Tuesday 4 November 2014

Nikmat vs Ujian








Hari ini 3 November 2014, bersamaan  10 Muharam 1435 H. Hari Assyura. Alhamdulillah, diberi kekuatan oleh Allah untuk bangkit sahur pagi tadi . sempat juga aku menikmati pisang, telur rebus dan minum susu Fernleaf.

Alhamdulillah semuanya nikmat daripada Allah

Pagi tadi seusai bersiap-siap , kakiku terus melangkah ke perpustakaan. Tiba di sana aku terus membuka emel, sekadar melihat jika ada mesej penting dari pensyarahku. Tajuk mesej ‘Progress (3)’ terpapar di skrin laptop. “Alhamdulillah Wan, duit dah masuk, pukul 3:45 pm jumpa saya kat pejabat am untuk urusan gaji”.

Alhamdulillah, semuanya nikmat daripada Allah

Di kala aku menghitung nikmat Allah yang hakikatnya tidak terhitung ini, tiba-tiba aku teringatkan nasib seorang sahabat yang kini bertarung nyawa di hospital. Dia baru sahaja melahirkan anak pramatang tatkala kandungannya baru sahaja mencecah usia enam bulan. Namun dia mengalami sedikit komplikasi kerana plasenta yang sepatutnya tertanggal masih terlekat kuat pada rahimnya. Situasi ini sudah pasti mengundang bahaya kerana darahnya akan ditarik kepada plasenta tersebut dan akan mengakibatkan pendarahan.Berita terkini tentangnya, aku hanya dimaklumkan dia mengalami demam. Lebih sedih lagi, ini bukan sebarang demam, tapi demam yang menjadi indikator jangkitan kuman sedang  berlaku dalam rahimnya.

Allahu…cukup berat ujian yang ditanggung seorang ibu untuk melahirkan anak
Benar sungguh Qalammu Ya Allah “Kesusahan demi kesusahan”[Luqman,31:14]

Itulah yang terpaksa ditanggung oleh sahabatku itu…

Ya Allah di kesempatan ini, ingin aku titipkan doa buat sahabatku itu agar dia diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini, Kau anugerahkanlah kesembuhan untuknya. Kau berilah ia peluang untuk melihat anaknya membesar, bantulah dia menjaga dan mendidik anaknya ke jalan yang diredhaiMu Ya Allah. Ameen…

Pesanan buat diri

Jangan sesekali kita hanya mengharapkan kegembiraan sahaja yang bertandang dalam hidup. Suatu hari nanti pasti masa gelap datang menerpa. Namun, janganlah berputus asa persis kerlipan bintang, walau dalam kegelapan masih mampu untuk bersinar menyinari alam

#chegukimmia sedikit gentar

No comments:

Post a Comment