Saturday 4 April 2015

Amal soleh teman sejatiku



~Bila waktu sudah terhenti , teman sejati hanyalah amal~

Bait-bait indah lagu ini sebenarnya harus menjadi renungan kita untuk terus menyedari betapa hidup ini sebenarnya adalah soal amal. Bukankah Allah telah memberitahu bahawa dia telah mencipta kehidupan dan kematian untuk menguji siapakah antara kita yang baik amalnya [Al-Mulk:2]. Justeru, itulah tujuan hidup kita yang sebenar, yakni untuk beramal. Hinggakan di hari Qiamat kelak, orang yang menyesal dek tersasar kehidupannya di dunia masih merayu-rayu kepada Allah untuk dikembalikan ke dunia semata-mata untuk membuat beramal!! [As-sajadah: 12]

ME is refer to AMAL SOLEH
Persoalannya, sejauh manakah kita berusaha untuk menjadikan dunia ini sebagai medan beramal yang paling efektif untuk meraih kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Amal yang bagaimanakah yang ingin kita gempurkan dalam medan amal ini? Dalam konteks ini, Allah telah menunjukkan kita dua jalan [Al-balad: 10]. Jadi pilihlah, nak jalan amal yang soleh atau yang toleh.

Tetapi, tidak dapat tidak, dalam mengerjakan yang soleh itu, pasti ada halangan dan anak duri yang datang menjengah walaupun kebaikan itu sekadar ingin memaniskan muka di hadapan sahabatmu. Tatkala ingin tersenyum kepada mereka, maka wujudlah perasaan hilang mood, stress, lapar seraya menzahirkan ekspresi muka yang masam mencuka. Walaupun nampak ringkas tetapi itulah faktor penghalang yang melambatkan langkah kita untuk ke syurga. Itu baru kebaikan yang kecil, bagaimana pula dengan kebaikan besar yang punyai nilaian tertentu disisi Allah,pasti lebih besar dugaannya.

Bagaimana pula dengan keburukan? Jangan anda sangkakan untuk berbuat jahat itu senang walaupun sekadar mencuri. Ingin mencuri itu sendiri sudah mengundang keresahan. Tatkala hendak mengambil barangan yang ingin dicuri, mata melilau melihat persekitaran. Langkah diatur dengan penuh hati-hati. Walaupun peluh berjujuran keluar kerana jantung berdegup kencang menendang dada, kita turutkan juga nafsu itu. Pabila mendapat barang dicuri, harus disembunyikan pula sambil membuat muka selamba. Terpaksa berpura-pura demi menutup aib. Kemudian hati masih resah bila tuan empunya mendapati barangnya diambil orang. Sanggup pencuri itu hidup dalam kegelisahan kerana turutkan hawa nafsunya. Alangkah ruginya dia. Tegar bersusah-payah melakukan maksiat kerana terlalu ikutkan hawa nafsu tanpa menghiraukan neraka yang bakal membahamnya kelak. Nauuzubillah.

Oleh itu, nak buat baik pun ada cabaran, nak buat jahat pun ada cabaran. Cuma sebagai hamba, berpeganglah kita pada saranan Allah yakni:

“Patuhilah seruan tuhanmu sebelum datang suatu hari yang tidak dapat ditolah perintahNya. Dan pada hari itu kamu tiada tempat berlindung dan tidak pula dapat mengingkari dosa-dosamu [Asy-Syura, 47].


Hakikatnya nak ikut perintah Allah ke..tak nak ikut perintah Allah ke.. Akhir sekali kena ikut juga. Kerana kita tiada pilihan sebab selamanya kita ini hamba Allah yang hidup mengikut kehendakNya. Oleh itu tiada pilihan melainkan amal soleh kerana amal soleh itu akan membuahkan ketaqwaan yang akhirnya menuntun kita ke SyurgaNya….Wallahua’lam

No comments:

Post a Comment