Monday 23 February 2015

Wanita dan kerjaya





 Sejujurnya isu wanita bekerja hari ini agak meresahkan saya. Ini kerana sekiranya wanita bekerja, masanya sudah banyak dihabiskan di tempat kerja. Manakala anak pula ditinggalkan oleh pengasuh atau taska atau tidak kurang juga ibu-bapa. Paradigma masyarakat moden hari ini seolah-olah mewajibkan para wanita untuk berkerjaya. Jika wanita tersebut hanya surirumah, dia dianggap ‘tidak berjaya’ dan dipandang rendah oleh masyarakat.Ibu bapa zaman dahulu mendidik  anak perempuan untuk menjadi ibu yang baik tetapi ibu bapa zaman sekarang mendidik anak untuk menjadi wanita berkerjaya.

Jauh di sudut hati, saya mengakui bahawa banyak kebaikan menjadi wanita berkerjaya. Antaranya wanita tersebut boleh berdikari, menyumbang tenaga kepada masyarakat, menolong ibu bapa dan membantu menstabilkan ekonomi rumah tangga. Tetapi kita juga tidak boleh menolak bahawa banyak keburukan jika wanita keluar bekerja terutamanya pada masa sekarang.

Kenapa saya berkata begitu? Percaya atau tidak, masalah sosial yang meruncing berlaku kepada hari ini adalah kerana anak ketandusan kasih sayang ibu. Sebab apa? Kerana ibu terpaksa keluar bekerja.Pembaca yang dikasihi sekalian, saya mempunyai ramai rakan. Antaranya yang bekerja sebagai guru, jururawat dan doktor. Ada di kalangan rakan saya yang terpaksa mengajar di sekolah di kawasan pedalaman Sarawak dan terpaksa meninggalkan anaknya dengan orang tuanya di Semenanjung. Tidak kurang juga dengan sahabat saya yang bertugas sebagai jururawat, Dia berkerja mengikut shif. Anak-anaknya ditinggalkan dengan ibu bapa. Apabila dia pulang, dia hanya tidur keletihan dan tidak sempat untuk melayani anak-anaknya. Untuk pengetahuan, semua rakan-rakan saya itu mempunyai anak yang berusia kurang dari satu tahun. Dalam ilmu psikologi yang saya pelajari, sekiranya ibu-bapa gagal mendapatkan kepercayaan dari anak-anak dalam tempoh usia 0-2 tahun, maka lebih sukar anak-anaknya mempercayai ibu bapa. Jika kepercayaan sukar diraih, proses pendidikan yang berlaku untuk fasa akan datang akan menjadi lebih payah dan memeritkan.

Perlu diingat di sini, anak-anak merupakan harta berharga kurniaan Allah kepada kita. Kadang-kadang kita berasa ghairah untuk mengejar kerjaya kerana kita mempercayai dengan kestabilan dalam kerjaya, anak-anak kita akan memperolehi hidup yang lebih baik. Malangnya tanpa kita sedari, betapa ramai ibu hari ini yang terpaksa meluangkan masa yang lebih banyak untuk pembangunan karier berbanding meluangkan masa dengan anak di rumah. Hakikatnya kita telah mengorbankan anak kita sendiri untuk kepentingan diri kita. Kata Chris Gardner, “Untuk kerjaya, kita boleh mengorbankan segalanya tapi bukan anak kita”. Anak kita memerlukan pelukan kasih sayang, belaian manja dan perhatian yang cukup, terutamanya jika usia mereka masih kecil.

Anak-anak juga merupakan kompenan penting dalam keluarga. Pembinaan keluarga akan menatijahkan masyarakat seterusnya membentuk negara. Sekiranya para wanita gagal menerapkan asas ilmu agama kepada zuriat dalam ruang lingkup kekeluargaan, kita akan lihat betapa pincangnya masyarakat yang wujud sekaligus akan membantutkan pembangunan negara. Cabaran hari ini adalah bagaimana kita perlu mengembalikan peranan keibuan dalam kerukunan rumah tangga di saat wanita sibuk mengejar karier dan kedudukan.

Sebenarnya, berkerjaya itu tidak salah, tetapi bagaimana kita menyusun fleksibiliti kita untuk kekal menjadi isteri dan mendidik anak-anak dengan baik. Itu merupakan cabaran yang cukup besar dalam dunia moden hari ini. Saudara Qosim Ahmad, yang merupakan bekas pensyarah sejarah di Universiti Sains Malaysia telah mencadangkan pelaksanaan pengunduran wanita secara terkawal dan terpilih. Pengunduran wanita bermaksud menjadikan wanita kembali menjadi surirumah seperti masyarakat tradisional. “Terkawal” bermaksud ianya harus dilakukan secara berperingkat-peringkat dan hanya kepada kerjaya tertentu sahaja. Contohnya hampir mustahil untuk mengarahkan semua wanita meletak jawatan secara drastik dan menjadi surirumah memandangkan wanita menyumbang kepada 47 peratus tenaga kerja di Malaysia.Terkawal juga bermaksud wanita tidak cenderung untuk berkecimpung dalam kerjaya yang sinonim dengan lelaki contohnya pemandu bas, juruterbang, buruh bangunan dan sebagainya.“Terpilih” pula beerti bukan semua kerjaya sesuai dilakukan oleh kaum adam, jadi masih relevan untuk wanita meneruskan kerjaya tersebut, contohnya guru dan pakar sakit puan. Cuma kawalan terus dibuat supaya bagaimana wanita yang walaupun berkerjaya tetapi tidak menjejaskan keselesaan rumah tangga dan bagaimana untuk kita mempersetujui bahawa fenomena wanita bekerja di luar rumah dalam bidang tertentu sebagai satu perkara darurat sahaja. 

