Monday 10 November 2014

Surirumah @ Penulis




 Pembelajaran bukan sekadar menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah, tetapi bagaimana menjadikan tugasan yang diberi membina makna dalam kehidupan kita. Sekiranya kita tidak memaknakan kehidupan kita, maka benarlah hidup kita ini tidak bermakna.

Hari ini, aku berusaha untuk menyempurnakan tugasanku tentang perkembangan hayat manusia. Aku diberi tajuk untuk membincangkan perkembangan di di zaman pertengahan kanak-kanak (middle childhood). Semasa menganalisis maklumat barulah aku menyedari pentingnya kehidupan keluarga yang stabil dalam menyokong pendidikan kanak-kanak di tahap ini.

Selain mempunyai ekonomi yang kukuh, keberadaan ibu di samping anak memberi nilai dan pengaruh yang sangat besar kepada anak-anak hingga akan memberi kesan kepada zaman remajanya. Selepas meneliti perkara ini terbitlah dalam jiwa ini untuk menjadi suri rumah sepenuh masa yang menyediakan suasana pendidikan yang baik kepada anak-anak. Menulis perkataan suri rumah,aku teringat kata-kata yang diungkapkan oleh pensyarahku

“Jika ibu tersebut mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, maka ia berpotensi untuk menjadi ibu dan surirumah yang terbaik untuk keluarganya”.

Sebelum ini pernah juga aku mendengar seorang ustaz berkata suri rumah merupakan kerjaya terbaik untuk seorang wanita, tetapi aku hanya memandang enteng perkara ini dek kerana tiada kesedaran mengenainya. Mujurlah Allah mentakdirkan aku untuk mengikuti kursus psikologi pendidikan, barulah aku lebih faham dan sedar tentang  peri pentingnya pendidikan dan realiti pendidikan yang berlaku pada hari ini.

Berbalik kepada kerjaya suri rumah tadi, umum mengetahui bahawa wanita merupakan ciptaan Allah yang dihiasi ciri-ciri kelembutan, kesopanan dan mempunyai perasaan yang kaya dengan emosi. Atas dasar inilah, wanita lebih sesuai untuk mendidik anak berbanding lelaki.

Kajian juga mendedahkan, jika bayi berusia bawah dua tahun diberi peluang untuk memilih antara dua gambar, lelaki dan perempuan, mereka lebih cenderung untuk memilih gambar perempuan. Inilah fitrah yang Allah anugerahkan kepada kanak-kanak..(hehe.. lelaki jangan cemburu tau !!!)

 Malangnya pada hari ini, wanita yang tidak bekerja dan menjadi surirumah dipandang rendah, tidak seperti wanita berkerjaya yang dihormati kerana lebih berpelajaran katanya. Sesungguhnya bukanlah niatku untuk membeza-bezakan wanita ini, tetapi mentaliti masyarakat kita terhadap kerjaya suri rumah sangat negatif.

 Jika diimbas kembali, sejak kecil lagi pemikiran kita sering ditanam dengan kata-kata “belajar elok-elok, biar masuk universiti dan dapat kerja bagus, lepas tu kahwin dan dapat anak”

Apabila diteliti balik kata-kata ini, seolah–olah tujuan belajar tu hendak dapatkan kerja yang baik sahaja.Tidak hairanlah jika keluar universiti sesetengah  orang akan bertanya “dah dapat kerja ke belum?”.Seterusnya bahagian akhir sekali ialah untuk dapatkan anak. Dan, lepas tu apa??

 Cuba pembaca sekalian fikirkan. Inilah bahananya jika matlamat yang dibuat tidak besar. ‘Tidak besar’ maksud saya di sini ialah hanya terhad untuk mendapatkan anak. Itulah antara kesilapan ibu bapa di Malaysia yang menyebabkan mereka tidak mendalami ilmu untuk mendidik anak. Proses pembelajaran terhenti selepas memperoleh pekerjaan.

 Sebenarnya mendidik anak dengan baik sangat penting kerana ia melibatkan proses pembentukkan generasi, pembangunan modal insan dan mencorakkan hidup manusia dengan memenuhi keperluan fizikal, rohani, emosi dan intelektual. Sebab itulah perlunya kita menyediakan diri kita untuk menjadi pentarbiyah yang terbaik untuk anak-anak kita. Pernah saya bertanyakan ayah saya soalan:

Aku: Abah, boleh tak akak nak jadi suri rumah?
Abah: Kalau kakak nak jadi suri rumah, buat apa abah tanggung kakak belajar tingi-tinggi….

Aku terdiam.hrmmm nampaknya Abah aku pun kena masuk kelas SGDY 5013 ni.. hehe..Tapi takpelah, dia dah tua. Peranan aku pula untuk merubah persepsi ini…sebab itu lah aku ambik pendidikan

Selepas berkecimpung dalam dunia pendidikan, barulah aku tahu betapa pentingnya menjadi ibu sepenuh masa buat anak-anak.Dan bagi menjadi ibu yang baik, kerjaya suri rumahlah yang paling utama. Bila seorang ibu banyak meluangkan masa bersama anak-anak, satu ikatan yang dipanggil ‘attachment’ akan wujud antara ibu dan anak.

Menurut pakar psikologi, John Bolwby, jika ibu gagal membina ‘attachement ‘ dengan anak pada awal usia mereka, mereka akan mengalami masalah perkembangan emosi yang teruk yang akhirnya akan menjejaskan kehidupan mereka di masa hadapan. Bagiku pendidikan awal kanak-kanak sangat kritikal. Sebab itulah aku menyimpan cita-cita untuk tidak bekerja jika berkahwin dan menjadi suri rumah sepenuh masa

In Sha Allah

Melihat kepada keadaan ini, sudah tentulah cabaran yang paling besar ialah untuk  mencari suami yang benar-benar soleh dan bertanggungjawab. Tetapi itu tidak mengapa, kerana aku yakin dengan janji Allah  "wanita yang baik untuk lelaki yang baik". Dalam konteks ekonomi, aku sejujurnya sedang menggilap bakat untuk menulis. Melalui penulisan dan penerbitan, diharap ia menjadi wasilah sumbanganku terhadap masyarakat luar serta menjana pendapatan tambahan sebagai back up jika berlaku sesuatu dengan rumah tanggaku.Inilah persediaan yang perlu difikirkan supaya segala masalah yang timbul selepas perkahwinan dapat diatasi dengan jayanya.

Walaubagaimanapun, untuk wanita yang ingin melibatkan diri dengan kareer, buatlah apa yang kalian suka dan cinta. Selagi niatmu ikhlas kerana Allah, teruskan cita-citamu itu. Bukan sedikit wanita berkerjaya tapi berjaya dalam pendidikan anak-anak. Contohnya seperti Pror Dr Muhaya, Dr Harlina Siraj dan sudah tentu arwah ummiku Norhayati Mohd. Telusurilah kisah hidup mereka, ambillah idea dan pendapat mereka sebagai panduan.

Tapi bagiku, dunia kita dan dunia mereka sangat berbeza. Zaman dahulu sokongan sosial masyarakat sangat kuat di mana semua orang mengambil berat kebajikan anak tetangganya, berbeza hidup zaman sekarang yang hidupnya ‘aku-aku engkau-engkau’. Persekitaran zaman dahulu masih terkawal. Hiburan hanyalah televisyen. Tapi zaman sekarang,  internet di hujung jari membolehkan akses malumat  berlaku di mana-mana. Teknologi terlalu pesat, persekitaran terlalu luas, jika ibu bapa tidak mengawasi anak, siapa lagi??


Akhir kata coretan ini sekadar luahan yang terbuku dihati. Untuk mengajak kita berfikir mengenai generasi kita pada zaman akan datang. Oleh itu sediakanlah diri kita untuk memaknakan kehidupan anak-anak kita agar suatu hari nanti mereka berbangga dan bersyukur menjadi anak kita.

Wallahua’lam.
#Senyum nampak gigi

 



No comments:

Post a Comment