Thursday 26 February 2015

Untukmu Wanita






Nikmatnya membaca. Jika hari ini kita membaca buku , kita akan melihat dengan sudut pandang A, minggu depan dibaca sekali lagi buku yang sama, sudut pandang kita mungkin berubah menjadi B,C, D atau banyak lagi. Dalam proses inilah ilmu kita akan berkembang. Fikiran kita menjadi kompleks dan mencambahkan idea-idea yang baru untuk dikongsi.

Contohnya jika aku membaca buku” La Tahzan Buat Muslimah Berkerjaya,” perkara yang aku tercari-cari ialah bagaimana untuk menyeimbangkan antara kerjaya dan rumahtangga. Ini perkara yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Tapi hari ini jika aku membacanya aku menjumpai wasilah terbaik menjadi surirumah yang cemerlang.

Untuk entri kali ini, ingin sekali aku berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai hasil karya Dr Aidh Al-Qarni. Dalam bukunya yang bertajuk “La Tahzan Buat Muslimah Berkerjaya”, beliau mengupas dengan cukup baik tentang erti kerjaya. Baginya, kerjaya bolehlah ditakrifkan sebagai sesuatu yang kita lakukan dengan  bermotivasi tinggi sehingga menghasilkan satu ‘karya’. Penghasillan ‘karya’ ini juga melambangkan produktiviti. Dalam kata lain wanita berkerjaya dianggap sangat produktif. Walaubagaimanapun, beliau menyelar kenyataan yang menganggap kerjaya surirumah sebagai tidak produktif dan terkebelakang. Ulas beliau “ seorang muslimah yang menguruskan rumahtangga, siang malam dia berkerja. Hampir 24 jam. Adakah dia dikatakan tidak berkerja”.

Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan wanita memilih untuk berkerja. Antaranya faktor ekonomi, kepuasan diri, kejemuan berada di rumah dan memenuhi tuntutan masyarakat. Dalam konteks ini faktor keempat adalah yang paling kukuh. Contohnya dalam kerjaya perbidanan, orang perempuan lebih layak memikul tugas ini kerana ia membabitkan maruah wanita. Seperti juga kerjaya guru, wanita lebih diperlukan berbanding laki-laki dengan fitrah kelembutan yang ada pada dirinya. 

Dalam buku ini juga, Dr Aid Al-Qarni banyak menggalakkan wanita berkerja dari rumah berbanding di tempat kerja. Ini kerana wanita akan banyak meluangkan masa dengan keluarga dan ini sukar didapati jika mereka bekerja di luar rumah.Beliau juga tidak menolak kepentingan kerjaya untuk wanita kerana ia juga penting sebagai  menampung sumber pencarian sekiranya berlaku penceraian, suami meninggal atau keuzuran yang menghalang mereka untuk memberi nafkah dengan sempurna.

Antara pekerjaan yang disyorkan beliau ialah melakukan perniagaan atas talian, bergiat dalam bidang penulisan atau penterjemahan,perkhidmatan menaip, membuka salon muslimah, catering dan pelbagai lagi. Baginya seorang muslimah wajar berkecimpung dalam bidang yang selari dengan bakat, kemampuan dan kecenderungan masing-masing. Meskipun begitu, niat untuk bekerja harus diluruskan agar tidak bertujuan menyaingi suami tetapi sekadar memenuhi keperluan hidup. Kerjaya juga harus diseimbangkan dengan rumahtangga agar keluarga tidak rasa terabai dek wanita terlalu menumpukan pekerjaan. 

Kesimpulannya, sekiranya kita berniat untuk menjadi surirumah, kita seharusnya mula berjinak-jinak dengan pekerjaan yang kita minati semasa kita masih bujang. Jika hidup membujang, kita sudah malas untuk mulakan, apatah lagi selepas berkahwin. Sudah tentu tanggungjawab yang lebih besar sebagai sorang isteri dan ibu akan sedikit merencatkan perjalanan karier dari rumah. Oleh itu wanita sekalian, bersiap-siagalah mencari ilmu untuk mempersiapkan dirimu. Semoga niat yang ikhlas untuk memberi yang terbaik kepada pasangan dan anak-anak akan lebih memacu kita untuk lebih rajin dan konsisten membina karier dari rumah.

