Monday 30 March 2015

Ilmu keibubapaan yang dilupakan


Anak-anak merupakan amanah Allah yang harus dijaga dengan baik. Oleh sebab itulah ibu bapa harus menyediakan diri untuk sentiasa memperbaharui ilmu bagi mendidik anak dengan mempelajari ilmu keibubapaan. Namun realitinya di Malaysia, ramai ibu bapa yang mempunyai anak, namun bukan semua yang mampu mendidik mereka dengan baik. Mengapa ini berlaku?Jika diteliti kembali silibus pengajaran kita dari sekolah rendah hingga sekolah menengah hatta ke matrikulasi dan universiti, tidak ada kemahiran mendidik anak dalam sistem pendidikan yang formal. Cadangan Prof Sidek Baba untuk mengimplimentasikan pendidikan keibubapaan itu secara formal hanya dipandang sepi oleh pihak yang berwajib. Setakat ini pendidikan keibubapaan hanya diperolehi daripada aktiviti seminar kekeluargaan, pembacaan buku dan ajaran lepas daripada orang tua-tua.

Sebenarnya saya sangat mengharapkan pihak kerajaan mampu menjadikan pendidikan keibubapaan dalam sistem pendidikan formal di matrikulasi. Ini kerana pada usia tersebut individu sudah mencapai tempoh matang dan mula tercari-cari pasangan hidup. Alangkah baiknya jika pada masa ini kita mendidik mereka menjadi individu terbaik untuk pasangan mereka  seterusnya menerapkan ilmu tentang dunia keibubapaan sebagai persediaan mereka menuju alam rumah tangga yang serba mencabar. Berdasarkan pengalaman saya semasa belajar di matrikulasi, terdapat satu subjek yang dinamakan dinamika kemahiran. Subjek ini menekankan soal protokol berada di tempat rasmi, protokol makan di hotel dan sebagainya. Sejujurnya Saya mencadangkan agar subjek ini ditukar kepada pendidikan keibubapaan yang dilihat memberi impak yang lebih signifikan dalam pembangunan masyarakat berbanding mempelajari protokol yang kadang-kadang aplikasinya hanya di majlis-majlis tertentu sahaja. Bukan saya mengatakan itu semua tidak penting, tapi kita harus ingat pembinaan insan itu merupakan perkara yang besar yang harus difokuskan jika kita benar-benar ingin menegakkan ketamadunan manusia.

Mengapa pendidikan keibubapaan penting?

Pendidikan keibubapaan sangat penting kerana ibu-bapalah merupakan individu penting yang mempengaruhi pendidikan anak-anak.

Rasulullah SAW bersabda, anak-anak ibarat kain putih , ibu-bapalah yang akan mencorakkannya samada menjadi nasrani yahudi atau majusi.

Hadis ini membuktikan bahawasanya besar sekali peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak. Tetapi tidak ramai yang menyedarinya. Buktinya kita dapat lihat apabila ibu bapa hari ini sibuk mengejar kerjaya dan tidak memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak. Perlu diingatkan di sini, menjaga anak-anak bukan sahaja terhad dalam memenuhi keperluan fizikal semata-mata seperti makanan dan pakaian, tetapi juga unsur intelektual, emosi dan spiritual juga harus ditekankan. Dan bagi merealisasikan perkara ini ilmu keibubapaan wajib difahami oleh orang yang telah bergelar ibu-bapa. Sekiranya ilmu itu gagal difahami, maka kita akan menempah tiket kegagalan dalam pembinaan generasi cemerlang. Impak pendidikan ibu bapa bukan kecil kerana ia akan mencorakkan  siapa anak mereka setelah dewasa. 

