Friday 12 December 2014

Eksplorasi Iman






 Alhamdulillah
.
Hari ini sangat bahagia bila boleh menyumbang kepada kebahagiaan rakan-rakan seperjuangan. Hari ini aku dan sahabatku Farahana Salim dengan izin Allah telah berjaya  mengendalikan program explorace yang dihadiri 20 lebih peserta. Pada pagi ini aku sepatutnya pergi ke pusat sukan dengan sahabatku Zaharah, Tapi entah bagaimana keretanya tiba-tiba rosak dan kami harus menaiki bas untuk ke sana. Sampai di pusat sukan kelihatan peserta melaporkan diri.  Ketika peserta makan aku memberi sedikit maklumat untuk 
fasilitator bagi membincangkan strategi dan sedikit pencerahan untuk tugasan masing-masing.

Aku memulakan eksporace kali ini dengan aktiviti taaruf di mana aku mengedarkan kotak beracun yang 
mengandungi soalan. Semasa muzik dimainkan kotak beracun itu akan dilegarkan. Semasa muzik berhenti peserta yang memperolehinya akan memperkenalkan diri (nama, umur dan jurusan), serta menjawab soalan-soalan tertentu:
Contoh :
Ø  Bagaimana pokok mengingatkan anda tentang kebesaran Allah?
Ø  Mengapa anda harus mengagumi bapa anda?

Sebelum aktiviti bermula Aku meminta Ukhti Husma untuk mengendalikan aktiviti memanaskan badan. Kemudiannya aku membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan.Bagi mencipta sesuatu yang lebih menarik peserta yang ingin mencari ahli kumpulan harus membuat bunyi seperti bunyi itik, bayi menangis, kucing dan sebagainya.

Peserta juga harus mengenalpasti checkpoint berdasarkan trademark yang diberikan oleh fasilitator
Contohnya:


  • Hang Tuah [Takkan Melayu Hilang di dunia]
  • Cinderella [Fasilitator berlakon dengan berpura-pura melihat jam dan berlari-lari sambil tertinggal sebelah kasut]
  • Buzzlightyear [To infinity and beyond]
  • Al-Ankabut [Buat gaya spiderman mengeluarkan tali putih untuk bergayut]
  • Sumaiyyah[Nyanyikan bait-bait lagu Sumaiyyah, padang pasir menjadi saksi ketabahan keluarga itu..]
  • Tunku Abdul Rahman [Merdeka 3x]

Inilah dia Buzzlightyear, tapi ramai akhawat tak tau..hikhik...
 Kemudian, Kami  menyediakan beberapa checkpoint yang mempunyai tugasan yang mencabarkan untuk diselesaikan.

Checkpoint pertama: Menghafal Hadis 15
Oleh kerana explorace kali ini adalah untuk menyuburkan iman, jadi kami selitkan tugasan untuk menghafal hadis pendek kepada setiap peserta. Dengan ini, peserta mampu mendapatkan ibrah atau sedikit tauladan walaupun dalam keadaan yang sangat santai

Checkpoint kedua: Bulatan gembira
 Peserta diberi sekeping kertas A4 yang telah dipotong dua. Kemudian mereka diminta membentuk satu bulatan daripada kertas tersebut dan masuk ke dalam bulatan itu.Ini berdasarkan kreativiti peserta tersebut

Chekpoint  ketiga: Tali skipping
Yang ni agak senang kerana peserta harus melompat menggunakan tali skipping 20 kali tanpa henti

Checkpoint keempat: Suapan kreatif
Untuk cabaran ini, peserta perlu memakan snek yang dibungkus tapi hanya perlu menggunakan satu tangan sahaja untuk membuka dan menikmati makanan tersebut. Kemudian peserta juga diminta menghabiskan  air kopi yang sangat pahit dalam kiraan tertentu.

Checkpoint kelima: Teka kata
Permainan ini memerlukan daya permikiran yang tinggi di mana fasilitator akan bertanyakan soalan tertentu tetapi jawapan yang diberikan oleh peserta mestilah serentak pada masa yang sama. Mereka perlu menjawab sekurang-kurangnya lima soalan dengan tepat
Contoh:
Fasilitator: Buah apakah yang bermula dengan huruf P. Kemudian memberikan 10 saat untuk peserta berfikir
Peserta :  A:Pisang!!!, B: Pear…maka jawapan ini tidak boleh diterima kerana ia tidak sama
Peserta : A dan B menjawab pisang!! Maka mereka berjaya

Checkpoint keenam: Carry the love
Permainan ini memerlukan bahan seperti pen, benang dan botol plastik di mana peserta perlu mengikat pen dengan benang tanpa menyentuh pen tersebut dan memasukkannya ke dalam botol. Kemudian botol itu perlu dibawa ke tempat-tempat tertentu.

Aku bersyukur kerana peserta dapat mengikuti program ini dengan baik dan ianya berjalan lancar. Tiada masalah langsung. Dan sudah tentulah ini merupakan pertolongan dan rahmat daripada Allah. Tiada langsung perasaan stress semasa melakukan aktiviti ini. Malas stress hilang selepas  melihat peserta tersenyum kegembiraan sepanjang aktiviti ini.

Akhir kata sekadar panduan untuk sesiapa yang ingin menganjurkan aktiviti  eksplorace untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita. Semoga bermanfaat.

Monday 8 December 2014

Zikrul maut



Kita bakal menyusul

 Alhamdulillah..alhamdulillah.alhamdulillah!!!