Akhir kata, Sekadar motivasi untuk diri dan siapa yang ingin memanfaatkan bacaan ini. Moga Allah terus meredhai perjalanan hidup kita. Senyum semanis-manisnya.

Rujukan

Aidh Al-Qarni (2014).La Tahzan Buat Wanita Berkerjaya.Al Hidayah Publishing.

Wednesday 25 February 2015

Perjalanan baru bermula...





Alhamdulillah, hari ini tiba lagi di UUM. Aku bersyukur kerana Allah masih memberiku kelapangan dan peluang untuk aku menimba ilmu. In sha Allah malam ini akan aku aturkan perancangan untuk semester ini. Pelbagai perkara bermain di benak fikiranku. Sesungguhnya belajar di peringkat sarjana dalam bidang psikologi pendidikan benar-benar membuka mataku untuk terus berfikir dan memperbaiki diri ini untuk menjadi lebih baik.Walaupun aku tidak mengambil bidang yang melibatkan pengajian Islam, tetapi hampir kesemua ilmu yang aku peroleh dalam bidang ini banyak merungkaikan rahsia-rahsia di sebalik ayat-ayat quran yang pernah ku dengari tetapi masih tidak ku fahami. Subhanallah, begitulah Allah memberi hidayah kepada orang yang dikehendakinya.Bak kata Hadis riwayat Muawiyah R.A :Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, kefahaman agama akan dianugerahkan untuknya. Semoga Allah terus memberi kurnia kepadaku untuk terus berusaha memahami, mendalami dan menyebarkan segala fikrah yang diperolehi untuk manfaat seluruh ummah

Senyum kenyit mata

Throw back: My lovely father





 Kita semua ada ayah…

Tanpa ayah kita tidak akan hadir ke dunia ini

Ayah..abah…walid…baba… papa…@ segala mungkin bahasa yang bermaksud seangkatan dengannya bukan orang biasa…

Dialah sumber kekuatan kita

Dialah yang sentiasa bersama kitadi saat susah mahupun senang

Dialah yang menenangkan kita sewaktu kita dalam kesedihan

Dialah yang paling susah hati jika anaknya ditimpa kesusahan

Dia juga yang paling gembira tatkala melihat anaknya tersenyum keriangan

Dia yang menyara segala biaya belajar kita, pakaian kita, tempat tinggal kita malah hutang kita pun dia sanggup bayar..

Dia juga penasihat yang baik bila fikiran kita buntu serabut tak menentu
dan Dia juga yang menjaga kita dengan baik sepanjang ketiadaan ummi kita…

Dialah segala-galanya..Dialah abah… Dialah ummi..

[Imbas kembali]

Van sapu berwarna putih berhenti di hadapan rumah. Aku menghulurkan not lima ringgit sebagai wang tambang  dari Pekan Kuala Berang ke Kampung kelahiranku. Waktu tu lesen kereta pun tiada lagi. Abah pula tidak sihat. Kekaburan mata yang dialami kesan penyakit diabetisnya menyebabkan dia tidak mampu membawa kereta lagi. Terpaksalah aku berulang-alik menaiki van jika ingin membeli barangan keperluan harian.

“Assalamualaikum”… Aku memberi salam,

“Waalaikumussalam” , serentak kedengaran suara abahku dan adikku menjawab  salam sambil membuka daun pintu..

