Monday 4 May 2015

Bapa CEO Ibu COO




Suasana pendidikan dalam rumahtangga hari ini lebih banyak didominasi oleh si ibu berbanding si bapa.Kebanyakan masyarakat hari ini melihat peranan bapa sebagai pencari nafkah semata-mata dan menganggap tanggungjawab mendidik anak semuanya tergalas di bahu ibu. Sebenarnya persepsi ini harus diperbaiki kerana hakikatnya peranan ibu dan bapa perlu seimbang dalam memberikan  pendidikan terbaik kepada anak-anak. Keseimbangan ini sangat penting kerana secara fitrahnya pendekatan ibu dan bapa itu sangat berbeza dan harus disinergi bagi mewujudkan pendidikan berimpak positif dalam diri si anak.

Secara fitrahnya, pendekatan ibu dalam mendidik anak-anak adalah lebih kepada memenuhi keperluan mereka. Berbeza pula dengan golongan bapa yang sebenarnya mendidik anak bersesuaian mengikut faktor gender. Contohnya kita sering melihat golongan ibu terutamanya berkerja keras untuk memenuhi keperluan makan minum, pakaian serta pendidikan anak-anak.Mereka tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak mengikut jantina mereka. Bagi golongan ibu, semua anaknya tidak kiralah samada lelaki atau perempuan mestilah dipenuhi keperluan mereka.

Sketsa Pendidikan seorang Bapa

Berbeza dengan cara didikan seorang bapa yang lebih menekankan faktor gender dalam melayani keperluan anak-anak. Contohnya bapa memberikan kebebasan yang agak longgar kepada lelaki tetapi tidak kepada anak perempuan. Lazimnya golongan bapalah yang mengingatkan anak perempuan untuk menolong ibu di dapur sementara mengajak anak lelaki membuat kerja-kerja berat ataupun bersifat "outdoor". Semasa saya membaca buku psikologi bertajuk perkembangan jangka hayat manusia, saya teringatkan satu nukilan yang menceritakan tentang seorang bapa yang sedang melatih anaknya untuk melakukan sukan papan anjal. Reaksi bapa terhadap dua anak yang berlainan jantina sangat jelas sekali perbezaannya.

Ketika anak lelaki perlu membuat terjunan tetapi masih ragu-ragu untuk terjun, ayah tersebut berkata: "Come on, jump!! Be a man..be brave!!

Tetapi bila giliran anak perempuan yang ragu-ragu untuk terjun: ayah tersebut berkata: Oh..Its ok honey, Your willing to try is already good for me..

Di sini kita dapat melihat pedekatan ayah terhadap anak lelaki lebih keras dan mencabar sesuai dengan ciri-ciri kelelakian. Tetapi si bapa tidak menggunakan pendekatan yang sama terhadap anak perempuan. Mereka tidak memaksa dan lebih mengutamakan toleransi kepada anak perempuan  Ini sudah tentu selari dengan jiwa wanita yang halus dan lebih mementingkan kelembutan.

Selepas belajar psikologi, barulah saya menyedari perkara ini juga berlaku pada keluarga saya.Pernah suatu ketika saya bertanyakan bapa saya kenapa tidak membenarkan saya mengambil lesen motor. Kata beliau, “Sebab kakak perempuan, tak perlulah nak tunggang motor”. Kadang-kadang, bukan bapa sahaja yang menekankan faktor gender dalam memberi layanan, tetapi semua lelaki umumnya memang begitu. Contohnya, saya pernah berbincang dengan abang saya untuk mengambil adik lelaki saya yang pulang dari sekolah kerana kami semua ada hal yang perlu diuruskan. Sebagai perempuan mestilah saya kasihan melihat adik pulang dalam kepenatan kerana berjalan kaki di bawah cuaca panas.Tetapi tidak abang saya yang berkata " Hish.. Dia kan lelaki, biarlah di berjalan tengah panas, ajar bagi lasak sikit!!" .Bagi saya sangat jelas di sini, pendekatan lelaki sangat berkait rapat dengan gender.

Bapa penyebab kecelaruan identiti?
Sebab itulah jika ayah tidak memainkan peranan dalam pendidikan, anak-anak akan cenderung untuk mengalami kecelaruan identiti terutamanya ketika zaman remaja. Ini kerana bapalah menjadi tonggak utama dalam menentukan peranan anak-anak mengikut keperluan jantina mereka. Golongan wanita secara semulajadinya tidak memiliki keupayaan ini. Sebab itulah peranan bapa dalam konteks ini adalah sangat penting. Sekiranya seorang bapa mengabaikan peranan penting ini, maka kecenderungan untuk melahirkan generasi yang jahil tentang peranan mereka akan semakin berleluasa. Mereka juga akan mudah terjebak dengan masalah  kekeliruan identiti yang  semakin meruncing dalam gaya hidup remaja masa kini.



