Thursday 6 November 2014

Aib itu perlu ditutup




 Aku sungguh terkesan dengan berita hari ini. Laporan media mengenai pencuri motor dipukul dan dibogelkan kononnya supaya mendapat ‘pengajaran’ bagiku sangatlah menjengkelkan. Pengajaran apakah ini kalau diabkan sebegitu rupa!! Kesian lelaki tersebut, bukan hanya dibogelkan lebih parah lagi foto aibnya telah tersebar luas di media sosial. Sudah tentulah aku tidak bersetuju dengan lelaki yang mencuri itu, kerana mencuri tetap salah, soalnya mengapa kesalahannya diabkan sebegitu rupa. Bagaimana jika ini kali pertama dia mencuri dan dia mencuri pun disebabkan terdesak, barangkali ibunya yang sakit memerlukan wang…Nah!! Sekarang apa yang akan kita katakan…Memalukan orang dengan membogelkannya di khalayak ramai bukan perkara kecil. Ini melibatkan maruah lelaki tersebut.Cara biadap ini tidak mencerminkan akhlak yang sepatutnya ditonjolkan oleh orang yang mengaku beriman dengan Allah.

Ya, sudah tentulah kita marah jika orang mengambil hak kita tanpa izin, tetapi kita juga tidak berhak untuk menghukum orang secara membabi buta apatah lagi atas dasar ingin memberi pengajaran.Siapakah yang akan bertanggungjawab jika lelaki ini membunuh diri jika dia merasakan hidupnya sudah tidak berguna kerana maruahnya dipijak-pijak.

Astaghfirullah….

Marilah kita bermuhasabah sebentar. Dengan itu kita akan lebih cakna tentang keaiban diri kita.Sudah-sudahlah mengaibkan orang lain. Rasulullah SAW sendiripun mencela orang yang memalukan saudaranya.Kerana itulah Allah menyelar seseorang yang mencemarkan kehormatan muslim lain sebagaimana firmannya:

Sesunguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang beriman , mereka mendapat azab yang pedih ini di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui [AnNur, 24:19]

Dalam hadis lain pula Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat  (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat "
(Hadis Riwayat Muslim)

Tiba-tiba aku juga teringatkan arwah ummi yang pernah berpesan kepadaku apabila terdengar perkara buruk tentang orang lain, ringan-ringankanlah mulut untuk menyebut Nauzubillahimin zalik (Aku pohon berlindungan dengan Allah daripada perkara tersebut)

Dan hari ini baru aku menyedari betapa kalimah tersebut membawa sesuatu yang cukup bermakna dalam hidupku.Kenapa aku berkata demikian??

Pertama…bila kita dah ucap kalimah tersebut, awal-awal lagi kita minta dijauhkan daripada kepalsuan berita tersebut dan kecenderungan untuk menyebarkannya

Kedua…kalimah itu boleh menjadi alternatif lain daripada kita mencerca, memaki, menghina dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap apa yang berlaku

Ketiga…jika perkara itu benar sekalipun, kalimah itu akan mengajar kita untuk sentiasa mengembalikan setiap perkara itu kepada Allah dan kita sendiripun akan belajar daripada kesalahan orang lain

Realitinya, kita semua tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Sebab itulah Allah membukakan kita pintu taubatNya agar kita sentiasa kembali kepada Allah. Dan betapa sayangnya Allah pada kita, Dia sanggup mengampunkan dosa kita dan menutupi aib kita jika kita bertaubat kepadaNya.Siapakah kita orang yang banyak dosa ini untuk membuka keaiban saudara kita….

Renung-renungkanlah.Moga-moga Allah melimpahi cahaya hidayahNya ke atas kita untuk kita sentiasa sibuk memperbaiki diri kita dan agar Allah menutupi aib kita.Hasbunallahu nekma wakeel

#chegukimmia berharap Allah memelihara aib dan maruah dirinya

No comments:

Post a Comment