Aku tersenyum seraya melangkah ke dapur, meletakkan segala barangan yang ku beli di atas meja jepun 
bercorak biru…Kelihatan adikku asyik menonton tv rancangan kegemarannya Super Striker di saluran Astro 617.Selepas menyalin pakaian aku menghamparkan kain untuk menikmati makanan dibeli bersama keluarga.. Keletihan masih belum hilang

Abah: Macam mane tadi? Setel blake doh keje mu tadi

Aku: Alhamdulillah. Setel blake dah

Abah: Mane salinannya… mu wak dok salinan ?Abah nak tengok…

Aku: Allah!! Dok buatlah pulop..Akak hantar je lah yang online tu…

Abah: Mu ni? Lain kali buatlah salinan.. Buat bukti… Lepah  ni kalau ade orang tanye mane bukti? Mu nak tunjuk benda???

Aku: Diam…sambil mengunyah makanan. Hatiku mengakui katanya betul tapi masa tak kena. Mana tidaknya…Aku balik dalam keletihan, tiba-tiba kena marah..

Abah:Ho!!!…banyak kali dah aku pesan buat salinan…buat salinan… Watpe yang payah ngat nak ikut!!! 
Hoh..dok dengar sungguh. Menda fikir x tau. Kan penting surat tu!!! Wat salinan..Baru kemah napok kita wat kije… Ni kalau buat leweh2 gitu takdok orang nak ambik mu keje..Biar gop sistematik!!! Faham tu???

Aku: Faham….agak meleret bunyinya dengan perasaan bercampur tension dan sangat serabut
Selepas ayah aku berhenti membebel, tanpa memandang mukanya aku pun terus meletakkan pinggan di sinki, membasuh tangan serta masuk ke bilik. Pintu bilik kututup rapat. Kononnya merajuk…Aku berbaring menenangkan diri…masih merasakan diriku betul dan menyalahkan abah yang asyik marah..marah dan marah….. dan  aku rasa macam dia tak sayang aku…

Sabar…Sabar…

Aku mengambil wudhuk..nak solat Zohor.Aku membentangkan sejadah di ruang tamu. Solat zohor di situ…Seusai solat zohor aku berwirid, beristighfar…memohon ampun pada Allah atas segala kesalahanku….

Kemudian sayup-sayup kedengaran suara abahku memanjatkan doa selepas solat zohor. Aku solat di raung tamu..dia solat di ruang solat….doanya menyebut nama ku dan adik beradikku.

“Ya Allah berilah anak kami Wan Muhammad Nor Luqman  Al-Hakim, Wan Nor Alia Basirah, Wan Muhammad Arsyad Taqiuddin, Wan Nor Arifah Nabilah, Wan Muhammad Hazman, cergas pintar sihat, cerdik pandai mudah faham ketika belajar dan mengulangkaji pelajaran  serta menpunyai budi pekerti dan akhlak yang baik. Kau jadikanlah anakku ya Allah menjadi pelajar yang rajin belajar dan rajin berusaha.Ya Allah kau kurniakan anakku Wan Nor Alia Basirah dan Wan Muhammad Arsyad Taqiuddin ni selepas tamat belajar biarlah mereka mendapat pekerjaan yang terbaik untuk mereka Ya Allah.”

“Ya Allah untuk anak –anak lelakiku, Kau jodohkanlah mereka dengan perempuan–perempuan yang solehah, dari keluarga yang baik-baik dari keturunan yang baik baik serta yang mempunyai akhlak yang dan budi pekerti yang mulia dan Ya Allah Kau jodohkanlah anak-anak perempuanku dengan lelaki yang soleh dari keluarga yang baik-baik, keturunan yang baik serta mempunyai budi pekerti dan akhlak yang mulia.”
Aku terkedu seketika, betapa aku masih kabur menilai kasih sayang ayah.Rupa-rupanya di sangat sayangkan aku dan adik-beradik. Demi Allah, inilah bait-bait doa yang sering abahku tuturkan seusai solatnya.. Aku???? Aku berdoa juga..tapi umum..jarang sekali aku menuturkan namanya dalam doaku…

Teringat nukilan Ustaz Pahrol dalam tulisannya:

Sekalipun pahit yang diberikan ayah, pahit itu hakikatnya adalah ubat yang merawat, Sekalipun pedih itu bukan tanda benci. Ini kerana ayah punyai cara tersendiri dalam mencintai kita. Sebesar mana pun kelemahan dan kekurangannya, lebih besar lagi jasa dan budinya. Dialah yang Allah pilih untuk menjadi ayah kita. Pilihan Allah tidak pernah tersalah. Dia terbaik untuk kita dan kita terbaik untuknya

Wahai Abah….ampunkan dosa anakmu ini…..

