Wednesday 26 November 2014

Keep calm and write on




Teruslah menulis walau sesukar mana, kerana percayalah suatu hari nanti penulisanmu itu akan menjadi pahala jariah yang berpanjangan walau jasad kita sudah tidak lagi berkelana di bumi ini.Semoga penulisan yang kita coretkan ini menyaksikan setiap saat kita terisi untuk mengejar pahala infiniti di akhirat kelak.Berusahalah menjadikan setiap aksara penulisanmu menjadi himpunan khazanah yang agung untuk dimanfaatkan generasi akan datang. 

Semoga setiap penulisan yang dimanfaatkan akan terus menjana pembangunan ummah yang jauh lebih berharga daripada pembangunan materialistik semata-mata yang ketandusan roh islamiyahnya. Sesungguhnya penulisan merupakan satu proses yang harus dilalui untuk menerbitkan karya yang berkualiti , yang menggerakkan pembacanya untuk terus bertindak, bukan sekadar membaca. Tiada jalan pintas melainkan tulis, tulis dan tulis. Jika kekeringan idea, tulislah sesuatu yang menghidupkan rohmu, kerana pena yang bergerak dengan roh itulah yang akan menghasilkan karya yang terus hidup tidak lapuk ditelan zaman persis karya Ihya Ulumuddin nukilan Imam Ghazali. 

Tulislah yang baik kerana jika ia merupakan tulisan terakhir yang ditarikan oleh penamu, nescaya ia akan menjadi bekalan terbaik untuk dibawa mati. Tulislah yang benar kerana hanya yang benar sahaja yang menghapuskan kebatilan seiring ungkapan emas Conan Edogawa “hanya ada satu kebenaran”. Tulislah, kerana Allah sendiri bersumpah “demi apa yang kamu tuliskan”. Tulislah kerana ulama pernah berpesan “ikatlah ilmu dengan tulisan”. Tulislah di awal usia agar masamu lebih banyak menabur bakti untuk ummah, agar kehidupan mudamu tidak dipersia-siakan. Teruslah menulis kerana ia merupakan syiar ulama-ulama silam sebagai wasilah utama dalam penyebaran ilmu. 


Dengan adanya tulisan, orang akan membaca. Bila semua orang membaca, kita akan mendukung masyarakat yang beramal dengan “Iqrak”, wahyu  pertama diturunkan Allah buat kekasih hatinya Nabi Muhammad S.A.W . Teruslah menulis kerana ia tidak memerlukan modal yang nyata. Modalnya hanyalah idea dan permikiran. Oleh itu mantapkanlah permikiranmu dengan terus menadah Ilmu Allah yang maha luas. 

Benarlah firmannya, Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan menjadi tinta, dan ditambahkan kepada tujuh lautan lagi (sekiranya dihabiskan) niscaya tidak akan habis ditulis kalimat-kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana.

Nah!! Ada lagi ke alasan untuk kita tidak menulis??

No comments:

Post a Comment