Monday 13 April 2015

Hidupkanlah pagimu




 Waktu pagi adalah waktu yang paling kritikal dalam kehidupan seharian manusia. Aktiviti kita di waktu pagi akan mempengaruhi corak kehidupan kita pada hari tersebut. Pagi yang baik akan membuahkan impak yang baik pada keseluruhan hari itu. Ini kerana waktu pagi adalah waktu yang diberkati kerana Nabi Muhammad S.A.W sendiripun mendoakan umatnya yang berpagi-pagian seperti mana doa baginda yang berbunyi:

“ Ya Allah, berkatilah ummatku di waktu paginya

Sedar atau tidak, keberkatan merupakan perkara yang paling penting dalam kehidupan kita. Berkat itu sendiri bermaksud kebaikan yang berkembang. Berkat pada rezeki akan memberikan kecukupan walaupun nilaiannya sedikit di mata manusia. Berkat pada umur akan melimpahkan amal soleh walau umurnya mungkin pendek. Itulah keberkatan, satu keajaiban buat manusia. Dan antara waktu dilimpahi keberkatan adalah di waktu pagi. Jika kita gagal meraih keberkatan di waktu tersebut, maka tidak hairanlah kehidupan kita pada hari tersebut terasa sangat sempit dan menyesakkan.


Waktu pagi dan kita

Namun, fenomena umum yang terdapat dalam budaya anak-anak muda hari ini adalah tidur selepas subuh. Entah apa kenikmatannya tidur selepas subuh. Waktu subuh yang sepatutnya dimeriahkan dengan ibadah menjadi waktu yang paling seronok untuk tidur. Sehingga semasa saya tinggal di asrama UUM, pelajar asing berbangsa dari Nigeria dan Vietnam naik hairan melihat orang Malaysia yang suka tidur di waktu pagi. Bagi saya ia bukan memberikan cerminan yang sihat terutamanya kepada golongan bukan muslim terhadap muslim itu sendiri. Bahkan mereka pun sibuk menghiasi pagi mereka dengan senaman ringan, bersiar-siar menghirup udara segar di taman dan sebagainya. Bagi umat Islam, antara peluang besar untuk direbutkan di pagi hari ialah menunaikan solat fajar yang dikatakan pahalanya lebih baik dari dunia dan seisinya. Bayangkan jika kita gagal melakukan ibadah ini, awal-awal lagi kita sudah mengishtiharkan muflis pada hari tersebut. Bukan itu sahaja, produktiviti kita juga samada dalam belajar, bekerja dan menguruskan rumahtangga akan terjejas teruk jika pagi-pagi lagi kita sudah gagal membina kekuatan hubungan dengan Al-Khaliq.



Waktu pagi dan saya

Waktu kecil-kecil dahulu, masih terngiang-ngiang  di telinga saya nasihat ummi agar tidak tidur selepas subuh. Tidak murah rezeki katanya.  Selepas mendengar kata-kata itu, sampai ke hari ini saya tidak tidur selepas subuh melainkan jika terlalu penat sahaja. Saya juga sangat bersyukur kerana ummi saya membuka saluran ceramah-ceramah agama untuk diikuti setiap pagi. Dan Alhamdulillah, hasil tunjuk ajarnya,  perkara ini sentiasa dibudayakan hingga ke hari ini dalam rumah kami. Mengikuti majlis ilmu di pagi hari mampu memberi suntikan motivasi dan aura positif untuk kami memulakan hari itu dengan lebih baik. Prof Muhaya juga menyarankan kita untuk mendengar ceramah agama berbanding mengikuti siaran berita yang dilihat lebih banyak mencetuskan aura negatif berbanding positif. Sejujurnya jika Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk memanfaatkan pagi dengan baik, in sha Allah, kita akan menjadi lebih bertenaga dan produktif sepanjang hari tersebut. Tak percaya, cubalah!!

Waktu pagi dan mereka

 Jika disoroti sejarah silam, Rasulullah S.A.W. sendiri banyak memanfaatkan waktu subuh sehingga dia tidak berganjak dari tempat solatnya sehingga terbit matahari. Sunnah ini juga banyak dilakukan oleh ulama salaf di mana mereka mengisi pagi mereka dengan berzikir dan berdoa hingga terbit matahari. Ibnu Taimiyah sendiripun sentiasa berzikir di pagi hari hingga beliau pernah berkata “Ini adalah kebiasaanku di pagi hari, jika aku tidak berzikir seperti ini, hilanglah kekuatanku”. Keberkatan waktu subuh juga boleh melambangkan kekuatan yang luar biasa kepada umat Islam sehinggakan orang yahudi sendiri sangat risau jika pemuda-pemuda Islam mengimarahkan solat subuh seperti solat jumaat. Perkara ini sepatutnya tidak diambil remeh oleh pemuda-pemuda Islam kerana di situlah terletaknya asas kekuatan dan perpaduan ummah.



Oleh itu, sebagai muslim yang sedang mengejar kejayaan hakiki, carilah keberkatan yang hakikatnya sudah disediakan Allah kepada kita. Cuma tinggal kita sahaja samada untuk memanfaatkannya atau mensia-siakannya. Akhir kata, moga Allah sentiasa memberi kekuatan untuk kita berpagi-pagian dalam keadaan yang penuh baraqah. Ameen. 




No comments:

Post a Comment