Dan Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas kuniaan seorang Ayah yang terbaik untuk aku dan adik beradikku di dunia ini…

#Sayasayangabahsaya

Monday 23 February 2015

Wanita dan kerjaya





 Sejujurnya isu wanita bekerja hari ini agak meresahkan saya. Ini kerana sekiranya wanita bekerja, masanya sudah banyak dihabiskan di tempat kerja. Manakala anak pula ditinggalkan oleh pengasuh atau taska atau tidak kurang juga ibu-bapa. Paradigma masyarakat moden hari ini seolah-olah mewajibkan para wanita untuk berkerjaya. Jika wanita tersebut hanya surirumah, dia dianggap ‘tidak berjaya’ dan dipandang rendah oleh masyarakat.Ibu bapa zaman dahulu mendidik  anak perempuan untuk menjadi ibu yang baik tetapi ibu bapa zaman sekarang mendidik anak untuk menjadi wanita berkerjaya.

Jauh di sudut hati, saya mengakui bahawa banyak kebaikan menjadi wanita berkerjaya. Antaranya wanita tersebut boleh berdikari, menyumbang tenaga kepada masyarakat, menolong ibu bapa dan membantu menstabilkan ekonomi rumah tangga. Tetapi kita juga tidak boleh menolak bahawa banyak keburukan jika wanita keluar bekerja terutamanya pada masa sekarang.

Kenapa saya berkata begitu? Percaya atau tidak, masalah sosial yang meruncing berlaku kepada hari ini adalah kerana anak ketandusan kasih sayang ibu. Sebab apa? Kerana ibu terpaksa keluar bekerja.Pembaca yang dikasihi sekalian, saya mempunyai ramai rakan. Antaranya yang bekerja sebagai guru, jururawat dan doktor. Ada di kalangan rakan saya yang terpaksa mengajar di sekolah di kawasan pedalaman Sarawak dan terpaksa meninggalkan anaknya dengan orang tuanya di Semenanjung. Tidak kurang juga dengan sahabat saya yang bertugas sebagai jururawat, Dia berkerja mengikut shif. Anak-anaknya ditinggalkan dengan ibu bapa. Apabila dia pulang, dia hanya tidur keletihan dan tidak sempat untuk melayani anak-anaknya. Untuk pengetahuan, semua rakan-rakan saya itu mempunyai anak yang berusia kurang dari satu tahun. Dalam ilmu psikologi yang saya pelajari, sekiranya ibu-bapa gagal mendapatkan kepercayaan dari anak-anak dalam tempoh usia 0-2 tahun, maka lebih sukar anak-anaknya mempercayai ibu bapa. Jika kepercayaan sukar diraih, proses pendidikan yang berlaku untuk fasa akan datang akan menjadi lebih payah dan memeritkan.

Perlu diingat di sini, anak-anak merupakan harta berharga kurniaan Allah kepada kita. Kadang-kadang kita berasa ghairah untuk mengejar kerjaya kerana kita mempercayai dengan kestabilan dalam kerjaya, anak-anak kita akan memperolehi hidup yang lebih baik. Malangnya tanpa kita sedari, betapa ramai ibu hari ini yang terpaksa meluangkan masa yang lebih banyak untuk pembangunan karier berbanding meluangkan masa dengan anak di rumah. Hakikatnya kita telah mengorbankan anak kita sendiri untuk kepentingan diri kita. Kata Chris Gardner, “Untuk kerjaya, kita boleh mengorbankan segalanya tapi bukan anak kita”. Anak kita memerlukan pelukan kasih sayang, belaian manja dan perhatian yang cukup, terutamanya jika usia mereka masih kecil.

