahabatku bertanya kenapa aku menangis”.

Ketika aku berada di matrik, sakit ummi semakin teruk. Masihku ingat apabila di malam itu adik bertanya “Kakak dah nak balik matrik ke?”. Aku terus ke tandas, menangis di situ, agar abah dan ummi tidak perasan aku menangis. Kalau diikutkan hati mahu saja aku duduk di rumah menjaga ummi. Tapi apakan daya, ilmu juga harus dituntut. Aku tidak ada pilihan.

Ketika ummi sakit, kerana kesan lymphodaema selepas melakukan pembedahan, ummi menyuruh aku meninggalkan bilik. Dia ingin mengerang kesakitan sendirian. Tetapi aku berasa sangat bersyukur kerana Allah mengilhamkan aku untuk terus berada di sisi ummi, menangis bersamanya. Jika aku meninggalkannya sendirian, pasti aku akan rasa sangat menyesal hari ini.

Aidilfitri terakhir bersama Ummi

16 Mac 2009, Ummi pulang ke rahmatullah selepas empat tahun bertarung dengan penyakit kanser. Pemergiannya dalam senyum sudah cukup menenangkan aku. Pemergiannya yang berlaku seusai tiga bulan menunaikan haji di Mekah ku harap menjadi pengampunan Allah terhadap kesalahan-kesalahannya.

Wahai Ummi, ketahuilah jasa dan baktimu buat anak-anakmu hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Dan aku percaya segala kebahagiaan yang aku kecapi pada hari ini adalah kerana berkat doamu yang tulus untuk anak-anakmu. 

Ya Allah, bantulah aku dan adik–beradikku menjadi anak yang soleh dan solehah buat kedua-dua orang tua kami. Semoga Engkau berkati umur kami untuk kami terus melimpahkan segala ilmu dan didikan ibu-bapa kami kepada zuriat-zuriat kami agar mereka terus menjadi saham yang berkekalan untuk kesejahteraan akhirat kami. In sha Allah.

Akhir kata, Selamat hari Ibu Ummi. Aku sangat merinduimu. Semoga Allah mempertemukan kita  di taman syurga kelak. Ameen..


No comments:

Post a Comment