Lelaki berpisau dan anak gadisnya

Pernahkah anda mendengar cerita tentang kisah seorang Ayah berpisau dan anak perempuannya. Bagi mendidik anaknya, pisau belati sentiasa diselip ke pinggang si ayah kerana ia ingin memberikan suatu nada ancaman kepada si anak sekiranya dia nakal dan tidak mengikut arahan ayahnya. Sungguh ngeri bukan?? Dan tahukah anda siapa budak perempuan itu. Itulah Irsyad Manji, seorang gadis dari Uganda berbangsa India yang juga merupakan seorang aktivis gerakan kewanitaan (feminist) yang liberal dan mengaku lesbian. Kekerasan seorang lelaki yang bergelar ayah ketika mendidik anak perempuan akhirnya telah mengikis kepercayaan anak terbabit bahawa lelaki boleh menjadi pelindungnya. Lebih teruk lagi, lelaki menjadi ancaman yang sangat berbahaya dalam hidupnya walaupun lelaki itu ayahnya. Oleh itu tidak hairanlah dia lebih cenderung untuk memilih pasangan wanita dalam kehidupannya. Lihatlah, betapa masa kecilnya yang traumatik dek asuhan bapa yang salah telah membentuk ‘siapa dia’ pada hari ini.

Irsyad Manji: Mangsa kesilapan asuhan bapa
Membina anak ibarat membina bangunan

Pendidikan yang baik terutamanya di peringkat awal kanak-kanak bukan merupakan perkara remeh. Ini kerana membina anak ibarat membina bangunan. Tempoh usia 0-5 tahun merupakan tempoh kritikal yang harus diberi perhatian. Dalam pembinaan bangunan, tempoh masa lima tahun itu biasanya digunakan untuk memadat dan mempersiapkan struktur tanah, supaya ia menjadi kuat dan mampu menjadi asas yang kukuh untuk memberi laluan kepada pembinaan seterusnya. Justeru, tindakan sesetengah ibu bapa yang meremeh-temehkan anak-anak pada usia ini samalah seperti meremehkan fungsi kerja pembinaan hebat sehebat Franky ataupun Caterpillar dalam membina bangunan pencakar langit.


Oleh itu kita semua orang harus mengubah paradigma ini. Usia kecil anak-anak bukanlah sesuatu yang boleh dipersia-siakan. Setelah saya belajar psikologi pendidikan barulah saya faham mengapa di Finland, guru yang mengajar pendidikan awal kanak-kanak perlu berkelulusan pHd. Ini menunjukkan kualiti dan keilmuan yang ada pada guru tersebut penting dalam mencorakkan permikiran kanak-kanak. Oleh itu kepada siapa yang bercita-cita untuk menjadi ibu-bapa yang baik, dalamilah ilmu keibubapaan dengan baik supaya kita akan menyumbang dalam membina generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang seterusnya menterjemahkan ‘wa aslihli fii zurriyati’[Al-Ahqaf;15] dalam kehidupan kita.Senyum sambil mata merenung memikirkan masa depan.


#Sila teroka makna  ‘wa aslihli fii zurriyati’ dalam quran ye.

.
  

Monday 23 March 2015

Aku cinta Buku



Hari ini sungguh unik. Aku melangkah keluar bilik dengan niat membeli buku. Almaklumlah, aku ni memang gila buku. Dapat pulak baucer buku dari kerajaan Malaysia, apa lagi borong sakanlah aku. Dari bilik lagi aku berazam untuk membeli buku tentang penulisan. Ya, kini aku menjadi lebih serius untuk menulis.Walaupun usiaku hampir mencecah 25 tahun tidak lama lagi, aku tetap optimis dengan cita-citaku. Aku bukan seperti Fatimah Syarha, bukan juga seperti Hilal Asyraf yang mula berkarya pada usia yang sangat muda. Tetapi aku tetap bersyukur kerana Allah memberikan hidayah untukku menceburi bidang ini. Alhamdulillah.

Berbalik pada cerita tadi, aku pun melangkahlah ke tapak pesta buku di hadapan perpustakaan UUM. Banyak gerai buku yang dibuka. Aku sangat gembira melihat lambakan buku-buka agama dan motivasi. Bagiku ini adalah anjakan kesarjanaan yang positif sebagai galakan kepada anak muda untuk membaca karya ilmiah berbanding buku picisan yang tidak memberikan impak signifikan pada permikiran. Aku berjalan hampir  ke semua gerai, mencari buku panduan menulis yang mungkin tersembunyi di mana-mana. Kemudian aku tiba di sebuah gerai yang penuh dengan majalah solusi. Terus aku teringatkan ruangan tinta daie yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam majalah itu. Aku pun apa lagi… terus membaca semua ruangan tinta daie dalam setiap majalah solusi yang ada di situ. Ruangan itu menyediakan panduan penulisan berasaskan dakwah yang kukira penting untuk dihayati oleh setiap penulis terutamanya penulis novis sepertiku ini.Senyum.Dapat jugaklah aku menikmati ilmu di dalamnya walaupun aku tak beli.