Anak-anak juga merupakan kompenan penting dalam keluarga. Pembinaan keluarga akan menatijahkan masyarakat seterusnya membentuk negara. Sekiranya para wanita gagal menerapkan asas ilmu agama kepada zuriat dalam ruang lingkup kekeluargaan, kita akan lihat betapa pincangnya masyarakat yang wujud sekaligus akan membantutkan pembangunan negara. Cabaran hari ini adalah bagaimana kita perlu mengembalikan peranan keibuan dalam kerukunan rumah tangga di saat wanita sibuk mengejar karier dan kedudukan.

Sebenarnya, berkerjaya itu tidak salah, tetapi bagaimana kita menyusun fleksibiliti kita untuk kekal menjadi isteri dan mendidik anak-anak dengan baik. Itu merupakan cabaran yang cukup besar dalam dunia moden hari ini. Saudara Qosim Ahmad, yang merupakan bekas pensyarah sejarah di Universiti Sains Malaysia telah mencadangkan pelaksanaan pengunduran wanita secara terkawal dan terpilih. Pengunduran wanita bermaksud menjadikan wanita kembali menjadi surirumah seperti masyarakat tradisional. “Terkawal” bermaksud ianya harus dilakukan secara berperingkat-peringkat dan hanya kepada kerjaya tertentu sahaja. Contohnya hampir mustahil untuk mengarahkan semua wanita meletak jawatan secara drastik dan menjadi surirumah memandangkan wanita menyumbang kepada 47 peratus tenaga kerja di Malaysia.Terkawal juga bermaksud wanita tidak cenderung untuk berkecimpung dalam kerjaya yang sinonim dengan lelaki contohnya pemandu bas, juruterbang, buruh bangunan dan sebagainya.“Terpilih” pula beerti bukan semua kerjaya sesuai dilakukan oleh kaum adam, jadi masih relevan untuk wanita meneruskan kerjaya tersebut, contohnya guru dan pakar sakit puan. Cuma kawalan terus dibuat supaya bagaimana wanita yang walaupun berkerjaya tetapi tidak menjejaskan keselesaan rumah tangga dan bagaimana untuk kita mempersetujui bahawa fenomena wanita bekerja di luar rumah dalam bidang tertentu sebagai satu perkara darurat sahaja. 

Namun begitu ulas Qosim Ahmad dalam artikelnya, pengunduran wanita secara terkawal dan terpilih amat sukar untuk direalisasikan jika tiada kefahaman, penerimaan dan kerelaan dari manusia samada golongan lelaki atau wanita.Jadi bagaimana untuk memudahkan kita memahami semua ini. Sudah tentu kita harus mengambil panduan dari Quran dan sunnah. Jika kita kembali kepada tujuan hidup kita, sudah tentu kita ingin menggapai redha Allah dan mengecapi syurga bukan?

Dalam konteks ini, saya ingin sekali membawa pembaca mengimbau kembali sirah mengenai Asmak binti Yazid. Beliau merupakan pejuang hak bagi wanita Islam di Zaman Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan wanita yang petah berbicara dan mempunyai akal yang cerdas. Beliau selalu berfikir tentang sumbangan wanita kepada Islam dan mencemburui lelaki kerana ternyata lelaki lebih mendominasi segala hal-hal perjuangan Islam.Beliau merasakan golongan lelaki boleh mengaut pahala yang jauh lebih banyak  berbanding wanita. Atas rasa kecemburan yang amat tinggi, beliau bertekad bertemu Rasulullah supaya persoalan yang bermain di benaknya akan terungkai. 

