Saturday 22 November 2014

The power of youth




 
Alhamdulillah, sewaktu aku pulang ke rumah minggu lepas, sempat juga aku menonton rancangan tv al hijrah bertajuk ‘being me’. Menonton tv keseorangan diiringi hujan renyai-renyai musim tengkujuh di waktu malam sungguh mengasyikkan. Skrin tv memaparkan seorang ikon yang cukup aku kagumi, Zohra Sohrawi. Beliau merupakan seorang penulis buku yang memiliki dua ijazah sarjana muda iaitu bidang psikologi dan bidang ekonomi. Wanita ini juga merupakan pemegang ijazah sarjana pendidikan islam. Antara anugerah istimewa kurniaan Allah untuknya ialah kebijaksanaannya dalam mendidik anak.

Dalam ceramahnya yang bertajuk ‘The Power of Youth’, beliau menekankan bahawa pentingnya untuk mendidik anak-anak menjadi matang pada usia yang muda. Jika kita mengimbas sejarah lampau, saidina Ali, walaupun berusia 10 tahun, sudah bersedia mengorbankan nyawa untuk  menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW, sewaktu peristiwa hijrah. Malah, Sultan Muhammad Al-Fateh ketika kejayaannya membuka Kota Constantinople, usia beliau pada ketika itu baru 21 tahun. Alangkah matangnya permikiran pemuda islam terdahulu. Tetapi hari ini, keadaan sangat mengecewakan. Zohra dalam pidatonya menjelaskan bahawa kesilapan utama ibu bapa hari ini adalah terlalu memanjakan anak-anak.

 “Adik masih kecik, jangan buat lagi aktiviti-aktiviti orang dewasa”. Inilah kata-kata yang sering diungkapkan oleh ibu bapa hari ini menyebabkan minda kanak-kanak terencat untuk meneroka ilmu baru atas dasar “masih kecil”. Dalam ilmu psikologi, zaman kanak-kanak adalah waktu untuk meneroka perkara di sekeliling mereka, tetapi kita telah menutup rapat pintu gerbang ini dengan menerapkan rasa “masih kecil” dalam minda anak-anak. Sebagai ibu bapa kita tidak harus memandang rendah kebolehan anak anak dan sentiasa memberi peluang untuk mereka bertindak terhadap dunia ini. Contoh mudah yang kita lihat pada hari ini, jika kanak-kanak, baru berusia dua tahun ingin makan sendiri menggunakan sudu, kita berikan peluang mereka melakukannya biarpun kita terpaksa bersusah payah menukar baju dan mengelap meja hasil tumpahan tadi. Ibu bapa selalu berfikir perkara ini akan menyusahkan anak-anak dan pada sesetengah keadaan membahayakan nyawanya… maklumlah..makan sendiri, mungkin budak boleh tersedak.. Untuk pengetahuan kalian, membiarkan anak-anak melakukan aktiviti fizikal sebenarnya akan mengaktifkan pergerakan motor mereka seterusnya menjana  permikiran yang baik kerana sel neuron menjadi lebih kompleks. Cuma jika ibu bapa bimbangkan keselamatan mereka, pastikan kita sentiasa berada disisi mereka supaya keadaan sentiasa terkawal. 

Ikon yang aku kagumi: Zohra Sohrawi
 Zohra juga menyarankan agar kita sentiasa berusaha untuk menyuburkan idea-idea yang baik kepada kanak-kanak. Ini kerana sifat semulajadi kanak-kanak ialah mereka sangat berani mencuba dan mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. Sebaik-baik aset yang perlu ibu bapa hulurkan ialah sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka. Selagi perkara yang mereka inginkan selari dengan syariat islam, izinkan mereka bertindak mengikut keupayaan masing-masing. Zohra melalui pengalamannya menceritakan bagaimana anaknya berminat untuk menulis selepas melihat ibunya banyak menulis. Sebagai ibu yang baik sudah tentulah beliau tidak mengatakan “ Menulis??, tak boleh …anak ibu kecik lagi”. Seandainya beliau mengungkapkan perkataan ini aku yakin betapa sia-sianya ilmu psikologi yang dipelajarinya. Tetapi beliau ibu yang cemerlang. Beliau menerima pendapat anaknya dan memberi panduan untuk anaknya menulis. Hasilnya…walaupun baru berusia 9 tahun, anak sulung beliau telah menerbitkan dua buah buku di pasaran… Kita bagaimana???

Perkara kedua yang ditekankan dalam ceramahnya  ialah kita perlu membantu kanak-kanak membuat keputusan untuk dirinya, bukan kita yang membuat keputusan untuknya. Contohnya jika mereka merungut ingin membeli  baju yang mahal, jangan terus berkata tidak. Sebaliknya tanyakan mereka sejauh mana dia perlukan baju tersebut, adakah ianya menutupi aurat, berapa harganya, bagaimana ingin mendapatkan baju itu dengan lebih murah. Dengan bertanya soalan sedemikian, mereka akan cepat membuat refleksi seterusnya mampu menilai sesuatu dengan lebih rasional  dan matang. Permikiran inilah yang sepatutnya digarapkan dalam minda kanak-kanak. Selain itu, bagi membina ‘power’ di kalangan anak muda, Zohra tidak menggalakkan kanak-kanak untuk menonton tv kerana kadar permikiran kreatif mereka akan jatuh merudum. Sebab itulah di ramah beliau tiada tv, hanya limpahan buku persis perpustakaan.
Walaubagaimanapun halangan besar dalam membina ‘power’ dalam kalangan anak muda ialah perangkap zon selesa.Mana tidaknya, semua perkara boleh didapati  dengan mudah. Biasiswa, makanan, kerjaya malah keamanan terus dikecapi dengan percuma. Ini membuatkan akal meraka tidak berupaya untuk berfikir di luar kotak seterusnya gagal membuat anjakan paradigma. Ditambah pula dengan ketiadaan tanggungjawab – tanggungjawab tertentu menyebabkan mereka terus lagha dengan kehidupan tanpa mempunyai matlamat yang jelas.Nauzubillahi minzalik. 

Oleh itu, sekiranya sedari awal kita berjaya membina kematangan, in sha Allah masa kita tidak akan membazir, kita akan serius menambahkan pengetahuan dan menggilap segala kemahiran diri agar kita mampu mempersiapkan diri kita dalam kondisi terbaik bagi memberi sumbangan yang bermakna kepada generasi kelak.

Wallahua’lam

#Aku rasa naknangis umur 24 pun tak terbit satu buku lagi…sob…sob

No comments:

Post a Comment