Selesai membacanya, aku berjalan dan terus berjalan sampai aku terjumpa buku “Bicara ini demi
llahi” yang terpampang gambar Tuan Guru Nik Aziz yang kucintai. Terus kugapai buku yang tersalut plastik itu. Sememangnya dah lama aku berniat nak beli buku Tok  Guru ni selepas pemergiannya. Dan aku rasa sangat bertuah kerana buku itu sudah berada dalam genggamanku.


Ini buku pertama aku jumpa
Walaupun terjumpa buku Tok Guru, namun misiku untuk mencari buku panduan penulisan masih belum terpadam. Selepas melihat buku demi buku, akhirnya berjumpa juga aku dengan buku panduan menulis itu. Ianya hasil karya Hilal Asyraf dan Zahiruddin Zabidi. Aku saaangat gembira!!!Selepas membelek-belek isinya aku mengangguk-angguk dan tersenyum sendirian. Aku melihat belakang buku tersebut. Harganya RM 19. Selepas ku congak-congak dengan harga buku Tok guru tadi, aku perlukan buku berharga RM 12 untuk aku cukupkan nilai baucer buku RM 50 ini.


Buku ke-2
“Hrm… buku apa yang perlu ku beli…” aku bermonolog sendirian. Tiba-tiba bebola mataku menangkap tajuk buku ‘ Ingin jadi Penulis: Karya +  rujukan + Idea = Karya Agung’.Nah !! Ambik Engko, siap ada equation lagi. Ku lihat harganya…RM 12!!!. Tidak syak lagi. Buku inilah yang patut ku beli. Tanpa berlengah, aku terus ke kaunter. Baucer buku tertera tulisan RM50 aku hulurkan.Aku bersyukur. Ku atur langkah pulang dengan perasaan teruja tak sabar nak baca buku itu.


 Unikkan hariku ini!!!. Ya kerana ianya bermula dengan niat. Benar sekali sabda Nabi kita “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan kita akan dapat apa yang diniatkan.”Jika kita berniat membeli buku yang baik, dapatlah buku itu. Jadi ibrah ceritaku hari ini, niatlah yang baik-baik supaya akhirnya yang baik-baik itu menjadi milik kita. Lambai tangan...


Saturday 21 March 2015

Kerana akhirnya kita ini seorang musafir





 Musafir kali ini......Walaupun mungkin sekejap, namun aku sangat berharap agar Allah memberikanku kekuatan untuk aku menghargai musafir kali ini. Musafir adalah satu rantaian doa yang dimakbulkan jika kita berjaya memanfaatkannya. Musafir juga adalah ‘tapak pelupusan masa terbuang’ jika kita gagal menguruskannya. Boleh jadi musafir akan menjadi satu perjalanan yang diberkati jika ia diiringi dengan zikir, selawat, istighfar dan doa. Akan tetapi, ada kalanya kita terlalai dek asyik melihat dunia sekeliling. Melihatkan reaksi manusia yang pelbagai wataknya, sifatnya dan keperibadiannya. Yang mewarnai hidup di dunia. Tetapi hakikatnya itulah hiasan yang bersifat sementara. 

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan senda gurau dan perhiasan [Al-Hadid:20]

Maka janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kehidupan dunia [Luqman;33]




Justeru, pandangan yang dinikmati di kala musafir itu biarlah dilihat dengan mata hati. Agar kita lebih beringat. Bahawa kita ini hamba yang sentiasa bergerak menuju Tuhannya…Itulah kita, musafir kelana di dunia sementara bergerak menuju alam ukhrawi yang kekal abadi.

#Muhasabah

Wednesday 18 March 2015

Tulislah di mana-mana




 Bila cita-citamu menulis, tulislah di mana sahaja anda berada, di stesen bas, di pasar raya, di hospital atau di mana-mana sahaja. Moga variasi tempat itu mampu memberikan nafas baru dalam penulisan kita. Kita akan mula menjadi pemerhati, penilai dan pemikir yang kritis untuk terus mencari makna di sebalik kehidupan ini. Jika anda menulis di mana-mana, sebenarnya anda telah membantu mewujudkan persekitaran yang baik untuk masyarakat sekeliling. Sesungguhnya itu jauh lebih baik daripada merokok, termenung, berselfie atau bermain 'games'. Menulis itu perlukan daya fikir. Di samping otak ligat mencari kalimah, setiap pergerakan di alam sekeliling, bunyi, malahan bau akan tersinergi dan menyediakan latar yang menarik dalam penulisan kita.Menulis itu adalah latihan.Semakin luas skop latihan semakin kreatif penulisan kita. Kalau latihan itu mengundang letih, ketahuilah itu ialah keletihan berbaloi.Tidak ada harta pusaka yang terbaik untuk ditinggalkan di muka bumi ini melainkan tulisan. Kerana tulisan itu ekspresi ilmu yang mencetus tahu dan merangsang mahu.Mahu itu akan terpancar pada orang yang ingin tahu, seterusnya mewujudkan tindakan.  yang dinamakan AMAL. Amal itulah yang mahal. Berapa ramai orang yang tahu tapi tidak beramal.Kerana akhirnya kehidupan dan kematian kita adalah soal amal. Jika baik amalnya, ke syurgalah kita. Jika buruk amalnya, ke nerakalah kita. Oleh itu pilihlah yang terbaik kerana amal hanyalah di dunia. Dan aku memilih untuk menulis..menulis dan terus menulis sebagai amalku di dunia...Bidznillah

Tuesday 10 March 2015

Tulisan ini demi Ilahi




 Wahai penulis, marilah menulis demi Illahi. Sama-sama menggerakkan pena menyebarkan kebenaran. Sama-sama berjuang meng’iqrak’kan masyarakat yang akhirnya menjulang peradaban Islam. Kata Abdullah Azam, perjuangan melakar peradaban Islam itu ada dua faktornya. Hitam tinta para ulama dan merahnya darah para syuhada. 

Oleh itu pilihlah wahai sahabat, mana satu yang menjadi wasilahmu bagi menebarkan jalur dakwah di medan kita. Aku memilih yang hitam. Kerana aku percaya disitulah kekuatanku. Walau bertatih, inilah jalanku. Dan ketahuilah, aku akan berusaha  untuk terus menulis biarpun seribu halangan datang menerpa, biarpun kirimanku tiada berbalas, biarpun futur menguasai diri biarpun tiada pembaca yang setia mengikuti, biarpun umurku sudah tua, kerana aku yakin tulisan ini akan pasti sampai kepada yang lebih sudi untuk memaknai. Seterusnya memanifestasikan ilmu, menjana transformasi.

Siapa aku untuk memaksa orang membaca, aku hanya  menyediakan tulisan. Tulisan yang menyuluh kehidupan, bagi siapa yang ingin mengesan, supaya hati sentiasa terkesan seterusnya menyuburkan pesan-memesan. 

Itulah impak tulisan. Kata Paroedya Ananta Toer, orang boleh pandai setinggi langit, tetapi selama tidak menulis, ia akan hilang dalam masyarakat dan sejarah, menulis itu bekerja untuk keabadian. Walaupun kita mati, tulisan kita akan terus hidup hingga Qiamat. Itulah magisnya tulisan. Tulisan dijelmakan melalui pembacaan. Orang yang banyak membaca namun tidak menulis, maka itu adalah orang yang sakit.Seperti orang yang makan dan minum tetapi tidak BAB (buang air besar).

Kata Imam Ghazali, kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis. Senyum. Ya, Aku akan jadi penulis. Tidak syak lagi!!!

# Tulis sokmo deh.

Friday 6 March 2015

Pengorbanan memerlukan keberanian





Suatu hari seorang lelaki telah tersesat di padang pasir yang luas. Dia hampir mati kehausan. Tetapi dia memaksa diri  untuk terus berjalan sehingga sampai ke satu pondok kosong yang terbiar. Pondok itu kelihatan sangat usang sekali. Tingkapnya tiada dan dinding mula mereput dek kepanasan yang membahang. Ketika menjengah ke dalam dia ternampak pam air yang sudah berkarat. Dengan kudrat yang berbaki, terus dia meluru ke pam air tersebut dan mengepamnya. Malangnya, sudah puas dia mengepam, tiada setitik air pun yang keluar dari perigi tersebut.