Dengan hati yang berdebar-debar beliau mengadap baginda Rasulullah dan bersuara di balik tabir. “Wahai Rasulullah, saya Asmak, wakil perutusan kaum wanita”. Allah SWT mengutusmu untuk seluruh lelaki dan wanita, dan kami telah beriman kepadamu Ya Rasulullah, dan sesungguhnya Allah itu Tuhan Kami.”
“Sesungguhnya kaum wanita sangat dibatasi dan ditentukan sekali pahalanya. Kami hanya tiang rumah tangga, tempat penyaluran syahwat dan bertugas mengandungkan anak. Sedangkan kaum lelaki begitu diistimewakan dalam seluruh bidang pekerjaan. Mereka boleh menguruskan jenazah, mengerjakan haji berkali-kali, dan yang paling penting, mereka berpeluang untuk berjihad menegakkan agama Allah.Jika mereka terbunuh di medan perang, mereka mendapat pahala. Jika terbunuh, mereka tetap hidup disisi Alllah lagi dicukupi rezeki.

Dan sewaktu kami pergi berperang, kami hanya menjaga harta benda mereka, kami jahitkan pakaian mereka dan kami asuh anak-anak mereka. Lalu mengapa tidak sama pahala kami dengan pahala mereka?
Setelah meluahkan isi hati, Asmak tiba-tiba berasa malu terhadap Rasulullah lantas tertunduk.Rasulullah memandang sahabat seorang demi seorang lantas berkata, “Pernahkah anda semua mendengar seorang wanita yang mengatakan persoalan tentang pekerjaan Allah SWT dalam agama ini yang lebih baik dari ini?”

“Belum pernah ya Rasulullah”

Rasulullah kemudian berkata kepada Asmak, “Dengarkanlah baik-baik wahai Asmak. Sampaikan kepada wanita di belakangmu. Memperlakukan suami dengan baik, mengerjakan yang disenanginya, menurut kemahuannya, semua itu akan menyamai semua pahala yang diperolehi oleh lelaki”
 
Subhanallah, betapa mudahnya jalan yang Allah tentukan kepada para wanita untuk memborong pahala. Tidak perlu berpenat-penat keluar bekerja, terperangkap dalam kesesakan dan meninggalkan anak di pusat asuhan atau taska. Tidak dinafikan walau kebebasan wanita itu agak terbatas, namun peranan sebagai ibu, isteri atau wanita Islam yang bertaqwa adalah cukup signifikan dalam menentukan corak kemajuan sesebuah negara sebagaimana kata hukama:

“Baik wanita baiklah negara, rosak wanita maka rosaklah sesebuah negara”

Apabila seorang wanita dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranannya, maka akan terbentuklah sebuah keluarga yang baik. Dari situ lahirlah masyarakat dan negara yang baik  yang mempunyai ciri-ciri “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah” [Saba’:15]

Menurut Kosim Ahmad dalam artikelnya “Kepulangan para wanita ke rumah adalah berandaikan fakta yang ,mereka mahu dan tahu untuk tinggal dan bertugas di rumah. Kaum lelaki juga melihat ‘kembalinya wanita ke rumah’ adalah impian. Kebebasan wanita pula sepatutnya ditakrifkan semula sebagai bukan bebas untuk bekerja tetapi bebas untuk tinggal di rumah. Oleh itu sekiranya wujud kesempitan ekonomi, himpitan dari sistem masyarakat, kebiadapan para suami, keresahan perasaan sendiri yang tidak memungkinkan wanita merasa aman tinggal di rumah, maka segala yang menjadi halangan itulah yang patut dibaiki bukannya impian itu yang perlu dikorbankan”.

Akhir kata, sekadar perkongsian dari saya. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk berperanan sebagai wanita islam selari dengan tuntutan Islam. Kerja-kerja juga, tetapi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu harus disempurnakan.

Wallahua’lam. Senyum.

Rujukan

Qosim Ahmad. (1980).Undi wanita: Satu pengkhianatan pada haknya atau salah matlamat. Dewan Masyarakat 

Norhayati Ab. Samad. (1996).Asma’ binti Yazid, pejuang hak wanita Islam. Majalah Ayu