Monday 30 March 2015

Ilmu keibubapaan yang dilupakan


Anak-anak merupakan amanah Allah yang harus dijaga dengan baik. Oleh sebab itulah ibu bapa harus menyediakan diri untuk sentiasa memperbaharui ilmu bagi mendidik anak dengan mempelajari ilmu keibubapaan. Namun realitinya di Malaysia, ramai ibu bapa yang mempunyai anak, namun bukan semua yang mampu mendidik mereka dengan baik. Mengapa ini berlaku?Jika diteliti kembali silibus pengajaran kita dari sekolah rendah hingga sekolah menengah hatta ke matrikulasi dan universiti, tidak ada kemahiran mendidik anak dalam sistem pendidikan yang formal. Cadangan Prof Sidek Baba untuk mengimplimentasikan pendidikan keibubapaan itu secara formal hanya dipandang sepi oleh pihak yang berwajib. Setakat ini pendidikan keibubapaan hanya diperolehi daripada aktiviti seminar kekeluargaan, pembacaan buku dan ajaran lepas daripada orang tua-tua.

Sebenarnya saya sangat mengharapkan pihak kerajaan mampu menjadikan pendidikan keibubapaan dalam sistem pendidikan formal di matrikulasi. Ini kerana pada usia tersebut individu sudah mencapai tempoh matang dan mula tercari-cari pasangan hidup. Alangkah baiknya jika pada masa ini kita mendidik mereka menjadi individu terbaik untuk pasangan mereka  seterusnya menerapkan ilmu tentang dunia keibubapaan sebagai persediaan mereka menuju alam rumah tangga yang serba mencabar. Berdasarkan pengalaman saya semasa belajar di matrikulasi, terdapat satu subjek yang dinamakan dinamika kemahiran. Subjek ini menekankan soal protokol berada di tempat rasmi, protokol makan di hotel dan sebagainya. Sejujurnya Saya mencadangkan agar subjek ini ditukar kepada pendidikan keibubapaan yang dilihat memberi impak yang lebih signifikan dalam pembangunan masyarakat berbanding mempelajari protokol yang kadang-kadang aplikasinya hanya di majlis-majlis tertentu sahaja. Bukan saya mengatakan itu semua tidak penting, tapi kita harus ingat pembinaan insan itu merupakan perkara yang besar yang harus difokuskan jika kita benar-benar ingin menegakkan ketamadunan manusia.

Mengapa pendidikan keibubapaan penting?

Pendidikan keibubapaan sangat penting kerana ibu-bapalah merupakan individu penting yang mempengaruhi pendidikan anak-anak.

Rasulullah SAW bersabda, anak-anak ibarat kain putih , ibu-bapalah yang akan mencorakkannya samada menjadi nasrani yahudi atau majusi.

Hadis ini membuktikan bahawasanya besar sekali peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak. Tetapi tidak ramai yang menyedarinya. Buktinya kita dapat lihat apabila ibu bapa hari ini sibuk mengejar kerjaya dan tidak memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak. Perlu diingatkan di sini, menjaga anak-anak bukan sahaja terhad dalam memenuhi keperluan fizikal semata-mata seperti makanan dan pakaian, tetapi juga unsur intelektual, emosi dan spiritual juga harus ditekankan. Dan bagi merealisasikan perkara ini ilmu keibubapaan wajib difahami oleh orang yang telah bergelar ibu-bapa. Sekiranya ilmu itu gagal difahami, maka kita akan menempah tiket kegagalan dalam pembinaan generasi cemerlang. Impak pendidikan ibu bapa bukan kecil kerana ia akan mencorakkan  siapa anak mereka setelah dewasa. 

Lelaki berpisau dan anak gadisnya

Pernahkah anda mendengar cerita tentang kisah seorang Ayah berpisau dan anak perempuannya. Bagi mendidik anaknya, pisau belati sentiasa diselip ke pinggang si ayah kerana ia ingin memberikan suatu nada ancaman kepada si anak sekiranya dia nakal dan tidak mengikut arahan ayahnya. Sungguh ngeri bukan?? Dan tahukah anda siapa budak perempuan itu. Itulah Irsyad Manji, seorang gadis dari Uganda berbangsa India yang juga merupakan seorang aktivis gerakan kewanitaan (feminist) yang liberal dan mengaku lesbian. Kekerasan seorang lelaki yang bergelar ayah ketika mendidik anak perempuan akhirnya telah mengikis kepercayaan anak terbabit bahawa lelaki boleh menjadi pelindungnya. Lebih teruk lagi, lelaki menjadi ancaman yang sangat berbahaya dalam hidupnya walaupun lelaki itu ayahnya. Oleh itu tidak hairanlah dia lebih cenderung untuk memilih pasangan wanita dalam kehidupannya. Lihatlah, betapa masa kecilnya yang traumatik dek asuhan bapa yang salah telah membentuk ‘siapa dia’ pada hari ini.

Irsyad Manji: Mangsa kesilapan asuhan bapa
Membina anak ibarat membina bangunan

Pendidikan yang baik terutamanya di peringkat awal kanak-kanak bukan merupakan perkara remeh. Ini kerana membina anak ibarat membina bangunan. Tempoh usia 0-5 tahun merupakan tempoh kritikal yang harus diberi perhatian. Dalam pembinaan bangunan, tempoh masa lima tahun itu biasanya digunakan untuk memadat dan mempersiapkan struktur tanah, supaya ia menjadi kuat dan mampu menjadi asas yang kukuh untuk memberi laluan kepada pembinaan seterusnya. Justeru, tindakan sesetengah ibu bapa yang meremeh-temehkan anak-anak pada usia ini samalah seperti meremehkan fungsi kerja pembinaan hebat sehebat Franky ataupun Caterpillar dalam membina bangunan pencakar langit.


Oleh itu kita semua orang harus mengubah paradigma ini. Usia kecil anak-anak bukanlah sesuatu yang boleh dipersia-siakan. Setelah saya belajar psikologi pendidikan barulah saya faham mengapa di Finland, guru yang mengajar pendidikan awal kanak-kanak perlu berkelulusan pHd. Ini menunjukkan kualiti dan keilmuan yang ada pada guru tersebut penting dalam mencorakkan permikiran kanak-kanak. Oleh itu kepada siapa yang bercita-cita untuk menjadi ibu-bapa yang baik, dalamilah ilmu keibubapaan dengan baik supaya kita akan menyumbang dalam membina generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang seterusnya menterjemahkan ‘wa aslihli fii zurriyati’[Al-Ahqaf;15] dalam kehidupan kita.Senyum sambil mata merenung memikirkan masa depan.


#Sila teroka makna  ‘wa aslihli fii zurriyati’ dalam quran ye.

.
  

No comments:

Post a Comment