Kemudian dia terperasan bahawa terdapat jag kecil dengan gabus di atasnya berhampiran pam itu. Di luar jag itu tertulis, kamu harus isikan pam itu dengan air, “kemudian penuhkan balik jag itu sebelum kamu pergi”. Apabila dia membuka gabus tersebut, dia terkejut kerana  air penuh  di dalam jag itu.
“Patut ke aku membuang air ini kembali ke dalam pam? Macam mane kalau ianya tak berfungsi? Kalau tak semua air ini akan hilang dan aku pasti akan mati kehausan.Apatah lagi membuang air ke dalam pam berkarat berdasarkan arahan yang langsung tak masuk akal.Fuh”

Walaubagaimanapun, nalurinya mendesak untuk dia mengikut pesanan itu. Kemudian, dengan yakinnya dia  membuang semua air di dalam jag ke dalam pam tersebut dan mengepamnya dengan sekuat mungkin. Teka apa yang berlaku? Semua air memancut keluar. Akhirnya dia boleh menikmati sehingga hilang dahaganya. Akhirnya dia mengisi kembali air di dalam jag tersebut lalu menutupnya. Dia kemudian menambah sedikit nota pada kertas tersebut dengan menulis, “Percayalah, ia memang berkesan. Kamu harus memberikan kesemuanya sebelum menikmati apa yang kamu inginkan.”
 
Moral:Pengorbanan memerlukan keberanian, Apabila kita belajar memberi, Tuhan akan memberi kemampuan untuk kita memberi lebih banyak

Diterjemahkah dari artikel facebook Learning of The Day

Semoga bermanfaat.Angkat ibu jari tangan.


Tuesday 3 March 2015

Kecemerlangan tanpa roh



Hari ini fenomena memilih kerja merupakan normalisasi yang menghinggapi graduan-graduan lepasan universiti hari ini. Sudah banyak kajian yang dilakukan tentang punca masalah pengangguran ini. Antaranya termasuklah graduan yang ingin mendapat pendapatan yang sesuai dengan kelayakan, bekerja di sektor kerajaan dan tidak kurang pula yang ingin bekerja dalam ‘zon selesa’ seperti pejabat berhawa dingin dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, tidak ramai yang mengaitkan masalah pengangguran dengan ‘mindset’ yang terpasak dalam jiwa masyarakat kita sejak zaman-berzaman. Sewaktu era persekolahan, ibu bapa sibuk menasihati pelajar untuk rajin belajar supaya mereka memperolehi keputusan akademik yang bagus, mendapat kerja dalam bidang professional dan meraih pendapatan tinggi. Lebih malang lagi, mereka hanya dianggap berjaya jika mampu memenuhi hasrat tersebut. Jika tidak, mereka dianggap gagal.Namun begitu kita tidak menyedari bahawa permikiran ini telah menjadi racun yang bisa membunuh intelektualiti dan akhlak masyarakat kita. Kesannya, masyarakat tidak mampu mengekspresi kreativiti untuk mencari solusi setiap gelombang masalah yang membadai ummah. Lebih parah lagi, mereka gagal membentuk acuan permikiran sendiri dan hanya bergantung kepada sumbangan orang lain untuk survival kehidupan. Jika terdapat orang yang berjaya sekalipun, mereka hanya mampu menjadi pekerja yang ketandusan idea-idea untuk memenuhi kemaslahatan ummah. 

‘Penternakan’ graduan

Inilah yang dikatakan kecemerlangan tanpa roh  atau “Excellence without Soul”, sebuah buku karangan seorang Proffesor di Universiti Harvard, Harry Lewis. Dalam karyanya beliau mengkritik hebat budaya pendidikan barat yang gagal memanifestasikan keilmuan untuk perkembangan modal insan. Dalam bukunya, beliau menukilkan “ Western Universities will be regarded as sources of economic security for their graduates but not of intellectual or personal inspiration” (Universiti –universiti barat hanya dianggap sebagai sumber keselesaan ekonomi kepada para graduan dan bukannya sumber inspirasi atau intelektualiti). Ini menggambarkan betapa kroniknya sistem pendidikan hari ini yang hakikatnya hanya ‘menternak’ graduan yang tidak mampu membina kecemerlangan intelektual apatah lagi menyumbang kepada pembangunan negara. Sebaliknya, mereka hanya menjadi produk untuk melariskan ekonomi dan bekerja tanpa berjaya memanfaatkan keilmuan yang dimiliki. Jika mereka memasuki pasaran kerja sekalipun, mereka hanya menjaga kepentingan diri dengan mengejar harta dan pangkat. Ditambah pula dengan ketandusan rohani, akhirnya budaya rasuah semakin membarah, pangkat diraih pun tidak berkat hingga semua orang naik meluat.

