Saturday 15 November 2014

Didiklah anakmu selari dengan zamannya





Kehidupan adalah proses pengajaran. Samada ianya formal atau tidak formal. Selagi kita make sense dengan apa yang kita pelajari, itulah yang akan mencetuskan perubahan dalam diri kita. Hari ini kelas masterku berjalan lagi, aku benar-benar mengikutinya. Pensyarahku banyak bercerita mengenai keluarganya tentang pendidikan anak-anak. Banyak dan panjang benar ceritanya. Satu kesimpulan yang boleh aku lakukan ‘ benarlah kehidupan ini satu ujian’. Walaupun pensyarahku merupakan seorang yang boleh dikatakan pakar dalam tahap perkembangan hidup manusia, beliau sendiri pun diuji dengan karenah anak-anak biarpun sudah memberikan yang terbaik untuk mendidik mereka. Ini ibu yang ada pendidikan, tetapi bagaimana jika seseorang ibu itu tidak mendalami dengan baik cara mendidik anak, pasti haru-biru jadinya.

Kehidupan ini bukan semudah yang dijangka terutamanya melibatkan hubungan dengan anak-anak. Generasi dulu dan sekarang jauh berbeza. Cabaran terbesar hari ini adalah membina generasi Gen Y yang juga dikenali sebagai kanak-kanak klik. Kita tidak akan boleh mendidik mereka sama seperti zaman kita dahulu. Masihku ingat sewaktu darjah enam dahulu, siapa yang mempunyai telefon bimbit pada waktu itu memang hebat. Biasanya orang yang lahir daripada keluarga berada sahaja yang memiliki telefon bimbit pada usia itu. Tetapi tidak di zaman kini, sehinggakan budak berusia setahun jagung pun sudah mempunyai gajet yang super duper lebih canggih daripada telefon zaman dahulu. Lihatlah bagaimana cepatnya perubahan berlaku.

Realiti pendidikan hari ini, kita tidak boleh memisahkan gajet daripada pendidikan anak-anak. Kerana itulah gaya kehidupan sekarang. Seperti kata yang pernah dituturkan oleh Saidina Ummar Al-Khattab :

“Didiklah anak-anakmu sesuai zamannya, karena mereka akan hidup pada zaman yang berbeza dengan zamanmu”

Soalnya bagaimana kita ingin menjadikan gajet-gajet canggih ini tidak memusnahkan hidup anak-anak kita.Ada kes yang berlaku di mana seorang ibu tidak memberikan Ipad kepada anaknya. Apabila berlakunya pertemuan dengan saudara-mara dan kawan-kawan, si anak rasa tercabar melihat mereka asyik dengan gajet canggih. Si anak mula memberontak meminta ibu membelikannya gajet sama yang digunakan oleh anak-anaknya.

Terdapat beberapa perkara yang harus kita amati di sini dari perspektif:

Kaca mata ibu
Ibu tidak memberikan gajet kepada anak atas alasan supaya anaknya tidak terlalu asyik dan leka dengan gajet menyebabkan ia melupakan pelajaran dan ibadat

Kaca mata anak
Anak menganggap perbuatan ibunya adalah merupakan satu kongkongan yang merimaskan dan seolah-olah menafikan haknya sebagai anak

Persekitaran
Suasana di sekeliling anak tersebut adalah tentang gajet. Ketiadaan gajet mungkin menyebabkan dia rasa terpinggir untuk bergaul dengan orang sekeliling

Fakta
Fakta mengatakan pemberian gajet kepada anak-anak hanya akan menyuburkan sifat-sifat individualistik, merencatkan perkembangan minda mereka dan sebagainya

Aduhai…banyak betul benda yang perlu diambil kira bukan??

Pendapat saya, seorang ibu itu boleh memberikan gajet kepada anak-anak tetapi kawalan yang ketat perlulah dilaksanakan. Bagaimana caranya?

1.Menetapkan  masa-masa tertentu untuk mereka menggunakan gajet. Contohnya hanya pada waktu petang sahaja bermula pukul lima hingga enam. Sekiranya mereka memberontak ingin menggunakan lagi melebihi masa yang diberi , cuba sediakan alternatif permainan fizikal yang sebenarnya lebih baik untuk mereka. Jika mereka terus menangis, biarkan. Pepatah ada mengatakan biar anak menangis sebelum kita menangis

2. Menerapkan disiplin-disiplin yang ketat untuk penggunaan gajet.Contoh: Ibu bapa hanya membenarkan anak-anak menggunakan aplikasi yang tertentu sahaja di dalam gajet tersebut. Dalam hal ini ibu bapa perlu menyaring dan memilih aplikasi yang baik untuk diakses oleh anak-anak. Lebih baik lagi jika anak-anak menggunakan gajet yang berlainan daripada gajet kita.Kerana mungkin perisian itu hanya sesuai untuk orang dewasa dan bukan kanak-kanak.

3. Didik mereka untuk menggunakan gajet dengan bermanfaat. Elakkan memperkenalkan aplikasi games yang tidak memberi makna. Ajar mereka untuk menggunakan aplikasi yang boleh membantu mereka mengenali sebutan dan huruf-huruf asas. Lebih baik lagi jika mampu memperdengarkan mereka bacaan quran asas yang mudah untuk dihafal.

4. Sekat mereka daripada akses internet. Kanak –kanak dilahirkan dengan jiwa yang suka meneroka. Mereka akan meneroka apa sahaja yang mereka dapati. Menyekat akses internet tidak semestinya menghalang mereka daripada meneroka, tetapi sekadar mengawal untuk tidak terlalu bebas melayari dunia tanpa sempadan. Ingin saya ingatkan di sini bahawa minda kanak-kanak ibarat span yang akan menyerap sepenuhnya maklumat yang diperolehi tanpa tapisan. Kemungkinan untuk kanak-kanak mengakses laman web yang dipenuhi unsur keganasan dan pornografi adalah sangat tinggi memandangkan mereka tidak mengetahui apa yang ditekan. Tapi awas!! Minda mereka sedang menyimpan maklumat tersebut.

5. Menerapkan adab yang baik untuk penggunaan gajet. Amatlah tidak wajar membiarkan anak terus bermain gajet di kala sedang bercakap dengan ibu bapa atau semasa tetamu datang bertandang bertanya khabar.Ini kerana melayan tetamu itu wajib. Membiarkan kanak-kanak asyik dengan gajet menampakkan ketidaksopanan dalam melayani tetamu.

Inilah antara penyelesaian yang mampu saya gariskan. Saya juga tidaklah berpengalaman melakukan perkara di atas, cuma berharap agar dapat membantu ibu-ibu memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Sungguh kehidupan itu tidak mudah, lebih-lebih lagi untuk memanusiakan manusia.Namun perkara terbaik yang boleh dibuat adalah bagaimana kita mengadaptasi persekitaran ini sebagai medium yang membantu pentarbiyahan anak-anak kita

Akhir kata, biarlah kita mengawal teknologi, bukan teknologi mengawal kita. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment