Thursday 13 November 2014

If you love your kids....






 Alhamdulillah

Aku diberi peluang daripada Allah untuk terus menikmati kursus SGDY 5013 Human LifeSpan Development yang kukira kelas yang paling best pernah aku nikmati dalam hidupku

Hari ini Pensyarahku…Dr Fauziah bercerita lagi
Tentang perkaitan antara teori
Kali ini teori tentang perkembangan agama James Fowler

Beliau menekankan peri pentingnya kita menitikberatkan pendidikan agama semasa kanak-kanak masih kecil kerana minda mereka sedang berkembang membina makna dalam kehidupan. Dan pada waktu ini segala apa yang kita pasakkan dalam minda mereka samada secara langsung atau tidak langsung sangat memberi kesan kepada kehidupan mereka selepas mereka menginjak ke usia dewasa.

Pendedahan di radio ikim menerusi segmen Islam Agamaku benar-benar menyentuh hatiku. Walaupun cerita ini disampaikan oleh pensyarahku (Almaklumlah aku mana ada radio nak dengar IKIM kat asrama), tapi fenomena ini menggambarkan perlunya hubungan yang baik antara ibu bapa dan anak dalam menerapkan dan mengimplementasikan roh agama dalam jiwa anak-anak.

Seorang wanita berbangsa TiongHwa menceritakan peristiwa yang membuka hatinya untuk mengkaji tentang Islam. Dan subhanallah kebanyakkan episod indah ini berlaku semasa dia berusia dalam likungan 4 hingga 10 tahun.Lihatlah bagaimana kanak-kanak menghadam apa yang dia lalui. Sangat memberi kesan dalam hidupnya

Anak kecil ini merupakan budak perempuan cina beragama Buddha. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berada. Kedua-dua orang tuanya bekerja menyara hidupnya. Tinggallah dia bersama amah Indonesia beragama Islam yang indah budi dan akhlaknya di sebuah rumah agam yang indah

Apabila ibu bapa anak ini sering meninggalkannya, amah inilah yang menggantikan peranan ibu-bapanya di rumah. Dialah yang memandikan anak ini, memakaikan baju, memasak makanan menyisir rambutnya dan sebagainya. Dalam segenap sudut kehidupannya bersama amah, banyak nilai agama yang diterapkan amah kepada anak kecil ini. Sekiranya dia mengadu masalah atau melakukan kesilapan, banyak kali juga amah menerangkan nasihat yang membabitkan roh ketuhanan. Contohnya.. “Ini tak boleh buat, nanti tuhan marah” dan sebagainya. Skrip inilah yang sering dimasukkan ke dalam minda anak terbabit. Skrip ketuhanan ini juga tidak pernah terkeluar dari tutur kata ibu bapanya. “AAh..Ibu bapaku hanya memikirkan tentang bisnes dan duit sahaja dalam hidup mereka”. Barangkali inilah mesej yang ‘berjaya’dihantar oleh ibu-bapanya kepada anak kecil tersebut. Pernah juga anak kecil ini terserempak dengan amah yang berteleku di atas sejadah dengan telekung putihnya lalu bertanya kepada amah tersebut “Apa yang kamu lakukan”, “kalau kamu solat mana tuhan kamu, boleh tak nak tengok?”. Melalui persoalan dan huraian yang ringkas dan padat daripada amah itu tentang islam sedikit sebanyak membuka mindanya untuk terus mengenali islam

Pernah juga pada suatu hari ibu-bapanya memaksa amah itu untuk memandikan anjing peliharaan mereka.Walaupun hati terasa berat, amah tersebut tiada pilihan melainkan terpaksa menurut arahan majikannya.Selepas memandikan anjing tersebut, seringkali juga anak kecil itu melihat amahnya melumuri badannya dengan air tanah. Dengan kenaifannya dalam soal agama pada ketika itu memberi gambaran kepadanya bahawa “betapa hinanya amah ini, dahlah kena basuh anjing kemudian melumuri badan dengan tanah pula”. Tanpa mengetahui sebenarnya itulah proses menyamak untuk membersihkan diri dari najis anjing yang diketahui umum mempunyai banyak bakteria berbahaya dan boleh memudaratkan manusia. Namun ketika menginjak usia remaja, tatkala anak kecil ini mula membuat refleksi terhadap kehidupan di zaman kanak-kanaknya, cahaya islam itu mula menyimbahi hatinya yang sudah lama dahagakan keimanan. Subhanallah… lihatlah bagaimana kehidupan di era  kanak-kanak benar-benar memberi impak yang besar dalam kehidupan akan datang.

Oleh itu kawan-kawan, andai ditakdirkan kita mempunyai anak-anak, jangan sesekali abaikan mereka. Suaplah mereka dengan makan rohani seoptimum mungkin supaya keimanan yang kita pasakkan akan tetap utuh bertapak di hati mereka agar ia menjadi sumber kekuatan dalam menghadapi ujian-ujian dalam kehidupan.

Pilihlah juga pengasuh yang terbaik untuk mereka seandainya anda dan pasangan mempunyai komitmen dalam kerjaya. Binalah kepercayaan dengan anak-anak agar mereka merasakan lebih memerlukan kita berbanding pengasuhnya.

Dan paling penting jika anda sayangkan anak, siapkanlah dirimu dengan ilmu agama dan kekuatan rohani yang cukup sebelum melayari bahtera rumah tangga agar dengan itu kita akan menarik pasangan yang baik yang merupakan asas yang paling penting dalam pembinaan zuriat soleh dan solehah

Akhir kata, sekadar peringatan dan renungan untuk kita bersama. Wallahua'lam





No comments:

Post a Comment