Betulkan kantamu

Hakikatnya, harta banyak melimpah ruah, status sosial yang tinggi, kecemerlangan akademik atau mungkin populariti adalah indikator yang salah dalam mendefinisikan kejayaan. Betapa baiknya Allah selaku pencipta kita yang tidak pula membeza-bezakan kita dengan kejayaan tersebut tetapi menganjurkan kita untuk terus bertaqwa kepadanya. Kerana di situlah terletaknya kejayaan sebenar. Malah kejayaan sebenar harus didefinisikan semula sebagai bukan berjaya pada pandangan manusia tapi berjaya dikaca mata Allah. Dalam surah Al-mukminun, Allah menggariskan enam ciri-ciri untuk meraih kejayaan abadi. Antaranya khusyuk dalam solat, mengawal diri dari perkara lagha, menunaikan zakat, memelihara kemaluan, menjaga amanah dan memelihara solat. Enam perkara inilah yang sepatutnya difokuskan untuk menggapai kejayaaan sebenar. Lebih molek lagi, perkara inilah yang harus dipasakkan dalam jiwa manusia sejak mereka kecil lagi. Ini kerana jiwa muda ibarat tanah yang subur, tuailah apa sahaja pasti akan segar tanamannya. Dalam konteks ini, cuba bayangkan jika guru berkata kepada anak muridnya “Wahai pelajarku kejarlah apa sahaja yang kamu suka, tetapi tetaplah solat dan mengambil panduan dari quran, kerana itu sebaik-baik jalan”. Di sini kita pasti akan lihat betapa bebasnya peluang untuk mereka memilih ‘kerjaya mereka’ tetapi pada masa yang sama tidak menidakkan kehambaan mereka kepada tuhan. Sejujurnya jika inilah yang bisa kita sematkan dalam jiwa mereka, suatu hari nanti kita akan melihat dunia kita dipenuhi ramai mukmin professional yang pakar dalam bidang masing-masing. Subhanallah, itulah generasi bertaqwa yang kita idam-idamkan. Apabila semua orang bertaqwa, tidak akan ada lagi pekerja curi tulang, tiada pekerja yang pecah amanah kerana rasa muraqabah yang tinggi hasil pemeliharaan solat mereka.


Seramnyer tengok gambar ni

Buat mahasiswa

Oleh itu buat para mahasiswa khususnya, usah sempitkan permikiranmu dengan menganggap kejayaan itu hanya apabila anda meraih anugerah dekan atau fasih berbahasa Inggeris atau mengharumkan nama universiti, tetapi lihatlah kejayaan itu dalam sudut ketaqwaan yang tinggi di sisi Allah sekurang-kurang dengan berfikir bagaimana ilmu yang diperolehi mampu mendekatkan diri kepada Allah dan memacu kita untuk membantu memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia. Yang penting bertaqwa, rezeki itu milik Allah. Ulama pernah mengatakan “ Allah meminta kita akhirat dan menjamin dunia untuk kita, tapi alangkah indahnya jika Allah menjamin kita akhirat dan meminta kita dunia”. Oleh itu ingatlah bahawa kehidupan dunia kita sudah dijamin. Kita wajar berusaha untuk mencari rezeki tetapi tidaklah sehingga menafikan status kita sebagai hamba Allah yang wajib  mengejar taqwa untuk menggapai kejayaan hakiki. Justeru, lihatlah kecemerlangan atas asas ketaqwaan kerana kecemerlangan itulah berintipatikan rohani bukan lagi kecemerlangan tanpa roh yang nampak gah tapi hakikatnya kosong..kosong dan kosong.