Namun begitu ulas Qosim Ahmad dalam artikelnya, pengunduran wanita secara terkawal dan terpilih amat sukar untuk direalisasikan jika tiada kefahaman, penerimaan dan kerelaan dari manusia samada golongan lelaki atau wanita.Jadi bagaimana untuk memudahkan kita memahami semua ini. Sudah tentu kita harus mengambil panduan dari Quran dan sunnah. Jika kita kembali kepada tujuan hidup kita, sudah tentu kita ingin menggapai redha Allah dan mengecapi syurga bukan?

Dalam konteks ini, saya ingin sekali membawa pembaca mengimbau kembali sirah mengenai Asmak binti Yazid. Beliau merupakan pejuang hak bagi wanita Islam di Zaman Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan wanita yang petah berbicara dan mempunyai akal yang cerdas. Beliau selalu berfikir tentang sumbangan wanita kepada Islam dan mencemburui lelaki kerana ternyata lelaki lebih mendominasi segala hal-hal perjuangan Islam.Beliau merasakan golongan lelaki boleh mengaut pahala yang jauh lebih banyak  berbanding wanita. Atas rasa kecemburan yang amat tinggi, beliau bertekad bertemu Rasulullah supaya persoalan yang bermain di benaknya akan terungkai. 

Dengan hati yang berdebar-debar beliau mengadap baginda Rasulullah dan bersuara di balik tabir. “Wahai Rasulullah, saya Asmak, wakil perutusan kaum wanita”. Allah SWT mengutusmu untuk seluruh lelaki dan wanita, dan kami telah beriman kepadamu Ya Rasulullah, dan sesungguhnya Allah itu Tuhan Kami.”
“Sesungguhnya kaum wanita sangat dibatasi dan ditentukan sekali pahalanya. Kami hanya tiang rumah tangga, tempat penyaluran syahwat dan bertugas mengandungkan anak. Sedangkan kaum lelaki begitu diistimewakan dalam seluruh bidang pekerjaan. Mereka boleh menguruskan jenazah, mengerjakan haji berkali-kali, dan yang paling penting, mereka berpeluang untuk berjihad menegakkan agama Allah.Jika mereka terbunuh di medan perang, mereka mendapat pahala. Jika terbunuh, mereka tetap hidup disisi Alllah lagi dicukupi rezeki.

Dan sewaktu kami pergi berperang, kami hanya menjaga harta benda mereka, kami jahitkan pakaian mereka dan kami asuh anak-anak mereka. Lalu mengapa tidak sama pahala kami dengan pahala mereka?
Setelah meluahkan isi hati, Asmak tiba-tiba berasa malu terhadap Rasulullah lantas tertunduk.Rasulullah memandang sahabat seorang demi seorang lantas berkata, “Pernahkah anda semua mendengar seorang wanita yang mengatakan persoalan tentang pekerjaan Allah SWT dalam agama ini yang lebih baik dari ini?”

“Belum pernah ya Rasulullah”

Rasulullah kemudian berkata kepada Asmak, “Dengarkanlah baik-baik wahai Asmak. Sampaikan kepada wanita di belakangmu. Memperlakukan suami dengan baik, mengerjakan yang disenanginya, menurut kemahuannya, semua itu akan menyamai semua pahala yang diperolehi oleh lelaki”
 
Subhanallah, betapa mudahnya jalan yang Allah tentukan kepada para wanita untuk memborong pahala. Tidak perlu berpenat-penat keluar bekerja, terperangkap dalam kesesakan dan meninggalkan anak di pusat asuhan atau taska. Tidak dinafikan walau kebebasan wanita itu agak terbatas, namun peranan sebagai ibu, isteri atau wanita Islam yang bertaqwa adalah cukup signifikan dalam menentukan corak kemajuan sesebuah negara sebagaimana kata hukama:

“Baik wanita baiklah negara, rosak wanita maka rosaklah sesebuah negara”

Apabila seorang wanita dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranannya, maka akan terbentuklah sebuah keluarga yang baik. Dari situ lahirlah masyarakat dan negara yang baik  yang mempunyai ciri-ciri “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah” [Saba’:15]

Menurut Kosim Ahmad dalam artikelnya “Kepulangan para wanita ke rumah adalah berandaikan fakta yang ,mereka mahu dan tahu untuk tinggal dan bertugas di rumah. Kaum lelaki juga melihat ‘kembalinya wanita ke rumah’ adalah impian. Kebebasan wanita pula sepatutnya ditakrifkan semula sebagai bukan bebas untuk bekerja tetapi bebas untuk tinggal di rumah. Oleh itu sekiranya wujud kesempitan ekonomi, himpitan dari sistem masyarakat, kebiadapan para suami, keresahan perasaan sendiri yang tidak memungkinkan wanita merasa aman tinggal di rumah, maka segala yang menjadi halangan itulah yang patut dibaiki bukannya impian itu yang perlu dikorbankan”.

Akhir kata, sekadar perkongsian dari saya. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk berperanan sebagai wanita islam selari dengan tuntutan Islam. Kerja-kerja juga, tetapi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu harus disempurnakan.

Wallahua’lam. Senyum.

Rujukan

Qosim Ahmad. (1980).Undi wanita: Satu pengkhianatan pada haknya atau salah matlamat. Dewan Masyarakat 

Norhayati Ab. Samad. (1996).Asma’ binti Yazid, pejuang hak wanita Islam. Majalah Ayu

No comments:

Post a Comment