Wahai pembaca yang budiman,

Kenalkah kalian kepada Irsyad Manji. Beliau ialah aktivis lesbian yang memperjuangkan hak wanita. Tahukah anda kenapa dia menjadi lesbian? Antara faktornya adalah kerana didikan bapanya yang terkenal dengan jolokan lelaki berpisau. Bapa Irsyad Manji memilih untuk menggunakan unsur kekerasan dalam mendidik anak perempuannya. Pisau belati sentiasa tersisip di pinggangnya. Sekiranya Irsyad Manji melakukan kesilapan, diacu-acunya pisau itu kepada anaknya kononnya ingin mendidik supaya tidak mengulangi kesilapan.Sebagai seorang kanak-kanak perempuan yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa, situasi ini telah meninggalkan parut trauma dan ketakutan yang sangat dalam pada jiwanya sekaligus mengikis kepercayaannya kepada para lelaki. Lantaran itulah, dia tegar memilih golongan wanita sebagai pasangan hidup kerana tidak berasa selamat lagi dengan lelaki.

Bapa CEO Ibu COO

Selain itu, peranan bapa tidak boleh diabaikan kerana Al-Quran sendiri banyak menekankan tentang peranan bapa terutamanya dalam pentarbiahan anak-anak. Jika diselak lembaran quran, banyak dialog antara si bapa dengan si anak yang menggambarkan betapa besarnya fungsi  bapa dalam mendidik anak-anak. Kisah Luqman dan anaknya, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya serta kisah Nabi Nuh dan anaknya yang diabadikan di dalam quran menjadi bukti bahawa bapa sebolehnya perlu mewujudkan dialog berkualiti dengan si anak kerana itulah yang memberi kesan pada jiwa si anak.  Perbualan bapa dengan anak juga adalah ibarat kompas yang menjadi penunjuk arah bagi mereka melayari kehidupan dengan lebih baik. Dalam kata lain, bapa bertanggungjawab untuk memimpin (CEO: Chief Executive Officer) manakala ibu berperanan mewujudkan keselesaan dalam pengurusan rumah tangga (COO: Chief Operating Officer).

Bapa dan perkembangan kognitif anak
Anak-anak juga akan menjadi lebih berjaya jika si bapa mula menunjukkan perhatian kepada mereka sejak kecil lagi Kajian menunjukkan sekiranya bapa banyak berinteraksi dengan anak yang baru dilahirkan dalam aktiviti penjagaan bayi, perkembangan minda akan akan menjadi lebih baik. Ini kerana komunikasi si bapa banyak dipengaruhi pelbagai soalan contohnya (kenapa, di mana). Berbeza pula dengan ibu yang lebih suka membahasakan dirinya sebagai anaknya, contohnya bila ibu tersebut berkata “ Saya dah panaslah ibu, saya nak mandi” (ibu membahasakan dirinya sebagai bayi). Oleh itu, dapat kita perhatikan bila mana bapa banyak bertanyakan soalan pada bayi, bayi sebenarnya akan berusaha untuk bercakap dengan lebih banyak sekaligus merangsang neuron otaknya untuk berhubung dengan lebih aktif.



Bapa mempengaruhi emosi dan sosial anak
Secara semulajadinya, bapa berupaya menjadi pendorong kepada kejayaan si anak. Ini kerana kajian membuktikan bahawa anak yang mempunyai hubungan baik dengan bapa adalah lebih bermotivasi dan mengutamakan pendidikan. Di samping itu mereka juga cenderung untuk menunjukkan sikap positif di sekolah dan tidak terlibat dengan masalah disiplin. Bukan itu sahaja si anak juga akan menjadi aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah selain mempunyai pencapaian akademik yang tinggi.

Dari sudut perkembangan emosi pula, hubungan yang baik antara anak dan bapa akan mencetuskan kepuasan dalam jiwa si anak sekaligus mewujudkan hubungan sosial yang baik dengan sahabat mereka. Selain itu anak lelaki akan menjadi lebih yakin dan pandai mengendalikan emosi sekiranya berdepan kekecewaan kerana mereka mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah serta lebih mudah beradaptasi dalam persekitaran yang baru. Bagi anak perempuan pula, mereka akan menjadi lebih ceria, suka meneroka perkara baru dan tidak mudah terjebak dalam budaya berpacaran kerana akaun emosi mereka sudah stabil dek mendapat perhatian sempurna daripada si bapa.



Khulasahnya, sinergi peranan ibu dan bapa ibarat sayap kiri dan kanan pada seekor burung. Sekiranya salah satu patah maka tersasarlah tujuannya. Hanya gabungan sayap yang sempurna mampu memacu mereka menongkah arus udara yang berhambatan di langit biru. Oleh itu buat bapa jangan diabai sentuhan hati pada anakmu. Buat ibu pula teruskanlah mengurus rumahtanggamu. Kerana hakikatnya walau peranan kita berbeza, tetapi tujuan kita tetap sama, iaitu melabur generasi pencinta tuhan.


1 comment:

  1. Satu perkongsian yang menarik. Contoh2 yang diselitkan juga menarik. Tapi, bahagian 'bapa mempengaruhi emosi dan sosial anak' kurang jelas. Adakah ini berkait rapat dengan situasi di mana semua anak tidak kira lelaki mahupun perempuan lebih menyayangi dan menghormati ibu mereka berbanding ayah?

    ReplyDelete