Aku bersyukur kerana hari ini Allah masih memilihku untuk terus menikmati kehidupan ini dan Aku berharap agar Allah senantiasa memimpinku dalam apa jua perkara dalam hidupku.

Kata Dr MAZA, lazimilah doa ini:

 

Maksudnya: Wahai tuhan yang maha hidup dan menguasai segala urusan, dengan rahmatmu aku memohon pertolongan, perelokkanlah setiap urusanku, jangan kau serahkannya kepadaku walau sekelip mata

Ya, sangat perlu untuk kita serahkan segala keputusan kita kepada Allah. Sebab Allahlah yang maha mengetahui perkara terbaik untuk kita.Dan biarlah perkara terbaik itu bakal membawa kita ke syurgaNya,itulah yang lebih penting.

Sebenarnya hati ini masih terkesan dengan berita yang tepapar di dada akhbar bertajuk “kekasih maut berpelukan”. Tragis sungguh kematian mereka. Mereka dipercayai menaiki motor dan terbabas ke dalam tali air lalu kedua-duanya kelemasan. Motor juga tenggelam. Lebih malang lagi mayat mereka dijumpai hanya selepas beberapa hari selepas mayat mereka timbul dari dasar air diikuti bau busuk yang mengganggu penduduk. Allahuakbar

Sangat terkesan sebenarnya. Agaknya bagaimanalah kematian diri ini. Aku sendiri pun belum pasti.Namun marilah kita mengambil pelajaran dari setiap kematian. Sesungguhnya bukan sedikit kita terdengar cerita pasangan kekasih yang maut. Lebih dahsyat lagi ianya berlaku secara tiba-tiba.

Nauzubillah.

Demi Allah, entry ini bukan bertujuan mengaibkan individu-individu yang terlibat. Tapi sekadar peringatan untuk kita yang masih hidup supaya sentiasa beringat mati itu tidak mengenal sesiapa, samada kekasih, suami isteri, pegawai syarikat, atlet sukan, penjual pisang goreng atau model sambilan, kita semua akan menuju ke lubang kubur juga akhirnya.

Cuba kita menganalisis sedikit kematian ini..

Apakah perkara pertama yang menjengah fikiran anda sekiranya membaca berita “kekasih mati berpelukan”?

Sepasang kekasih menaiki motor bersama –sama sebelum berlakunya kejadian tersebut, apa hukumnya?

Astaghfirullah hal azim..aku berlindung dari kemurkaan tuhanku jika aku menerbitkan entry ini. Sesungguhnya ini merupakan peringatan untuk diriku utamanya dan para pembaca sekalian.

Ingat mati penting dalam hidup. Kenapa begitu?

Hayatilah kisah ini...

Salah seorang sahabat Rasulullah SAW meninggal dunia, lalu sahabat yang lain menyebut-nyebut kebaikannya. Sementara Rasulullah SAW diam dan bertanya, “Apakah dia memperbanyakkan mengingati mati?”. Mereka menjawab, “Tidak”. Adakah dia meninggalkan sesuatu meskipun dia menyukainya?. Mereka menjawab: “Tidak”. Kemudian Rasulullah bersabda , “jika begitu, teman kalian tidaklah meraih kebaikan setinggi yang disangka”. [HR. Ath-Tabrani]

Lihatlah,Rasulullah tidak bertanya tentang solatnya, tidak bertanya tentang puasanya, tapi Baginda bertanya tentang zikrul maut. Lihatlah betapa pentingnya zikrul maut ini.Bak kata ulama terdahulu tika terasa kematian mendekat

Usia ini terasa begitu pendek hanya sejam.
Dan bumi ini terasa sempit hanya sejengkal


Sebenarnya Nabi sendiri pun pernah berpesan bahawa “ Janganlah kamu merasa takjub dengan amal perbuatan seseorang hingga kalian melihat dengan apa ia mengakhiri amalnya” [HR. Ath-Tabrani]

Walau apapun cara kematian yang bakal dihadapi, biarlah kematian kita suatu hari nanti  husnul khatimah  (pengakhiran yang baik) bukan su’ul khatimah (pengakhiran yang buruk).

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah pernah mengatakan :

“Boleh jadi seseorang tekun beribadah selama enam puluh tahun, namun semasa kematian menghampirinya, ia berlaku curang dalam wasiatnya sehingga ia dimasukkan ke dalam neraka”

“Oleh itu, umur tergantung kepada amalan akhirnya dan amalan itu tergantung pada penutupnya”

Ibnu Jauzi memperkemaskan kata-katanya dengan analogi mudah:
“Sesiapa yang batal solatnya sebelum salam, maka batallah rangkaian solatnya sebelum itu, siapa yang berbuka sesaat sebelum tenggelam matahari, maka batallah puasanya. Dan siapa yang berbuat keburukan di penghujung usianya, maka ia akan menjumpai Allah dalam keadaan buruk.
Nauzubillahi min zalik.
 Semoga Allah merahmati Ibnu Jauzi atas kupasan yang cukup baik untuk menyedarkan kita realiti su’ul khatimah. Berbalik kepada soalan di atas, para pembaca jawablah sendiri…. Dengan mata hati…dan paling penting, jangan lupa refleksi diri kerana kita juga akan mati.
Husnul khatimah atau su’ul khatimah. Itu rahsia Allah. Namun marilah kita berusaha dengan menyuburi hati dengan kecintaan bertemu dengan Allah kerana Nabi pernah bersabda:
“Siapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah suka berjumpa dengannya….” [HR Bukhari & Muslim]
Akhir kata moga husnul khatimah itu milik kita…biidznillah…